Champions League 2019/20: Bayern Munich 4-1 Chelsea (Agg. 7-1)

Chelsea meneruskan rentak permainan mereka dengan bermain untuk kalah sekaligus menamatkan saingan Eropah mereka buat musim 2019/20 dengan kekalahan penuh bergaya.

Tewas 3-0 di Stamford Bridge pada perlawanan pertama kepada Bayern Munich menyaksikan tiada semangat kebangkitan yang dipamerkan oleh Chelsea.

Lalu mereka ditunjukkan jalan keluar dengan kekalahan 4-1 sekaligus mengumpul agregat 7-1. Kekalahan tidak beragak betul.

Mungkin sudah tertulis bahawa kelab dari London akan selalu sahaja menjadi santapan pasukan Bayern Munich. Dulu-dulu Arsenal yang diratah.

Robert Lewandowski nyata tidak dapat dibendung lagi dari melakukan huru-hara dalam perlawanan ini apabila menjaringkan dua gol dan dua assist.

Seawal minit ke-10 Lewandowski sudah membuka tirai jaringan dan terus menjarakkan agregat melalui sepakan penalti selepas beliau dijatuhkan oleh Wilfredo Caballero.

Berselang 14 minit kemudian, Ivan Perisic menjaringkan gol kedua dengan menyudahkan tolakan serba ringkas Lewandowski.

Jaringan Callum Hudson-Odoi pada minit ke-28 telah dibatalkan namun Chelsea acah-acah juga untuk melawan walaupun lemah.

Tammy Abraham menjaringkan gol saguhati Chelsea dalam perlawanan ini pada minit ke-44 selepas kesilapan Manuel Neuer membuat tepisan yang lemah.

Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 2-1 dengan agregat 5-1, satu kedudukan yang mustahil untuk dikejar oleh Chelsea.

Bayern Munich tidak remeh baki 45 minit perlawanan terutamanya Lewandowski yang seakan gian untuk bermain bola sepak apabila menambah lagi dua gol.

Corentin Tolisso menjaringkan gol ketiga dan gol voli ini direncanakan daripada satu hantaran silang oleh Robert Lewandowski.

Robert Lewandowski menjaringkan gol kedua peribadi untuk menutup perlawanan ini dengan kemenangan penuh bergaya.

Hantaran silang Alvaro Odriozola disudahkan dengan satu sundulan tajam oleh Lewandowski yang melonjakkan tinggi tanpa dicabar.

Dengan dua jaringan ini, Lewandowski telah memanjat tangga ke-4 penjaring gol terbanyak dalam sejarah Champions League dengan 66 gol dalam 87 perlawanan.

Bayern Munich: Neuer, Kimmich, Boateng, Alaba, Davies, Goretzka, Thiago, Gnabry, Muller, Perisic, Lewandowski

Subs: Odriozola, Sule, Martinez, Coutinho, Cuisance, Hernandez, Tolisso, Ulreich, Hoffmann, Tillman, Musiala, Arrey-Mbi

Chelsea XI: Caballero, James, Zouma, Christensen, Emerson, Kante (c), Kovacic, Barkley, Hudson-Odoi, Abraham, Mount

Subs: Kepa, Cumming, Rudiger, Tomori, Simeu, Maatsen, Bate, Lawrence, Giroud, Batshuayi, Broja

BACA:  5 Tahun Jadi 'Kayu Mati' Di Stamford Bridge, Chelsea Akhirnya Bakal Melepaskan Bintang Ini