Chelsea Cipta Rekod Terburuk Sejak Disember 2015 Ketika Menentang Manchester United

Beberapa minggu lalu penyokong Chelsea pastinya sudah bersedia dengan status-status Facebook untuk merayakan kejayaan mereka memenangi liga, namun selepas malam tadi, kegusaran mula timbul di hati mereka. Tewas kepada pasukan biasa-biasa dari Manchester sudah cukup memilukan dan apa yang lebih mencengkam jiwa, Chelsea gagal untuk melakukan sebarang percubaan tepat ke gawang lawan – rekod terburuk mereka sejak Disember 2015.

Kegagalan bahagian serangan Chelsea ini membuatkan penjaga gol Manchester United, David De Gea seolah-olah makan gaji buta dalam perlawanan tersebut.

De Gea sempat bermain Candy Crush ketika perlawanan semalam.

Ketika ditanya Sky Sport, pengurus Chelsea, Antonio Conte mengakui dia sedikit gusar dengan prestasi bahagian serangan Chelsea.

“Sudah tentu aku risau. Aku kena risau sebab kami sama-sama sudah bekerja keras dan kena cepat mencari kemahuan yang betul, cita-cita yang betul untuk memenangi takhta liga.

“Kalau ada orang fikir yang Chelsea menang liga tu adalah perkara normal, tapi aku rasa musim ni tak normal, sebab musim ini kami bermula sebagai pasukan bawah anjing.

“Kami masih lagi kekal sebagai pendahulu tetapi Tottenham sekarang sedang berada di prestasi kemuncak mereka, dan mereka bermain dengan cukup semangat. Itu yang kami kena cari,” tambah Conte.

Mengenai perlawanan tersebut juga, Conte mengakui kekalahan tersebut adalah kesalahannya dan pasukan merah dari Manchester tersebut layak untuk menang kerana keinginan yang lebih tinggi.

“Aku rasa diorang layak untuk menang kerana diorang menunjukkan keinginan untuk menang lebih daripada kami, dan diorang juga lebih bermotivasi,” ujar Conte, sebak.

“Tapi kekalahan ini memang salah aku, sebab aku gagal untuk memupuk keinginan dan motivasi untuk menang dalam jiwa pemain untuk bermain dalam perlawanan seperti ini.

“Untuk bermain perlawanan yang sengit macam ni, bermula sekarang kami perlu menanam keazaman yang tinggi, keingingan yang tinggi dan motivasi yang tinggi untuk memenangi liga,” tambah Conte lagi.

Hazard tidak dapat bermain seperti biasa semalam kerana dijaga oleh Mourinho.

Chelsea terpaksa memulakan permainan dalam keadaan tempang setelah penjaga gol, Thibaut Curtois tidak dapat diturunkan kerana kecederaan hamstring, manakala pertahanan sisi, Marcos Alonso juga tidak dapat diturunkan kerana kecederaan. Perancang utama pasukan, Eden Hazard pula tidak diketahui ke mana dia menghilang dan langsung tidak kelihatan dalam perlawanan semalam.

Satu lagi kecacatan Chelsea dalam perlawanan menentang United ialah kegagalan penyerang mereka, Diego Costa, untuk memprovokasi pertahanan Manchester United, sekaligus gagal menyebabkan mana-mana pemain United mendapat kad merah.

Sumber berita : ESPNFC

Baca Juga

Baca Juga