Champions League 2021/22: Villarreal 0-2 Manchester United

Perlawanan yang penting buat Manchester United menentang Villarreal dan kemenangan dicari bagi mengesahkan tempat untuk terus bersaing di Champions League dan tidak ke Europa League lagi.

Agak pelik sebenarnya Ole Gunnar Solskjaer dipecat selepas cuti panjang selama dua minggu untuk aksi perlawanan antarabangsa.

Dengan persediaan dalam tempoh masa yang singkat tiada apa yang boleh dilakukan oleh Michael Carrick namun dengan meletakkan Donny Van De Beek bermula di kesebelasan adalah perkara rare dan berani.

Bruno Fernandes telah direhatkan bagi memberi peluang kepada Donny Van De Beek mengepalai jentera tengah. Gandingan gandar berganda Scott McTominay dan Fred dikekalkan.

Anthonya Martial bermula di sayap sebelah kiri dan Alex Telles turun menggantikan Luke Shaw yang mengalami kecederaan ketika tewas kepada Watford.

Terdapat beberapa perubahan ketara dan positif dalam perlawanan ini apabila para pemain Manchester United kelihatan bermain dengan penuh yakin walaupun masih huru-hara seperti sebelum ini.

Kualiti pemain Setan Merah kembali kelihatan dan tiada kurang sedikit kedunguannya. Segalanya kesilapan diselamatkan oleh aksi kelas dunia dari David De Gea.

Tempoh 45 minit pertama menjadi milik Villarreal, Donny Van De Beek gagal mempamerkan kecemerlangan ketika menentang Watford kerana kurang sokongan daripada McFred yang berterabur permainan mereka.

Anthony Martial pula tidak berfungsi seperti biasa kelihatan seperti seorang pengurus yang sangat istimewa kerana mengendalikan permainan dari dalam padang.

Alex Telles agak bergelut namun tidak terhukum dan mampu menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 0-0. Maguire pula tidak kelakar seperti biasa.

Ketika permainan hampir memasuki minit ke-60, David De Gea sekali lagi melakukan aksi menyelamat yang meknifisen dengan menipis keluar pecubaan Manuel Trigueros.

Permainan separuh masa kedua menyaksikan, Villarreal bertubi-tubi menekan dan melakukan serangan ke kubu Manchester United walaupun kurang mengancam.

Pada minit ke-66, Michael Carrick membuat dua pertukaran serentak mengeluarkan Donny Van De Beek dan Anthony Martial dengan memasukkan Bruno Fernandes dan Marcus Rashford.

Kemasukkan Bruno Fernandes dan Marcus Rashford merancakkan kembali nafsu Setan Merah untuk kembali menyerang. Fred dengan tiba-tiba pandai bermain bola. McTominay juga sama.

Dengan keluarnya Martial dan Rashford masuk mengganti, Manchester United kembali bermain dengan 11 orang.

Pada minit ke-71, Jadon Sancho mendapat peluang terbaik Manchester United dalam perlawanan ini, apabila gelekkan melepasi pertahanan Villarreal namun percubaanya berjaya dihadang penjaga gol Villarreal, Geronimo Rulli.

Pemain Manchester United mula berkampung di depan kotak Villarreal dan pada minit ke-78, Cristiano Ronaldo meneruskan rutin di Champions League dengan menjaringkan gol pembukaan perlawanan.

Gol berpunca dari kesilapan penjaga gol Villarreal, Geronimo Rulli yang menghantar bola kepada Etienne Capoue yang segera ditekan oleh Fred.

Cubaan Etienne Capoue membuat hantaran ke belekang tidak kesampaian apabila sampai kepada Ronaldo yang melihat Geronimo Rulli keluar jauh dari gawang.

Lalu satu lambungan terus dilakukan Ronaldo ke gawang terbuka tanpa pengawal.

Ronaldo berpeluang untuk menggandakan kedudukan selepas menerima hantaran yang tidak sampai dari Aaron Wan Bissaka namun lambungan Ronaldo kali ini sedikit tersasar.

Selang beberapa minit kemudian, Marcus Rashford pula mencuba namun tiada gol terhasil tetapi cukup membuatkan penjaga gol Villarreal menggelupur.

Jadon Sancho akhirnya membuka akaun gol bersama Manchester United dan pentas Eropah menjadi pilihan yang terus mematikan perlawanan dan peluang Villarreal.

Gol berpunca dari hantaran Ronaldo kepada Marcus Rashford yang menghantar terus kepada Bruno Fernandes.

Namun Bruno Fernandes telah terlepas bola atau disengajakan mujur ada Jadon Sancho yang terus melepaskan rembatan padu yang terus menghentam tiang sebelum bola terkulai layu di dalam gawang.

Kemenangan ini telah mengesahkan tempat Manchester United ke pusingan kalah mati dengan satu perlawanan berbaki kerana secara head to head Villarreal tidak berpeluang untuk memotong Manchester United.

Villarreal: Rulli, Foyth, Albiol, Torres, Estupinan, Capoue, Trigueros, Parejo, Moi Gomez, Pino, Danjuma.

Pemain Simpanan: Sergio Asenjo, Mario, Alcacer, Iborra, Chukwueze, Dia, Raba, Moreno, Pena, Mandi, Pedraza, Iker.

Man Utd: De Gea, Wan Bissaka, Lindelof, Maguire, Alex Telles, Fred, McTominay, Sancho, van de Beek, Martial, Ronaldo.

Pemain Simpanan: Bailly, Mata, Rashford, Lingard, Diallo, Bruno Fernandes, Dalot, Heaton, Henderson, Matic.

Pengadil Perlawanan: Felix Brych (Munich)

BACA:  Premier League 2022/23: Liverpool 7-0 Manchester United (Agg. 17-2)