Casillas Anggap Oblak & Ter Stegen Sebagai Penjaga Gol Terbaik Dunia

Legenda Real Madrid, Iker Casillas memuji prestasi penjaga gol Atletico Madrid, Jan Oblak dan penjaga gol Barcelona, Marc-Andre Ter Stegen dan menggangap dua pemain ini sebagai penjaga gol terbaik dunia buat masa sekarang.

Casillas yang kini bermain untuk Porto, berkata demikian dalam satu sesi soal jawab di Twitter ketika ditanya siapakah penjaga gol yang lebih baik di antara Oblak dan Ter Stegen. Casillas menyertai Porto pada tahun 2015 dan musim ini beliau telah membuat 10 penampilan dalam semua pertandingan bersama kelab tersebut.

Tidak diragui lagi Jan Oblak merupakan antara penjaga gol paling cemerlang di dunia ketika ini.

“Sejujurnya, berdasarkan prestasi semasa semua penjaga gol di seluruh dunia, saya rasa Ter Stegen dan Oblak adalah penjaga gol terbaik di dunia.”

“Maksud saya, mereka sedang mengharungi waktu kegemilangan.”

Oblak yang baru sahaja berusia 25 tahun merupakan sebahagian daripada barisan pertahanan Atletico Madrid yang hanya melepaskan 5 gol sahaja musim ini. Beliau juga telah membuat 174 penampilan bersama kelab tersebut dan hanya melepaskan 109 gol secara keseluruhan.

Ter Stegen pula mencuri perhatian dunia ketika Barcelona menewaskan Sevilla tempoh hari dimana beliau beraksi cemerlang untuk mengekang serangan pasukan lawan. Dalam perlawanan tersebut, Ter Stegen membuat ‘double saves’ sebanyak dua kali dan sepanjang 153 penampilannya bersama Barcelona, beliau hanya melepaskan 143 gol sahaja.

Casillas bermain untuk Real Madrid selama 22 tahun dan pada masa yang sama beliau diangkat menjadi antara penjaga gol terbaik di dunia buat satu tempoh yang lama, setanding dengan Gianluigi Buffon.

Persembahan cemerlang Ter Stegen ketika menentang Sevilla akan diingati peminat Barcelona buat masa yang lama

Beliau memenangi pelbagai kejuaraan sepanjang beraksi di Santiago Bernabeu, antaranya adalah 5 kejuaraan La Liga, 3 trofi Liga Juara-Juara Eropah, 2 trofi Copa Del Rey, 4 trofi Supercopas de Espana, 2 Piala UEFA Super Cup, dan satu trofi FIFA Kelab Piala Dunia.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau merupakan anggota penting dalam skuad emas Sepanyol dari tahun 2008 sehingga 2012 dimana beliau berjaya memenangi dua kejuaraan Eropah dan satu Piala Dunia.

Casillas masih memasang impian untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan Sepanyol pada masa hadapan memandangkan beliau masih lagi belum mengumumkan persaraannya secara rasmi. Penjaga gol Manchester United, David De Gea merupakan penjaga gol utama Sepanyol buat masa sekarang.

Apabila ditanya adakah beliau berminat untuk kembali bermain bersama Sepanyol, ini jawapan Casillas.

Casillas merupakan kapten Sepanyol ketika negara tersebut memenangi Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan

“Sudah tentu. Saya faham Luis Enrique mempunyai idea baru untuk skuad Sepanyol sekarang tetapi saya masih lagi berharap dapat kembali ke dalam skuad tersebut.”

Mengenai pergelutan Real Madrid musim ini, Casillas meminta peminat Los Blancos supaya bersabar dan memberikan lebih masa kepada Julen Lopetegui untuk mengubah nasib kelab tersebut.

“Bertenang semua. Musim baru sahaja bermula. Peminat mengharapkan keputusan yang cemerlang tetapi mereka perlu lebih bersimpati dalam hal ini. Real Madrid baru sahaja melalui perubahan yang penting [pengurus baru menggantikan Zinedine Zidane dan kehilangan Cristiano Ronaldo].”

BACA:  Sepanyol Umum Skuad EURO 2020 Dan Tiada Pemain Real Madrid