Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Red Warriors (KRW), Fazli Mohammad melepaskan jawatannya serta merta selepas mengambil alih pengurusan The Red Warriors untuk kelansungan hidup pasukan pantai timur itu.
KRW ditubuhkan dengan kerjasama sebuah syarikat MyInspiration Sdn Bhd dan KAFA bagi memantapkan lagi pengurusan bola sepak Kelantan ke arah yang lebih profesional.
Pada 24 Januari KRW dan KAFA mencapai persetujuan bahawa Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan akan menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada KRW untuk beberapa perkara.
Menurut laporan Berita Harian, Fazli melepaskan jawatannya kerana timbul beberapa perkara menjadi permasalahan lantaran tidak wujud kesepakatan dengan pihak KAFA dalam pengurusan.
Selepas perjanjian dimeterai KRW menguasai majoriti dengan 70 peratus dan KAFA menguasai dengan 30 peratus dan Fazli menyenaraikan beberapa perkara yang menjadi sebab pengunduran.
“Selepas perjanjian ditandatangani pada 24 Januari 2019, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan wajib menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada KRW termasuk akaun bank, buku cek, dokumen berkaitan kontrak pemain, kontrak penajaan, hutang dan tunggakan gaji bekas pemain seperti mana tercatat dalam perjanjian.”
“KRW sedar segala proses penyerahan pasti mengambil masa bergantung kepada selaju mana pihak Bibi Ramjani dan KAFA menguruskan segala dokumen untuk penyerahan kuasa.”
“Saya juga pernah tegaskan dalam satu pertemuan bertarikh 6 Mac bersama Bibi Ramjani, Timbalan Presiden KAFA Datuk Affendi Hamzah, Naib Presiden KAFA, Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir yang mana saya akan menarik diri dan membatalkan perjanjian yang ditandatangan kerana sudah tidak boleh berkompromi dengan sikap acuh tak acuh dan sikap sambil lewa serta tidak serius KAFA dalam penyerahan kuasa dan dokumen-dokumen seperti yang diminta.”
Menurutnya Fazli lagi KRW juga telah meminjamkan wang syarikat sendiri pada 2 Februari, KRW bersetuju untuk meminjamkan sejumlah wang untuk membantu membayar gaji pemain skuad Liga Premier Kelantan.
“Selepas itu, KAFA mengatakan segala hutang lama dan gaji pemain yang sedia ada perlu dituntut dengan KRW sedangkan mereka belum menyerahkan segala dokumen dan akaun bank yang masih dikuasai Bibi Ramjani Ilias.
“Tanpa akaun bank dan tanpa buku cek syarikat semestinya tiada kemasukkan wang dan pembayaran dapat diselesaikan yang pasti ia (KRW) tetap dipersalahkan demi menutup kelemahan pihak lain,” katanya.
Apa yang lebih sedap Fazli turut mendedahkan KRW sudah membelanjakan RM400,000 bagi menguruskan pasukan dalam tempoh dua bulan.
“Walaupun RM1 pihak saya tidak pernah mengambil ataupun menerima dari pihak KAFA malahan pihak saya dan rakan sudah meminjamkan dan mendahulukan beberapa bayaran bagi pihak KAFA berjumlah mencecah RM400,000 dalam tempoh masa dua bulan ini,” katanya.
Power bukan? Kemelut kewangan dan pengurusan yang kelakar terus menjadi duri dalam daging pasukan Kelantan. Kesian.