Penjaga gol Arsenal, Petr Cech mengakui prestasi Arsenal tidak mencapai tahap seperti yang dikehendaki apabila sekadar menghuni tangga ke-6 Liga Perdana Inggeris selepas 24 perlawanan.
Arsenal jauh ditinggalkan pendahulu liga, Manchester City dan dipisahkan 4 mata dengan Liverpool yang kini menghuni slot terakhir Liga Juara-Juara.
Musim ini menyaksikan The Gunners beraksi buat pertama kali dalam Europa League hampir 20 tahun selepas gagal menduduki 4 teratas liga musim lepas.
Cech turut berkata kelab seperti Arsenal harus bermain dalam Liga Juara-Juara tetapi mengakui pasukannya mungkin terpaksa melupakan kejohanan tersebut sekali lagi musim hadapan selepas mengharungi musim yang mengecewakan setakat ini.
“Arsenal merupakan kelab yang sepatutnya bermain dalam Liga Juara-Juara, dan sudah tentu kami tidak mahu menunggu terlalu lama untuk kembali bermain dalam kejohanan tersebut.”
“Tetapi setiap tahun, perebutan bagi menduduki 4 teratas semakin sukar kerana liga semakin kompetitif. Tanpa memikirkan perkara tersebut, kami gagal bermain pada tahap yang sepatutnya dalam beberapa perlawanan musim ini. Jadi masalah ini perlu diselesaikan secepat mungkin sebelum musim ini berakhir.”
Prestasi Cech selaku penjaga gol utama Arsenal turut dipertikaikan sebilangan peminat yang beranggapan Cech sudah melepasi prestasi terbaiknya. Sepanjang bergelar pemain Arsenal pada tahun 2015, Cech masih gagal menyelamatkan mana-mana penalti dalam saingan liga.
Beliau hanya pernah menyelamatkan satu penalti dalam Liga Juara-Juara ketika Arsenal bertemu Bayern Munich dimana Cech berjaya menampan sepakan penalti yang diambil Thiago Alcantara.
Pemain berusia 35 tahun ini gagal menyelamatkan 15 penalti berturut-turut yang dihadapinya, dan Cech sendiri tidak gembira dengan statistik ini.
“Kamu boleh kata rekod ini agak menakjubkan. Sudah tentu, saya tidak menyukainya. Sepanjang karier bolasepak saya, semua kejuaraan penting yang dimenangi saya adalah kerana penalti yang berjaya saya selamatkan. Dan secara tiba-tiba, saya gagal menyelamatkan sebarang penalti dalam satu jangka masa yang agak lama.”
“Sebagai seorang penjaga gol, perkara ini mengecewakan saya kerana saya tidak biasa terlepas begitu banyak penalti.”
“Tetapi, saya perlu menerukan persediaan dan terus percaya yang akan tiba hari dimana semua perkara ini bakal menjadi sebaliknya. Ia akan tiba.”
Arsenal tidak beraksi hujung minggu lalu kerana sudah tersingkir dari saingan Piala FA musim ini. Mereka akan menyambung aksi dengan bertemu Swansea Rabu ini di gelanggang lawan dalam saingan Liga Perdana Inggeris sebelum melayan kunjungan Everton hujung minggu ini.