Cech Nafi Dakwaan Sudah Bersetuju Untuk Menyertai Chelsea Sebagai Direktor Sukan

Penjaga gol Arsenal, Petr Cech menafikan dakwaan yang mengatakan beliau sudah bersetuju untuk menyertai Chelsea sebagai direktor sukan sebaik sahaja kontraknya bersama Arsenal tamat.

Penjaga gol veteran berusia 37 tahun itu turut berkata fokusnya masih lagi terhadap Arsenal menjelang pertemuan final Euroa League menentang kelab lamanya itu yang akan berlangsung pada 29 Mei nanti.

Ramai peminat Arsenal mendesak Cech untuk tidak diturunkan berikutan penularan berita mengenai pelantikannya sebagai direktor sukan Chelsea yang baru

Cech menyertai Arsenal dari Chelsea pada tahun 2015 selepas lebih sedekad bersama The Blues. Beliau dianggap sebagai pemain kegemaran peminat Chelsea sehingga ke hari ini dan ramai mahu melihat beliau kembali berbakti kepada Chelsea selepas bersara dari bola sepak.

Terdahulu, Sky Sports melaporkan Cech telah bersetuju untuk menjadi direktor sukan Chelsea sebaik sahaja kontraknya bersama Arsenal tamat hujung musim nanti.

Memandangkan Arsenal bakal berdepan Chelsea dalam aksi final Europa League nanti, ramai yang mendakwa akan berlaku ‘conflict of interest’ sekiranya Cech diturunkan bermain.

Untuk rekod, Cech merupakan penjaga gol pilihan buat Unai Emery dalam kempen Europa League musim ini dan dijangka mengekalkan tempatnya dalam perlawanan final nanti. Namun begitu, perkembangan terbaru ini membuatkan ramai peminat Arsenal mula sangsi dengan komitment Cech dan ada yang mendesak Emery supaya menurunkan penjaga gol utama, Bernd Leno.

Cech dianggap penjaga gol Chelsea paling berjaya dalam sejarah

Sejak peletakan jawatan Michael Emenalo pada November 2017, Chelsea tidak mempunyai direktor sukan sehingga ke hari ini. Buat masa sekarang, tugas tersebut disandang buat sementara waktu Direktor Chelsea, Marina Granovskaia.

Seperti semua sedia maklum, segala perkara mengenai perpindahan pemain di Chelsea bukan terletak di bahu ketua jurulatih. Pemilik Chelsea, Roman Abramovich lebih gemar direktor sukan menguruskan pembelian pemain manakala ketua jurulatih hanya perlu fokus terhadap perkara di dalam padang.

Peminat Arsenal mungkin boleh menarik sedikit nafas lega selepas Cech mengeluarkan kenyataan rasmi yang menepis laporan tersebut melalui Twitter milik beliau.

Cech menegaskan beliau masih belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depannya dan kekal fokus terhadap tugasannya bersama Arsenal buat masa sekarang.

“Walaupun berita yang keluar hari ini, seperti yang pernah saya beritahu semua pihak sebelum ini, saya hanya akan membuat keputusan mengenai masa depan saya selepas perlawanan terakhir nanti. Sekarang fokus utama saya adalah untuk memenangi Europa League bersama Arsenal.”

Lampard mungkin menyertai Cech di Stamford Bridge musim hadapan

Selain Cech, Chelsea juga berminat untuk membawa kembali Frank Lampard dan John Terry ke Stamford Bridge. Ura-ura mengatakan Chelsea sudah membuat perancangan untuk melantik Lampard sebagai ketua jurulatih musim hadapan, walaupun jika Maurizio Sarri berjaya memenangi Europa League musim ini.

BACA:  Chelsea Bercadang Mahu Sailang De Jong Dari Man Utd Dengan Menawarkan Tunai Dan Dua Pemain Kepada Barca