Cech Anggap Keputusan Mengasingkan Mount Dan Chilwell Tindakan Bodoh

Aksi peringkat kumpulan saingan Euro 2020 akan berakhir pada minggu ini dengan kini berbaki empat perlawanan sahaja akan dimainkan pada awal pagi esok.

Saingan Euro 2020 setakat ini telah menyajikan pelbagai aksi dan insiden yang menarik dengan beberapa rekod kejohanan turut sudah dipecahkan.

Dari kesemua pasukan gergasi di benua Eropah ini, terdapat beberapa pasukan yang memulakan kempen saingan Euro kali ini dengan sangat cemerlang.

Ada juga yang menunjukkan kemerosotan prestasi dan ada juga yang mempamerkan aksi tidak menentu dalam dua tiga perlawanan awal ini.

Skuad Euro England dikejutkan dengan berita yang Mason Mount dan Ben Chilwell terpaksa diketepikan dari aksi perlawanan bertemu Czech Republic kerana menjalani sesi kuarantin.

Kedua-dua mereka terpaksa diasingkan dari skuad England kerana mereka didapati merupakan kontak rapat pemain Scotland, Billy Gilmour yang disahkan positif C0V-19.

Bintang muda Chelsea itu telah disahkan positif C0V-19 selepas menjalani saringan ketika tamat aksi pertemuan bertemu England sebelum ini.

Keputusan England untuk mengasingkan Mount dan Chilwell telah mengundang pelbagai reaksi dari pelbagai pihak.

Ramai yang bingung ketika Mount dan Chilwell dikuarantin, keseluruhan skuad Scotland sendiri dibenarkan untuk meneruskan sesi latihan dan turun beraksi bertemu Croatia.

Walaupun UEFA mempunyai penasihat kesihatan yang bijak dan berilmiah, namun agak pelik dan membingungkan mengapa hanya dua pemain England itu sahaja yang terpaksa dikuarantinkan, sedangkan pemain Scotland yang lain tidak.

Legenda Chelsea yang kini bertugas sebagai penasihat teknikal di Stamford Bridge, Petr Cech telah memuat status yang mempersoalkan hal tersebut.

“Minta sesiapa yang boleh tolong fahamkan saya, macam mana mungkin Mason Mount dan Ben Chilwell, yang kedua-dua mereka disahkan negatif, tapi masih diarahkan untuk jalani kuarantin hanya kerana kontak rapat Billy Gilmour.”

“Tapi dalam masa sama, kesemua skuad Scotland yang berkongsi bilik persalinan yang sama, hotel, jurulatih, pesawat penerbangan, bilik mesyuarat, bilik santai semuanya bersama-sama dengan Gilmour dibenarkan untuk bermain tanpa ada masalah selepas mereka disahkan negatif.”

“Apa bezanya antara mereka? Kesemuanya negatif. Ia satu hal yang sukar untuk saya fahami.”

Jika difikirkan apa yang dikatakan oleh Petr sememangnya satu hal yang masuk akal dan keputusan untuk mengasingkan kedua-dua pemain England itu nampak seperti sia-sia.

Berbanding Mount dan Chilwell, skuad Scotland sendiri lebih terdedah dengan risiko dan kadar keboleh jangkitan mereka lebih tinggi lagi dari yang lain.

Skuad Scotland walau bagaimanapun tetap turun beraksi bertemu Croatia awal pagi tadi dalam usaha mereka untuk melayakan diri ke peringkat kalah mati.

Namun sayang sekali Scotland gagal untuk mendapatkan keputusan yang baik, dengan mereka tewas 3-1 di tangan Croatia dalam aksi perlawanan terakhir peringkat kumpulan D.

Croatia selepas mencatatkan kemenangan 3-1 menewaskan Scotland, mereka berjaya mara ke pusingan kalah mati dengan mengakhiri saingan peringkat kumpulan di kedudukan kedua.

England yang turun tanpa kelibat Mount dan Chilwell turut berjaya menewaskan Czech Republic 1-0 awal pagi tadi, seterusnya mara ke pusingan kalah mati sebagai Juara kumpulan.

Croatia akan bertemu dengan wakil dari kumpulan E di pusingan 16 terbaik nanti iaitu antara Sweden, Poland, Sepanyol dan Slovakia.

Sementara England pula, kerana mereka mara sebagai Juara kumpulan, lawan yang bakal mereka temui di pusingan kalah mati nanti adalah wakil dari kumpulan F.

Kumpulan F merupakan kumpulan maut dalam kejohanan ini yang membariskan pasukan gergasi dalam dunia bola sepak seperti Jerman, Hungary, Perancis dan Portugal.

Gareth Southgate telah menurunkan Jack Grealish dan Bukayo Saka ketika aksi perlawanan bertemu Czech Republic awal pagi tadi, dengan kedua-dua pemain itu telah memberi impak yang sangat positif.

Para peminat begitu teruja dengan persembahan kedua-dua pemain itu dan mendesak Southgate supaya menurunkan kedua-dua mereka sebagai kesebelasan utama untuk aksi di pusingan 16 terbaik nanti.

Namun begitu, jika Mason Mount sudah boleh kembali menyertai skuad England, ada kemungkinan untuk peminat melihat Grealish sekali lagi diketepikan dari kesebelasan utama.

Setakat ini, masih belum jelas sampai bila Mount dan Chilwell akan menjalani sesi kuarantin, mungkin 10 hari dan mungkin akan dibenarkan kembali sertai skuad lebih awal.

BACA:  Emery: Cech Akan Bermain Menentang Chelsea