Casemiro Nyatakan Minat Ganti Maguire Jadi Kapten Baru MU

Kehadiran Casemiro di Old Trafford tidak dinafikan telah menambahbaik prestasi keseluruhan skuad Manchester United pada musim lalu.

Walaupun baru semusim beraksi di Premier League, pemain tengah antarabangsa Brazil itu sudah berjaya membantu kelab Manchester itu menduduki kedudukan ketiga liga dan memenangi trofi pertama sejak kali terakhir kelab itu berbuat demikian pada 2017.

Tiba daripada Real Madrid dengan deretan pencapaian pada musim panas lalu, Casemiro bagaimanapun menegaskan dia mahu memainkan lebih banyak peranan di dalam bilik persalinan untuk membantu United kembali ke zaman kegemilangannya.

Merupakan antara pemain berpengaruh dan dianggap sebagai salah seorang pemimpin di dalam skuad United pada hari ini, Casemiro tidak menyembunyikan keinginannya untuk memakai lilitan kapten di bawah kendalian Erik ten Hag.

“Saya mahu mengambil peranan ini, ya, saya bercakap jujur. Saya mahu menjadi contoh [kepada pemain lain] dengan menjadi pemimpin, menunjukkan sikap ambil berat seperti seorang ayah, menjadi yang pertama hadir latihan dan melihat semua perkara. Saya mahu memainkan peranan sedemikian,” kata Casemiro.

Bukan sahaja kerana pengaruhnya di dalam padang, Casemiro juga merupakan antara pemain digemari peminat United kerana komitmennya di atas padang yang memberikan sepenuh hati di dalam setiap perlawanan.

Tidak dapat dipastikan sama ada Erik ten Hag akan menyerahkan lilitan kapten pasukan kepada Casemiro bermula saingan musim hadapan.

Laporan media di Britain baru-baru ini mendedahkan pengurus dari Belanda itu akan melucutkan lilitan kapten daripada Harry Maguire yang mulai disandangnya sejak 2019.

Ten Hag juga telah memberikan indikasi jelas Maguire tidak lagi berada di dalam perancangan jangka masa panjang pengurus dari Belanda itu, yang bermakna perubahan pemakai lilitan kapten harus dilakukan.

Laporan sama juga mendedahkan pemain tengah Portugal, Bruno Fernandes adalah antara pilihan utama untuk bergelar kapten baharu Manchester United.

Casemiro bagaimanapun tidak kisah sekiranya lilitan itu tidak diberikannya dan diberikan kepada pemain lain.

“Lilitan kapten itu hanyalah simbol dan setiap pemain mempunyai tanggungjawab untuk berkomunikasi dengan pengadil, dan saya mahu menjadi contoh kepada pemain lain,” tambah Casemiro lagi.

BACA:  Alderweireld Tidak Pernah Terlintas Untuk Tinggalkan Spurs Walaupun Dikaitkan Dengan Manchester United