Casemiro Sah Menjadi Milik Manchester United

Manchester United telah mengesahkan bahawa mereka telah mencapai persetujuan dengan Real Madrid untuk membeli pemain tengah Brazil, Casemiro.

Persetujuan ini bergantung kepada kelulusan visa, laporan perubatan dan juga terma peribadi akan tetapi pemain berusia 30 tahun tersebut sangat-sangat teruja untuk ke Manchester United, menurut apa yang diperkatakan oleh Carlo Ancelotti.

Manchester United dalam satu status di laman kelab, telah menulis; “Kami semua tak sabar untuk mengucapkan selamat datang kepada Casemiro ke Old Trafford.”

Laman Twitter mereka pula menciap; “Kami dengan gembiranya telah mencapai kata sepakat secara asanya untuk perpindahan Casemiro.”

Sepanjang jendela perpindahan musim panas pada tahun ini, Erik Ten Hag telah menghabiskan segala masa yang ada untuk mencari seorang pemain tengah tetapi telah ditolak mentah-mentah oleh kesemua sasarannya.

Pada mulanya Ten Hag dan pengurusan United cuba untuk mendapatkan Frenkie De Jong tetapi dengan segala isu dan masalah di luar padang telah menjadi batu penghalang kepada segala urusan, lantas menyebabkan mereka menarik diri daripada cubaan untuk membeli pemain Belanda tersebut.

Selepas tewas dua perlawanan liga, United dilihat cuba mendapatkan Adrien Rabiot pula dari Juventus, tetapi disebabkan permintaan gaji yang terlalu tinggi telah menyebabkan mereka menarik diri daripada meneruskan perbincangan.

Namun dengan semangat yang tidak luntur, Ten Hag dan pengurusan United berusaha pula untuk membeli pemain tengah Brazil dan akhirnya segala kerja keras mereka mendapatkan hasil apabila persetujuan dapat dicapai dan Casemiro akan menyertai bakal juara Liga Perdana Inggeris ini pada minggu hadapan – selepas perlawanan menentang Liverpool.

Ancelotti, jurulatih Real Madrid, telah menerima hakikat bahawa dia telah kehilangan seorang pemain bintang modennya seraya berkata;

“Aku dah bercakap dengan dia dan dia kata dia nak cuba sesuatu yang baru. Kelab pun faham sebab Casemiro memang macam tu.

“Perbincangan sedang berlangsung tapi tak ada kata sepakat lagi. Pun begitu keinginginannya untuk keluar memang nampak jelas.

“Kalau dia pergi, penghormatan dan kegilaan terhadapnya di sini akan tetap kekal. Jika seseorang yang sebaik, seserius dan professional seperti Casemiro pergi memang kita akan sedih tetapi kena faham dan kita hormat dia dan keputusan dia.”

Real Madrid telah memuat naik video penghormatan kepada pemain yang pernah menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA ini di media sosial, dan tersebar khabar angin yang mengatakan bahawa mereka sedang berminat untuk membeli pemain tengah Tottenham Hotspur, Pierre-Emile Hoijberg.

Persetujuan untuk menyertai Ten Hag di United telah dibuat oleh Casemiro pada hari Rabu selepas sembilan tahun menabur bakti bersama kelab ibu kota Sepanyol tersebut.

Perpindahan ini dijangka bernilai £70 juta dan dia akan menandatangani kontrak selama empat tahun.

Sepanjang kariernya, Casemiro telah bermain lebih 500 perlawanan termasuk 63 kali tampil buat pasukan kebangsaan Brazil.

Dia telah memenangi 17 kejuaraan termasuk lima kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA, Copa America serta La Liga.

Kehadiran Casemiro ke Old Trafford pasti akan menambahkan lagi kekuatan di barisan tengah pasukan tersebut yang kini dilihat sangat hancur berderai bagai ulat dimakan daun.

Sepanjang bersama Real Madrid, Casemiro menggunakan nombor 14, namun selepas nombor ini dikosongkan, Christian Eriksen menggunakan nombor ini pula.

Nombor yang tinggal buat pemain ini di United adalah 13,15,18,21,24 dan 30.

Walaubagaimanapun, nombor 13 mungkin akan diberikan kepada penjaga gol baharu selepas kelab tersebut dikhabarkan mahu membeli penjaga gol sandaran kepada David De Gea.

Dengan kualiti yang ada padanya, mungkin Casemiro boleh memakai nombor 18, mengikut jejak langkah legenda Paul Scholes dan Ashley Young.

Sumber : DailyMail

BACA:  Ole Gunnar Solskjaer Mahu Aaron Wan Bissaka Bermain di Posisi Baharu Demi Memberi Laluan Kepada Kieran Trippier