Wesley Fofana mungkin akan kembali ke kesebelasan utama Chelsea untuk kali pertama dalam tempoh 4 bulan apabila bekas kelabnya, Leicester City bertandang ke Stamford Bridge pada Ahad ini.
Jika dia bermain, setiap larian, setiap pusingan pantas, setiap terjahan dan setiap perlanggaran yang melibatkannya akan membawa risiko kecederaan. Jika dia tidak bermain, akan timbul persoalan baru sama ada pemulihannya mengalami kemunduran atau tidak berjalan seperti yang diharapkan.
Peranan Besar Fofana Dalam Pasukan
Inilah ketidakpastian yang wujud apabila bercakap tentang Fofana.
Apa yang membuatkan situasi ini lebih meresahkan pengendali Chelsea, Enzo Maresca ialah nilai pemain Perancis itu dalam pasukan mudanya tidak boleh dipandang remeh apabila dia cergas untuk bermain. Ketiadaannya bertepatan dengan kemerosotan prestasi pasukan dan walaupun korelasi bukanlah penyebab utama, ia jelas merupakan faktor yang besar.
Menurut Opts, dalam 12 perlawanan Liga Perdana Inggeris yang dimulakan oleh Fofana musim ini, Chelsea secara purata hanya melepaskan 1.3 gol dijangka (expected goals) setiap perlawanan. Angka itu meningkat kepada 1.6 dalam 17 perlawanan yang dimainkan tanpanya. Jika melihat kepada gol sebenar yang dibolosi, Chelsea hanya melepaskan 1 gol setiap perlawanan apabila Fofana bermain tetapi meningkat kepada 1.6 gol setiap perlawanan tanpanya.
Sebahagian besar daripada ini berkaitan dengan bakat dan sebahagian lagi berkaitan dengan taktik. Dari segi keupayaan, Fofana adalah pertahanan paling lengkap Chelsea. Dia memiliki gabungan kemahiran, kelajuan dan kekuatan yang jarang ditemui. Dia mampu mengawal penyerang lawan sama ada dalam duel udara mahupun larian pantas.
Kemampuannya itu menjadikannya aset penting dalam sistem permainan Maresca yang menuntut garisan pertahanan tinggi. Ketika kali terakhir dia bermain, menentang Aston Villa pada 1 Disember, dia ditugaskan untuk mengawal Ollie Watkins secara bersendirian dengan ruang besar di belakangnya, sementara rakan gandingannya, Levi Colwill diarahkan untuk bermain lebih tinggi.
Maresca sendiri pernah menyatakan rasa kagumnya terhadap Fofana:
“Saya sudah banyak kali mengatakan bahawa saya sangat menyukai Wes kerana dia adalah jenis pertahanan yang membolehkan pasukan menekan dengan agresif dan membiarkannya berhadapan 1 lawan 1 dengan pemain seperti Ollie Watkins di seluruh padang.”
Ketiadaan Fofana Dirasai Chelsea
Tanpa pemain seperti Fofana, kelemahan barisan pertahanan Chelsea sering terserlah.
Manchester City dengan mudah merobek pertahanan tinggi Chelsea dalam perlawanan di Etihad pada Januari lalu. Pada bulan lalu Brighton pula mengeksploitasi kelemahan sama di Stadium Amex dengan hantaran jauh ke belakang barisan pertahanan Chelsea menjadi strategi utama mereka – sesuatu yang tidak akan mudah untuk Brighton jika Fofana berada di atas padang.
Oleh itu, kepulangannya adalah berita baik untuk Chelsea terutama selepas Maresca pada awalnya menjangkakan dia akan terlepas sepanjang musim akibat kecederaan hamstring yang dialaminya dalam perlawanan menentang Aston Villa.
Namun, kebimbangan utama bukan sekadar pemulihannya tetapi juga sejarah kecederaannya yang panjang. Pada Oktober lalu, Maresca mengeluarkan kenyataan yang cukup membimbangkan:
“Sekarang dia sedang bertarung dengan kesakitan. Apabila anda mengalami kecederaan seperti itu, anda mungkin akan merasainya sepanjang karier anda.”
Pada ketika itu, Fofana masih belum mencapai usia 24 tahun. Dia juga baru setahun menjalani pembedahan ACL dan hanya 6 bulan pulih daripada kecederaan meniskus yang membuatkannya terlepas seluruh musim lalu.
Tidak jelas kecederaan mana yang dirujuk oleh Maresca tetapi hakikat bahawa Fofana mungkin perlu bergelut dengan kesakitan sepanjang kariernya adalah sesuatu yang amat membimbangkan. Chelsea telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak mendaftarkannya dalam skuad Liga Konferensi UEFA musim ini dan memberinya masa pemulihan yang mencukupi tetapi ia masih belum mencukupi untuk mengelakkannya daripada mengalami kecederaan hamstring pada Disember lalu.
Risiko yang Chelsea Sudah Tahu
Ketika Chelsea membeli Fofana dari Leicester dengan harga £70 juta pada Ogos 2022, mereka sudah pun mengetahui risiko yang ada. Malah, pihak kelab menghantarnya ke Amerika Syarikat untuk pemeriksaan perubatan khas oleh doktor pasukan Los Angeles Lakers yang mengambil masa lebih 10 jam.
Ketika itu, Fofana telah pun mempunyai rekod kecederaan yang membimbangkan. Sejak debut profesionalnya bersama Saint-Etienne dan Leicester, dia telah terlepas purata 34 perlawanan setiap musim akibat pelbagai masalah lutut dan juga patah kaki yang serius pada Ogos 2021.
Namun Chelsea tetap mengambil keputusan untuk menjadikannya pertahanan termahal dalam sejarah kelab dan mengikatnya dengan kontrak selama 7 tahun. Malangnya sehingga kini, dia hanya berjaya bermain dalam 20.5% daripada jumlah minit permainan yang tersedia sejak menyertai pasukan.
Buat masa ini, Chelsea masih perlu mencari jalan untuk memperkukuh benteng pertahanan mereka tanpa terlalu bergantung kepada Fofana. Langkah memanggil semula Trevoh Chalobah daripada pinjaman di Crystal Palace pada jendela perpindahan Januari lalu menunjukkan kesedaran kelab bahawa mereka tidak boleh bergantung kepada Fofana sepenuhnya. Malah, Chelsea juga masih menaruh minat terhadap Marc Guehi, pemain pertahanan Crystal Palace yang hanya terlepas hanya 13 perlawanan akibat kecederaan dalam tempoh 3 setengah tahun terakhir.
Kesimpulan
Walaupun Fofana mempunyai potensi untuk menjadi pemain utama Chelsea dalam jangka masa panjang, soalan yang lebih besar ialah bolehkah pasukan ini benar-benar dibina dengan bergantung kepadanya?
Masih ada harapan untuk Fofana. Ramai pemain bola sepak elit hanya menemui cara terbaik untuk menjaga tubuh mereka apabila mereka memasuki usia pertengahan usia 20-an. Dengan kontraknya yang masih berbaki sehingga 2029, dia masih mempunyai masa untuk menyesuaikan dirinya dengan tuntutan Liga Perdana Inggeris.
Jika dia kembali menentang Leicester, ia akan menjadi langkah pertama ke arah mengubah jalan ceritanya sendiri. Tetapi untuk Chelsea, baik dalam jangka masa pendek mahupun panjang, mereka perlu memastikan mereka memiliki pelan pertahanan yang tidak terlalu bergantung kepada Wesley Fofana.