Chelsea Akhirnya Melepaskan Gol Pertama Dari Permainan Terbuka Sepanjang Musim 2021/22

Chelsea dikejutkan dengan keputusan seri 1-1 bertemu pasukan yang sedang berada di zon penyingkiran dalam saingan Premier League, Burnley.

Skuad kendalian Thomas Tuchel itu turun beraksi bertemu Burnley dalam saingan Premier League di Stamford Bridge malam semalam.

Pendahulu saingan liga itu kerap mensia-siakan kesempatan yang mereka ada dalam perlawanan ini dan terpaksa akur sekadar mengutip satu mata sahaja di halaman sendiri.

The Blues mendominasi perlawanan sejak dari awal permainan lagi, namun mereka perlu menunggu sehingga minit ke-33 untuk menjaringkan gol pembukaan.

Bola hantaran lintang Reece James yang secukup rasa ditanduk padu oleh Kai Havertz untuk pasukan tuan rumah mendahului perlawanan.

Namun selepas berjaya memperoleh gol awal, Chelsea dilihat mati kutu dan hilang arah untuk mencari gol kedua mereka dalam perlawanan ini.

Namun sedang mereka asyik memburu gol kedua, Burnley juga turut sama gigih mencari gol penyamaan dengan melancarkan beberapa siri serangan merbahaya ke kubu The Blues.

Matej Vydra berjaya memadam gol pendahuluan Chelsea yang dijaringkan oleh Kai Havertz sebelum ini untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Apa yang menariknya, gol tersebut sebenarnya gol pertama yang Chelsea lepaskan dari permainan terbuka sepanjang musim ini.

Ia merupakan satu pencapaian yang sungguh menakjubkan untuk Chelsea yang berjaya memastikan gawang mereka tidak dibolosi dari permainan terbuka dalam saingan Premier League.

Ia juga bukti nyata yang The Blues sebenarnya mempunyai barisan pertahanan yang sungguh luar biasa hebat, dan penjaga gol yang dasyat.

Perlawanan tamat dengan kedudukan kekal terikat 1-1, dengan kedua-dua pasukan telah mempamerkan aksi persembahan yang sangat menghiburkan sepanjang perlawanan.

Walau bagaimanapun, seandainya Chelsea lebih klinikal, mereka jelas sekali sudah boleh kenduri gol dalam perlawanan bertemu pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran itu.

Pasukan tuan rumah sukar untuk memperoleh tambahan jaringan walau mereka mendominasi sepenuhnya permainan dalam perlawanan ini.

Satu hal yang pasti, selain jentera serangan Chelsea yang tumpul, penjaga gol Burnley, Nick Pope turut beraksi dengan sangat cemerlang sepanjang perlawanan ini.

Beliau berjaya menyelamatkan empat percubaan dari Chelsea yang berpotensi untuk disudahi dengan jaringan gol dan ia merupakan satu statistik yang boleh dibanggakan.

Skuad kendalian Sean Dyche benar-benar berpuas hati berjaya mencuri satu mata berharga dari Stamford Bridge, dalam usaha mereka untuk keluar dari zon penyingkiran.

Chelsea juga tertekan berada di puncak saingan liga selepas mereka kini hanya tiga mata sahaja mengatasi Manchester City yang berada di kedudukan kedua selepas mereka menewaskan Manchester United malam semalam.

Sementara Liverpool pula berpeluang untuk merapatkan jurang mata dengan Chelsea seandainya mereka berjaya mencatatkan kemenangan bertemu West Ham nanti.

The Reds pada ketika ini tiga mata dibelakang The Blues, dan seandainya mereka menang, maka anak-anak buah Jurgen Klopp itu hanya satu mata sahaja dipisahkan dari pendahulu saingan Premier League itu.

Keputusan ini jelas sangat mengejutkan memandangkan Chelsea merupakan antara pasukan paling konsisten dan mereka dilihat bakal mampu untuk mengekalkan momentum sama hingga rehat antarabangsa nanti.

Walau sudah berjaya mencuri satu mata, namun Burnley masih kekal berada di zon penyingkiran selepas mengutip lapan mata dari 11 perlawanan.

Mereka hanya dua mata sahaja dipisahkan dari Leeds United yang berada di kedudukan ke-17, namun anak-anak buah Marcelo Bielsa itu masih ada satu perlawanan yang belum dimainkan.

Saingan Premier League akan memberi laluan untuk aksi perlawanan di pentas antarabangsa dengan para pemain bakal kembali ke kem latihan skuad kebangsaan masing-masing untuk meneruskan aksi kelayakan Piala Dunia.

Saingan liga akan kembali bermula pada 20 November nanti dengan Chelsea bakal berkunjung ke King Power Stadium untuk beraksi bertemu Leicester City.

Sementara Burnley pula akan menanti kunjungan Crystal Palace dalam usaha mereka untuk mengutip tiga mata penting, seterusnya menyelamatkan diri dari terus berada di zon penyingkiran.

BACA:  Direject Chelsea Pada Mac Lalu, Kante Bawa Diri Ikuti Benzema Sertai Al Ittihad