Casemiro Tiru Aksi Xhaka, Tackle Pengadil Sampai Jatuh

Real Madrid melakukan henjutan awal dalam perebutan gelaran La Liga musim ini selepas mengutip tiga mata penuh, menewaskan Real Betis 1-0 di tempat lawan semalam.

Pemain bek kanan, Dani Carvajal telah menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke 61 sekaligus menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan ini.

Les Merengues turun ke padang dengan satu sasaran sahaja – ingin mencari tiga mata dan seawal minit keempat, mereka hampir berada di depan apabila Viniciouc Jr menggelecek bola dari sebelah kiri lalu masuk ke dalam kotak penalti, sebelum melakukan cut-back pass kepada Benzema yang berada di posisi yang baik.

Benzeme kemudiannya melepaskan rembatan lencong dan hanya beberapa milimeter tersasar daripada gol lawan.

Pada minit kesepuluh, penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois beraksi cemerlang apabila menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi selepas Nabil Fekir melakukan rembatan lencong daripada sepakan percuma.

Betis sekali lagi mengancam gol Real pada minit ke-40, apabila sepakan leret Juanmi memaksa Courtois sekali lagi melakukan aksi penyelamatan yang mantap.

Bermula separuh masa kedua, Real Madrid menggandakan asakan dan akhirnya gol yang dicari tiba juga pada minit ke-61.

Pada minit ke-57, pemain tengah Casemiro telah melakukan aksi yang agak mencuit hati apabila dia tanpa sengaja telah tackle pengadil ketika cuba mendapatkan bola.

Walaupun pengadil jatuh sampai terlentang, dia telah kembali bangun dengan melemparkan senyuman tanpa mengeluarkan apa-apa kad kepada Casemiro kerana dia faham bahawa pemain Brazil itu tidak sengaja menjatuhkannya.

Situasi ini hampir sama dengan apa yang berlaku kepada pengadil yang ditolak oleh pemain import Kelantan, Jack Hindle pada awal musim ini, cuma Hindle dilihat lebih ganas dan berniat untuk menjatuhkan pengadil.

Tackle ini juga hampir sama dengan apa yang dilakukan oleh pemain Arsenal, Granit Xhaka, dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris ketika pasukannya dibelasah Manchester City semalam.

Cuma bezanya. tackle Xhaka tersebut dilakukan pada kelajuan yang tinggi dan sangat berbahaya.

Gerakan yang menghasilkan gol ini bermula daripada Isco apabila dia menolak bola membelah barisan pertahanan lawan kepada Vinicious Junior. Bola hantaran tersebut sedikit laju dan memaksa Vini menarik bola dan menolak kepada kapten, Karim Benzema.

Dengan visi pengelihatan yang tinggi, Benzema nampak Carvajal yang melakukan larian dari belakang, lantas membuat hantaran lencong tepat kepada pemain bek kanan tersebut.

Antara syarat untuk menjadi pemain Real Madrid adalah mempunyai teknik sepakan yang baik dan oleh sebab itu lah sebaik sahaja Carvajal menerima hantaran daripada Benzema, dia berjaya melakukan first timer yang sangat kemas, lantas bola meluru masuk ke dalam gol Betis.

Pada minit ke-73, Marco Asensio hampir menggandakan kedudukan buat Real Madrid apabila melakukan rembatan dari luar kotak penalti tanpa dikawal. Namun begitu, rembatannya hanya sedikit tersasar ke sebelah tepi gawang Betis, meskipun penjaga gol Rui Silva sudahpun tertewas.

Pada penghujung perlawanan, Eden Hazard hampir berjaya menjaringkan gol kedua Real Madrid hasil daripada permainan satu-dua yang cantik bersama Benzema.

Kalau Hazard versi Chelsea mendapat bola lorongan daripada Benzema ni, nescaya kita akan dapat melihat dia akan terlebih dahulu menggelecek pemain lawan sebelum melepaskan sepakan yang mengelirukan pihak lawan.

Tetapi Hazarad versi Real Madrid ini kelihatan seperti tidak mampu untuk  melakukan larian berhalaju tinggi bersama bola, dan sebaik sahaja dia masuk ke kotak penalti, bola terus dirembat tepat ke arah penjaga gol Real Betis.

Pada hujung-hujung perlawanan, Betis hampir mendapat gol penyamaan selepas Martin Montoya tanpa dikawal dalam kotak penalti Real Madrid menerima bola daripada rakan sepasukan.

Montoya kemudiannya hanya mampu melakukan sepakan lemah dan tepat kepada Courtois, sekaligus melepaskan peluang untuk pasukannya mendapat satu mata daripada perlawanan ini.

Baca Juga

Baca Juga