Cavani Jelaskan Masalah Sebenar Antara Beliau Dengan Neymar

Penandatanganan baru setan merah, Edinson Cavani akhirnya telah membuka mulut mengenai perhubungan antara beliau dengan bekas rakan sepasukannya Neymar ketika di PSG.

Cavani dan Neymar telah beraksi bersama untuk Paris Saint Germain selama tiga tahun. Pihak media sering membuat liputan yang tidak baik berkaitan kedua-dua pemain itu.

Mereka berdua dikatakan sering salah faham antara satu sama lain dan pihak media sering melaporkan bahawa kedua-dua mereka mempunyai hubungan yang tidak baik.

Cavani dan Neymar sememangnya bukanlah rakan yang rapat. Berita berkait hubungan antara mereka berdua mula disebarkan selepas terjadi insiden salah faham antara mereka berdua di atas padang.

Ketika itu PSG dihadiahkan sepakan penalti, Cavani dipertanggungjawabkan untuk mengambil sepakan penalti itu dan Neymar mahu merebut tugasan tersebut, namun pemain kebangsaan Uruguay itu tidak membenarkannya.

Insiden tersebut agak panas hingga pengurus PSG ketika itu, Unai Emery terpaksa untuk campur tangan dan meminta kedua-dua pemain tersebut menyelesaikan isu itu dengan baik-baik.

Cavani kemudiannya meneruskan tugasnya sebagai pengambil sepakan penalti untuk pasukannya. Tidak lama selepas itu, dalam satu perlawanan menentang Galatasaray, beliau telah memberikan peluang kepada Neymar untuk mengambil sepakan penalti.

“Kami sangat berbeza. Banyak hal yang tidak kami kongsikan bersama dan kami juga berfikir dengan cara yang berbeza.”

“Dalam satu pasukan, kami tidak seharusnya berkawan rapat ataupun menganggap saudara. Apa yang penting adalah, kami menjadi rakan yang baik di atas padang, saling berwaspada dan beraksi bersama mengejar pemain lain.”

“Benar, memang ada perselisihan faham antara saya dan Neymar. Saya seorang pemain bola sepak, saya bukan bintang. Tapi saya sendiri pernah beritahu Neymar kalau saya adalah orang pertama yang mahu melihat dia berjaya sebagai individu.”

“Saya akan lakukan apa sahaja untuk membantunya, namun dengan satu syarat, dia harus meletakkan objektif pasukan sebagai Keutamaan.”

Cavani mengimbau kembali detik beliau dan Neymar sedang berkonfrontasi di atas padang hanya kerana penalti.

Cavani sedar bahawa ada wartawan yang seolah-olah mempunyai agenda tidak baik untuk memburukkan Neymar.

Beliau juga menyatakan bahawa sebenarnya insiden itu tidak serius seperti apa yang digembar gemburkan oleh para media.

Cavani turut berasa kecewa dengan beberapa media yang menulis perkara buruk berkait Neymar, sedangkan beliau merasakan bintang Brazil itu seorang yang baik hati.

“Ketika saya bertikam lidah dengan Neymar, ianya berlaku dalam perlawanan kami menentang Lyon. Segala laporan yang tular ketika itu jelas tidak benar.”

“Ney adalah seorang yang sangat baik hati.”

Jelas Edinson Cavani.

Cavani kini telah menandatangani perjanjian bersama Manchester United dengan perpindahan percuma selepas kontraknya bersama PSG tamat.

Beliau akan meneruskan kariernya sebagai penyarang handalan di pentas premier league selepas sebelum ini beliau berjaya membuktikan kehebatannya di pentas Ligue 1 dan Serie A.

BACA:  Neymar Tepuk Tangan Kepada Penonton di Stadium Yang Kosong