Chelsea Berharap 5 Pemainnya Kembali Sebelum Bertemu Tottenham

Pengurus Chelsea, Enzo Maresca berharap 5 pemain utama pasukannya dapat kembali sebelum perlawanan menentang Tottenham Hotspur yang akan berlangsung pada 2 April nanti.

Chelsea menerima satu lagi tamparan hebat apabila Nicolas Jackson disahkan mengalami kecederaan hamstring lebih serius daripada jangkaan. Dia dijangka berehat selama 6 minggu selepas mendapat kecederaan itu dalam perlawanan menentang West Ham United.

Jackson kini menyertai Marc Guiu, Romeo Lavia, Wesley Fofana dan Benoit Badiashile dalam senarai pemain yang tidak boleh diturunkan kerana masalah kecederaan otot dan hamstring.

Namun, Maresca memberi perkembangan positif dengan menyatakan bahawa Fofana, Lavia dan Badiashile sedang dalam proses pemulihan manakala dia yakin Jackson dan Guiu boleh kembali selepas rehat antarabangsa pada Mac.

“Nico tidak akan bermain sehingga selepas rehat antarabangsa (Mac) dan mungkin akan kembali selepas itu. Marc masih perlu berehat lama. Romeo Lavia dan Benoit Badiashile dalam proses pemulihan manakala Wes Fofana baru sahaja mula berlatih bersama pasukan 2 hari lalu. Dia masih memerlukan sekurang-kurangnya 2 hingga 3 minggu lagi untuk kembali cergas sepenuhnya,” kata Maresca.

Selain itu, Maresca juga mengesahkan bahawa kapten pasukan, Reece James yang tidak diturunkan dalam kekalahan 2-1 kepada Brighton dalam aksi Piala FA minggu lalu sudah bersedia untuk bermain.

Jorgensen Kini Penjaga Gol Utama Chelsea

Maresca juga mengesahkan bahawa Filip Jorgensen kini menjadi pilihan utama sebagai penjaga gol Chelsea.

Dalam perlawanan terakhir Liga Perdana menentang West Ham, Maresca memberi peluang kepada Jorgensen menggantikan Robert Sanchez yang sebelum ini melakukan beberapa kesilapan besar. Sanchez kembali bermain dalam perlawanan Piala FA menentang Brighton tetapi Maresca menegaskan bahawa Jorgensen kekal sebagai pilihan utama buat masa ini.

“Kami tidak akan menukar penjaga gol setiap perlawanan. Dalam perlawanan liga yang lalu, Filip yang bermain. Walaupun Sanchez bermain dalam Piala FA tetapi penjaga gol utama kami sekarang ialah Filip,” jelas Maresca.

Ketika ditanya sama ada Jorgensen akan kekal sebagai penjaga gol utama sehingga akhir musim, Maresca menjawab:

“Buat masa ini, inilah keadaannya. Kita akan lihat nanti.”

BACA:  Pemakanan Punca Lukaku Hanya Handal Ketika Di Itali Dan Tidak Di England