Cavani Dan Kane Sepakat Pilih Pertahanan Paling Sukar Pernah Mereka Hadapi

Edinson Cavani dan Harry Kane sepakat pilih pertahanan paling sukar pernah mereka hadapi sepanjang karier masing-masing sebagai penyerang bertaraf dunia.

Kedua-dua mereka menamakan pemain yang sama ketika ditanya tentang pertahanan paling sukar pernah mereka hadapi, dan ternyata sukar untuk menafikan dakwaan kedua-dua pemain tersebut.

Kane tidak dinafikan sememangnya antara pemain penyerang terhebat dalam dunia bola sepak masa kini, walau beliau sering dikatakan tidak berada di tahap yang setanding dengan Robert Lewandowski.

Walau bagaimanapun, tetap ada segelintir penyokong yang merasakan Kane lebih bagus berbanding Cristiano Ronaldo dari segi ketajaman beliau dihadapan gol.

Ketika bintang Tottenham Hotspur itu masih mempunyai perjalanan karier yang panjang, Edinson Cavani pula ketika ini sudah berada di penghujung kariernya selepas 13 tahun beliau bermain di pentas saingan bola sepak Eropah.

Antara kedua-dua pemain itu, mereka telah berdepan dengan ramai pemain pertahanan terhebat dunia yang ada di zaman ini dan kedua-dua mereka bersependapat yang Giorgio Chiellini merupakan yang paling sukar untuk dihadapi.

Bercakap dalam satu sesi soal jawab di laman rasmi United, Cavani telah ditanya tentang siapa lawan paling sukar pernah beliau hadapi, dengan beliau menjawab:

“Kamu boleh bayangkan yang saya sudah bermain dan berdepan dengan ramai lawan yang berbeza, dan ramai juga yang hebat.”

“Namun, saya selalu katakan, dan sejak sekian lama sekarang, pemain pertahanan paling sukar pernah saya hadapi adalah Giorgio Chiellini.”

“Kami sudah beraksi bersama dalam banyak perlawanan, dan kami bersaing berdua di seluruh pelusuk padang, jadi ya, saya boleh beritahu kamu yang Giorgio Chiellini merupakan pertahanan paling sukar pernah saya hadapi.”

Peminat mungkin fikir Kane memilih Chiellini kerana mereka baru sahaja bertemu ketika saingan Euro 2020 musim panas ini, namun sebenarnya beliau sudah ada tanggapan begitu terhadap pemain berusia 37 tahun itu sejak lama dahulu lagi.

Pada tahun 2018 yang lalu, dalam satu temu bual bersama The Guardian, ketua pasukan England itu telah ditanya tentang siapa pemain paling sukar pernah beliau hadapi.

“Saya telah beberapa kali ditanya tentang siapa pertahanan paling sukar pernah saya hadapi dan saya sudah katakan dia adalah Chiellini. Saya pernah berdepan dengan dia beberapa kali.”

Jelas Kane.

“Saya juga akan katakan John Terry.”

“Chiellini seorang yang sangat berpengalaman. Dia gunakan tubuh dia dengan baik dan positioning dia juga bagus. Ketika kamu cuba melakukan larian, dia tahu bila dia mahu pintas kamu. Dia tahu bila dia perlu beri kamu sedikit tekanan untuk pastikan kamu hilang kawalan.”

“Dia jelas sekali tahu bila untuk masuk rapat dan berada di belakang kamu dan bila untuk mundur. Dia memang pemain pertahanan yang sangat berpengalaman dan sangat sukar untuk berdepan dengan dia kerana dia tahu di mana dia patut ada pada waktu yang tepat.”

Aksi persembahan Chiellini sepanjang saingan Euro 2020 juga turut dianggap yang terbaik dan mendapat pujian yang melambung dari pelbagai pihak.

Beliau bahkan turut dianggap calon paling layak untuk memenangi anugerah Ballon D’or pada tahun ini disamping Jorginho, Messi dan N’Golo Kante.

Dek kerana gagal untuk membantu Juventus memenangi gelaran Serie pada musim lalu, sukar sebenarnya untuk melihat beliau menerima anugerah tersebut berbanding rakan senegaranya, Jorginho.

Selain Lionel Messi, Jorginho merupakan antara individu paling layak untuk memenangi anugerah tersebut, selepas beliau berjaya memenangi tiga kejuaraan Eropah pada tahun ini.

Beliau berjaya membantu Chelsea memenangi Champions League dan Super Cup dan Jorginho juga turut berjaya membantu skuad kebangsaan Itali memenangi kejuaraan Euro 2020.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Spurs Sedia Lepaskan Kane Dengan Nilai £200 Juta