Chelsea Terlalu Bergantung Kepada Penalti?

Daripada lima perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, Chelsea berjaya mencatatkan tiga kemenangan dan dua keputusan seri.

Chelsea berjaya menjaringkan sembilan gol dari kesemua lima perlawanan tersebut, dan hanya merekodkan empat bolos.

Lima dari sembilan gol yang berjaya Chelsea jaringkan setakat lima perlawanan terakhir ini merupakan gol sumbangan dari Jorginho.

Seperti semua sedia maklum, memang sukar untuk melihat Jorginho menjaringkan gol padang, dengan beliau kebiasaannya mencatat nama sebagai penjaring gol ketika Chelsea memenangi penalti sahaja.

Maka dengan itu, lima dari sembilan gol yang berjaya dijaringkan oleh Chelsea dari lima perlawanan terakhir mereka sebenarnya merupakan gol dari sudut sepakan penalti.

Kerana itu jugalah para peminat mula menganggap yang Chelsea terlalu bergantung kepada penalti untuk mencatat kemenangan.

Chelsea terlebih berharap pada penalti?

Ketika aksi kemenangan 3-2 menewaskan Leeds United yang sedang tidak berprestasi, dua dari tiga gol mereka dalam perlawanan tersebut datang dari sudut sepakan penalti.

The Blues kemudiannya mencatatkan dua keputusan seri secara berturut-turut bertemu Wolverhampton Wanderers dan Everton dalam aksi saingan Premier League.

Anak-anak buah Thomas Tuchel kemudiannya berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 menewaskan Brentford dalam aksi saingan Carabao Cup.

Mereka berjaya menewaskan Brentford juga hasil sumbangan dari gol penalti Jorginho dan satu lagi gol sendiri jaringan Pontus Jansson.

Awal pagi tadi, skuad The Blues kembali menemui rentak kemenangan dalam saingan Premier League, dengan mereka berjaya menewaskan Aston Villa 3-1.

Apa yang membuatkan keputusan ini menjadi sebut-sebutan para peminat adalah kerana dua dari tiga gol Chelsea dalam perlawanan ini juga merupakan hasil dari sudut sepakan penalti.

“Dua penalti lagi? Adakah Chelsea hanya akan menang bila mereka dapat penalti? Mereka sepertinya terlalu mudah dapat penalti.”

“Saya rasa pasukan lawan memang kena berhati-hati kalau jumpa Chelsea, mereka terlalu mudah dapat penalti. Memang ada sentuhan tetapi mudah sangat mereka menang penalti.”

“Baru hari tu mereka dapat dua penalti dalam satu perlawanan, hari ini mereka dapat lagi? Wow. Jorginho boleh menang kasut emas pada hujung musim ini hasil dari sepakan penalti sahaja.”

“Jorginho sekarang tiga gol sahaja lagi untuk pintas Vardy di kedudukan ketiga penjaring terbanyak, dan semua gol yang dia jaringkan adalah menerusi sepakan penalti.”

Kehadiran semula Lukaku bakal beri impak positif kepada jentera serangan Chelsea

Romelu Lukaku akhirnya kembali diturunkan dalam skuad utama Chelsea, dengan beliau telah dimasukkan pada aksi babak kedua dalam perlawanan ini.

Kemasukkan beliau jelas sekali memberi impak yang positif kepada skuad The Blues, dengan Lukaku berjaya menjaringkan satu gol dan turut memenangi penalti untuk bantu Chelsea benam Aston Villa 3-1.

Gol tersebut merupakan gol keempat beliau secara peribadi dalam saingan Premier League, dan ia juga merupakan gol pertama beliau sejak September lalu.

Masalah kecederaan dan kecergasan telah membataskan aksi Lukaku bersama Chelsea sebelum ini, dan beliau kini dilihat sudah bersedia untuk kembali menjadi peledak gol utama Chelsea.

Kejayaan Chelsea menewaskan Aston Villa berjaya membantu menghidupkan semula kesempatan untuk mereka mencabar kejuaraan liga musim ini.

Chelsea kini berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul kutipan mata yang sama dengan Liverpool, namun skuad kendalian Jurgen Klopp itu masih ada kelebihan satu perlawanan yang belum dimainkan.

Mereka selepas ini akan bertemu Brighton dalam saingan Premier League, sebelum kembali bertemu Liverpool pada awal Januari nanti.

Sumber: Goal

BACA:  Hazard Ramal England Mampu Layak Ke Final Piala Dunia Dan ...... Kalah Di Tangan Belgium !