Chelsea Hilang Arah? Masalah Gaya Permainan Maresca

Musim Chelsea nampaknya semakin merosot. Dua bulan lalu mereka berpeluang menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris tetapi kini berada di kedudukan ke-6 dan perlu berjuang untuk layak ke Liga Juara-Juara.

Pasukan kendalian Enzo Maresca hanya menang 2 daripada 9 perlawanan liga terakhir mereka. Lebih teruk lagi, dalam kekalahan 3-0 kepada Brighton, Chelsea gagal melakukan satu pun percubaan tepat ke gawang. Ia kali pertama perkara ini berlaku dalam perlawanan liga sejak 2021.

Dalam satu perbincangan, wartawan bola sepak membincangkan mengapa corak permainan Maresca yang dikenali sebagai “Maresca-ball” mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat Chelsea.

Adakah Chelsea Lebih Baik Bermain Secara Pantas?

Salah satu isu utama adalah gaya permainan Chelsea di bawah Maresca. Pasukan ini gemar mengawal bola dengan kadar penguasaan tinggi tetapi statistik menunjukkan mereka kurang berkesan di hadapan gol.

Menurut wartawan Liam Twomey, ramai pemain Chelsea lebih cemerlang dalam situasi serangan pantas. Contohnya, Cole Palmer lebih efektif ketika permainan terbuka, sementara Nicolas Jackson lebih berbahaya apabila mempunyai ruang untuk berlari. Begitu juga dengan Noni Madueke yang gemar berdepan pertahanan lawan secara langsung.

Namun, pendekatan ini bercanggah dengan falsafah Maresca. Selepas kemenangan Chelsea ke atas Newcastle pada awal musim ini, Maresca menegaskan bahawa beliau tidak mahu pasukannya bermain seperti perlawanan bola keranjang iaitu serang dan bertahan secara pantas tanpa kawalan.

Walaupun begitu, perlu diakui bahawa Chelsea di bawah Mauricio Pochettino pada musim lalu sangat lemah dari segi pertahanan kerana kurang struktur. Di bawah Maresca, pertahanan mereka sedikit lebih baik tetapi masih belum cukup kukuh. Berdasarkan statistik, Chelsea dijangka bolos 1.4 gol untuk setiap perlawanan, iaitu tahap pertahanan yang sederhana dalam liga.

Masalah utama Chelsea sekarang adalah mereka tidak cukup tajam di bahagian serangan, sementara pertahanan mereka masih belum cukup mantap. Akibatnya margin kesilapan mereka menjadi semakin kecil, menyebabkan banyak keputusan seri dan kekalahan yang akhirnya melemahkan momentum pasukan.

Chelsea Tidak Seperti Manchester City

Oli Kay, seorang wartawan kanan membandingkan Chelsea dengan Manchester City, memandangkan Maresca merupakan bekas jurulatih dalam sistem Pep Guardiola. Namun, perbezaan ketara antara kedua-dua pasukan adalah pengalaman pemain.

City dibarisi pemain-pemain berpengalaman yang memahami konsep kawalan permainan dengan baik, sementara pemain Chelsea masih dalam fasa pembelajaran dengan ramai pemain muda yang mencari rentak mereka. Oleh itu, tidak adil untuk mengharapkan Chelsea dapat bermain dengan tahap kawalan seperti City dalam tempoh yang singkat.

Selain itu, jadual padat juga menjadi cabaran untuk Maresca. Chelsea bermain dalam Liga Conference League pada setiap hari Khamis, menjadikan tempoh rehat mereka singkat sebelum perlawanan liga pada hujung minggu. Ia menyukarkan proses mereka untuk mengadaptasi corak permainan baru yang lebih teratur.

Adakah Maresca Perlu Mengubah Pendekatannya?

Maresca berpegang teguh kepada gaya permainan yang perlahan dan tersusun tetapi ada persoalan sama ada dia sepatutnya menjadi lebih fleksibel.

Sebagai perbandingan, Brendan Rodgers juga memulakan kariernya sebagai pengurus yang obses dengan penguasaan bola dan hantaran pendek. Namun ketika di Liverpool, dia menyedari bahawa pemain seperti Luis Suárez, Raheem Sterling, Philippe Coutinho dan Daniel Sturridge lebih sesuai bermain dalam corak serangan pantas. Rodgers akhirnya mengubah pendekatannya dan Liverpool hampir menjuarai liga pada 2013-14.

Adakah Maresca akan mengambil langkah yang sama? Buat masa ini, dia masih berpegang pada falsafahnya tetapi jika keputusan terus merosot, dia mungkin perlu menyesuaikan gaya permainan mengikut kelebihan pemainnya.

Mungkin dalam setahun lagi, kita akan melihat perubahan ini sebagai satu langkah bijak untuk membentuk Chelsea yang lebih kukuh. Tetapi buat masa sekarang, pasukan ini kelihatan kehilangan identiti dan bergelut untuk menyesuaikan diri dengan strategi pengurus mereka.

BACA:  Kedunguan Lukaku Makin Terserlah Selepas Beliau Menukar Bio Facebook Miliknya