Chelsea Akan Gantikan Logo 3 Dengan Sesuatu Yang Lebih Berguna

Thomas Tuchel mendedahkan yang beliau sangat terbuka untuk Chelsea bermain dengan mempromosikan mesej keamanan pada jersi mereka, memandangkan Three UK tidak lagi menjadi penaja kelab.

Selepas Three UK menggantung tajaan mereka kepada Chelsea, logo mereka juga tidak akan dipamerkan lagi pada jersi The Blues selepas ini.

Maka dengan itu, Thomas Tuchel terbuka dan menerima dengan baik cadangan untuk Chelsea mempromosikan mesej keamanan pada jersi mereka sebagai pengganti kepada logo Three UK buat seketika.

Khamis lalu pihak kerajaan UK telah mendedahkan yang segala asset milik Roman Abramovich termasuk Chelsea FC telah dibekukan oleh kerajaan.

Sehari selepas itu, penaja utama jersi Chelsea, Three UK pula tampil mahu menggantung terlebih dahulu tajaan mereka kepada The Blues sehingga tarikh diberitahu kelak.

Wakil jurucakap Three dalam kenyataannya ada menyatakan bahawa:

“Memandangkan ada sekatan dari pihak kerajaan baru-baru ini, kami memutuskan untuk menggantung sementara tajaan kami kepada kelab bola sepak Chelsea, termasuk menarik balik logo kami pada jersi dan sekitar stadium sehingga tempoh diberitahu kelak.”

“Kami sedar yang keputusan ini akan memberi impak kepada ramai penyokong Chelsea yang menyokong mereka dengan penuh semangat. Walau bagaimanapun, kami rasa, melihat kepada keadaan semasa dan keputusan kerajaan membekukan kelab, kami sebenarnya sudah melakukan hal yang betul.”

“Sebagai syarikat telekomunikasi, cara terbaik untuk kami menunjukkan sokongan kepada Ukraine adalah memastikan pelarian yang tiba ke UK dari sana dan pelanggan yang masih di UKraine akan terus kekal berhubung.”

“Oleh yang demikian, kami menawarkan pakej perhubungan antara semua pelarian Ukraine di UK dengan mereka yang masih kekal di Ukraine.”

Pada awalnya, skuad kendalian Thomas Tuchel itu dijangka akan memakai jersi tanpa mempamerkan apa-apa logo penaja pada jersi mereka ketika aksi bertemu Norwich sebelum ini.

Walau bagaimanapun, dek kerana kenyataan tersebut dikeluarkan tidak lama sebelum sepak mula perlawanan, maka skuad Chelsea jelas sekali akan tetap memakai logo mereka dalam perlawanan tersebut.

Jersi Chelsea pada ketika ini kekal kosong, namun Tuchel tidak menolak cadangan supaya The Blues menyampaikan mesej keamanan pada jersi mereka selepas ini sebagai pengganti kepada logo Three.

“Kita sentiasa boleh memakai (jersi) untuk menyampaikan mesej keamanan, dan jangan sampai ia menjadi mesej yang salah.”

Jelas Tuchel ketika sebelum sidang media.

Tuchel turut mendedahkan kebimbangan beliau tentang fakta yang kelab tidak akan mampu untuk mendapatkan jersi kerana undang-undang baru yang ditetapkan ke atas mereka ketika ini.

The Blues tidak dibenarkan berbelanja lebih dari £20,000 untuk perjalanan dalam setiap perlawanan, sementara mereka juga hanya boleh berbelanja sekitar £500,000 sahaja untuk kos operasi setiap perlawanan.

“Sudah tentu, mungkin kebimbangan itu lebih kepada mencari jersi yang cukup supaya kami tetap boleh bermain dengan sekatan yang kami hadapi.”

Tambah pengurus dari Jerman itu lagi.

“Tapi selagi mana kami ada jersi yang mencukupi, dan selagi mana kami ada bas dengan minyak yang cukup, kami akan sampai dan kami akan beraksi.”

“Ini adalah apa yang semua orang boleh pastikan dan ia juga adalah apa yang kami tuntut terhadap diri kami sendiri. Ketika badai besar melanda, kamu hadapi, kamu semua mesti bersama dan kamu perlu kekal tabah untuk harunginya. Tapi mempromosikan mesej kedamaian tidak pernah jadi satu kesalahan.”

Terdapat terlalu banyak musibah dan masalah yang melanda Chelsea pada ketika ini dengan mereka dikatakan hanya mampu bertahan selama dua minggu sahaja dari sekarang.

Pimpinan Chelsea ketika ini dilaporkan akan bertemu dengan pihak kerajaan agar membenarkan mereka untuk menjual kelab dengan segera.

Hal ini kerana aliran tunai Chelsea sepertinya sudah tidak akan bertahan lebih lama dan mereka tidak mampu untuk meneruskan kelangsungan kelab.

Menurut sumber laporan dari The Daily Mail, The Blues perlu mencari £28 juta sebulan hanya untuk membayar gaji para pemain sahaja.

Ia tidak termasuk gaji jurulatih, pengurus dan semua staff kelab yang lain dan mereka kini hanya memiliki £16 juta sahaja dalam simpanan kelab.

Dengan mereka kini sudah tidak ada sumber pendapatan dari hasil penjualan merchandise dan tiket, maka Chelsea jelas sekali tidak mampu untuk membayar gaji pemain dan staff.

Lebih teruk lagi, laporan sama turut mendakwa yang Chelsea hanya mampu bertahan selama 17 hari sahaja lagi sebelum mereka benar-benar kehabisan duit.

Pimpinan kelab pada ketika ini sedang berunding dengan pihak kerajaan, dalam usaha mereka untuk memohon agar hukuman sekatan yang dikenakan ke atas kelab akan dapat dikurangkan.

Hal ini kerana mereka sangat terdesak untuk dapatkan aliran tunai, terutama dari segi penjualan merchandise dan kutipan tiket.

Pada ketika ini, memandangkan hanya pemilik pas bermusim sahaja yang dibenarkan untuk masuk, ia bermaksud Chelsea tidak akan dapat apa-apa pada hari perlawanan, termasuk hasil penjualan tiket kepada pasukan pelawat.

Seandainya pihak kerajaan membenarkan Chelsea untuk kembali menjual tiket dan merchandise, hal itu akan sangat membantu kelab dalam usaha mereka mendapatkan dana tambahan.

Chelsea juga sebenarnya boleh dijual pada ketika ini, namun urusan penjualan akan sepenuhnya diuruskan oleh pihak kerajaan UK dan Roman Abramovich tidak akan menerima satu sen pun dari penjualan kelab.

Keuntungan atau modal atau apa sahaja hasil dari penjualan Chelsea akan sepenuhnya dikawal oleh pihak kerajaan UK.

Roman Abramovich sebelum ini mahu meletakkan tanda harga bernilai £3 billion untuk melepaskan Chelsea selepas hampir 20 tahun beliau memiliki kelab dari London itu.

Beliau juga dilaporkan tidak akan menuntut semula hutang kelab bernilai £1.5 billion darinya dan menyatakan yang keuntungan hasil penjualan kelab akan didermakan kepada mangsa peperangan di Ukraine.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Penyokong Chelsea Dihentam Kerana Bersorak Nama Roman Abramovich