Chelsea Mahu Dapatkan Semula Hazard Dari Real Madrid

Selepas hanya dua tahun di Sepanyol, Eden Hazard dijangka akan melakukan kepulangan semula ke Chelsea, selepas bekas majikannya itu mahu menyelamatkan karier beliau.

Pemain sayap Real Madrid itu berdepan dengan kesukaran sejak beliau melengkapkan perpindahan bernilai £103 juta ke Santiago Bernabeu pada tahun 2019 yang lalu.

Beliau berdepan masalah kesukaran melibatkan kecederaan dan juga masalah persembahan yang tidak menentu.

Walau bagaimanapun, bekas majikannya kini tampil untuk menyelamatkan Hazard dari terus terperangkap dalam mimpi ngeri beraksi dalam saingan La Liga.

Media Sepanyol, El Nacional mendakwa yang Roman Abramovich sendiri akan berusaha untuk membawa Hazard kembali ke Stamford Bridge pada musim panas akan datang.

Akhbar tersebut bahkan turut menjelaskan yang rundingan tak rasmi antara kedua-dua kelab berkait kebarangkalian untuk menandatangani Hazard telah pun berlangsung pada ketika ini.

Sejak dua musim terakhir ini, Hazard lebih kerap berada di bilik rawatan berbanding beraksi di atas padang, dan sepertinya Real Madrid sudah tidak sanggup terus jadi hospital untuk bintang Belgium itu.

Pemain berusia 30 tahun itu sebelum ini ditandatangani oleh Zinedine Zidane yang sememangnya sangat meminati persembahan beliau.

Namun memandangkan pengurus dari Perancis itu sudah tidak berkhidmat di Santiago Bernabeu lagi, ramai peminat yang mula mempertikaikan tentang mengapa Hazard masih kekal bersama kelab.

Ketua jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelloti sepertinya bukanlah penggemar Eden Hazard, dengan beliau beberapa kali mengetepikan bintang Belgium itu dalam perlawanan besar pada musim ini.

Dengan pemain sayap muda seperti Rodrigo dan Vinicius Jr sedang berkembang dengan baik serta sering mencuri perhatian ramai, mereka sepertinya akan jadi penghalang untuk Hazard kembali beraksi.

Pemilik Chelsea, Abramovich turut yakin yang Hazard akan mampu untuk kembali bersinar seandainya beliau beraksi semula dalam saingan Premier League bersama The Blues.

Ketika kemuncak kariernya, Hazard merupakan nadi utama Chelsea, dengan beliau turut pernah memenangi anugerah PFA Player of the Year pada musim 2014/15.

Beliau ketika itu memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu skuad Chelsea di bawah kendalian Jose Mourinho untuk memenangi Piala kejuaraan.

Beliau meninggalkan Chelsea dengan rekod 85 jaringan, dan turut pernah membantu The Blues menjuarai saingan Premier League serta Europa League.

Satu lagi faktor yang memungkinkan untuk melihat Hazard kembali ke Stamford Bridge adalah kerana pengurus Chelsea, Thomas Tuchel sebenarnya sangat meminati bintang Real Madrid itu.

Pengurus dari Jerman itu sebelum ini pernah memuji Eden Hazard dengan menyatakan:

“Dia seorang pemain yang mempunyai kualiti tinggi dan nadi utama untuk kelab dan liga ini untuk tempoh yang lama, antara pemain terbaik di dunia.”

“Sangat konsisten. Saya sangat menghormati dia. Dia seorang pemain bintang, kita ada ramai orang di sini yang kenal dia.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Alonso Hampir 'Musnahkan' TV Ketika Menonton Undian Liga Juara-Juara