Chelsea Terus Merosot: Maresca Perlu Segera Bertindak!

Kekalahan besar kepada Brighton & Hove Albion bukan sesuatu yang mudah untuk diterima oleh mana-mana pengurus Chelsea… tanyalah Graham Potter.

Pada malam semalam, Enzo Maresca kelihatan kecewa selepas Chelsea tewas 3-0 kepada Brighton. Ia satu keputusan yang mengingatkan ramai kepada kekalahan 4-1 yang dialami Potter pada Oktober 2022.

Walaupun jaringan berbeza, corak kekalahannya hampir sama. Chelsea gagal bersaing, lemah dalam bertahan dan kurang idea dalam serangan.

Beberapa pemain yang mengalami kekalahan besar ketika itu juga masih berada dalam pasukan sekarang. Antaranya ialah Trevoh Chalobah dan Marc Cucurella. Moises Caicedo pula mengalami perubahan situasi, dulu dia membantu Brighton menewaskan Chelsea, kali ini dia bermain untuk Chelsea dan diejek oleh penyokong Brighton.

Dalam perlawanan itu pasukan Potter berjaya melakukan 7 percubaan tepat, pasukan Maresca pula langsung tidak mempunyai 1 pun percubaan ke arah gol. Kali terakhir Chelsea mengalami perkara ini adlaah pada September 2021 ketika menentang Manchester City.

Ejekan penyokong Brighton juga lebih kuat kerana mereka baru sahaja menyingkirkan Chelsea dari saingan Piala FA seminggu sebelum itu. Mereka menyanyi dengan nada menyindir, “Bolehkah kami bermain menentang anda setiap minggu?”

Adakah Maresca Akan Mengikut Jejak Potter?

Selepas kekalahan besar pada 2022, Potter gagal mengubah keadaan. Sejak itu Chelsea hanya menang 6 daripada 21 perlawanan dan dia akhirnya dipecat. Walaupun mempunyai kontrak 5 tahun namun dia hanya bertahan kurang dari 7 bulan.

Maresca kini sudah bersama Chelsea lebih lama daripada Potter tetapi keadaannya juga membimbangkan. Sejak 8 Disember Chelsea belum menang di tempat lawan dan hanya mengutip 9 mata daripada 9 perlawanan.

Selepas perlawanan, Maresca mengakui kepada BBC Sport bahawa ini adalah prestasi terburuk Chelsea sejak dia mengambil alih. Dia juga berkata kepada Sky Sports, “Saya sentiasa rasa tekanan.”

Lebih membimbangkan, pemain pertahanan Malo Gusto mendedahkan kepada Premier League Productions bahawa, “Mereka lebih bersemangat untuk menang berbanding kami.” Ini memberi gambaran buruk kepada pemain dan juga Maresca.

Semangat berpasukan yang kuat pada awal musim kini semakin pudar. Di atas padang pemain mula marah antara satu sama lain.

Bintang utama Chelsea, Cole Palmer juga semakin kerap menunjukkan rasa kecewa. Malah pembantu jurulatih, Willy Caballero, terpaksa memujuk pemain termasuk Palmer, untuk pergi berinteraksi dengan penyokong Chelsea yang masih berada disana selepas perlawanan. Tetapi seperti aksi mereka di atas padang, usaha itu tidak berlaku dengan sepenuh hati.

Ketika ditanya sama ada Palmer sepatutnya menunjukkan contoh lebih baik, Maresca menjawab, “Kami semua perlu lebih positif ketika ini kerana kami perlu bersatu dan cuba menghabiskan musim dengan cara terbaik.”

Maresca Masih Mendapat Sokongan Dari Kelab Tetapi Penyokong Ssmakin Kecewa

Walaupun prestasi pasukan tidak bagus tetapi kelab masih percaya Maresca sedang melakukan tugas dengan baik. Chelsea kekal berada dalam kelompok 4 teratas untuk sebahagian besar musim ini dan sejak awal lagi dia diberitahu bahawa sasaran Liga Juara-Juara hanya akan ditetapkan pada musim depan.

Chelsea juga sedang mengalami masalah kecederaan yang teruk. Wesley Fofana, Benoit Badiashile, Romeo Lavia, Nicolas Jackson dan Marc Guiu terpaksa disisihkan. Noni Madueke pula mengalami kecederaan ketika menentang Brighton dan Mykhailo Mudryk masih digantung kerana kes doping.

Ramai penyokong Chelsea sudah mula hilang kesabaran. Sama seperti ketika Potter gagal, mereka tidak lagi mahu mendengar alasan. Malah, ramai yang meninggalkan stadium selepas Chelsea ketinggalan 3-0 walaupun masih ada lebih setengah jam permainan.

Sebelum perlawanan, penyokong Chelsea melaungkan nama bekas pemilik, Roman Abramovich dan menyanyikan “Kami mahu Chelsea kami semula.” Beberapa bulan lalu mereka menyanyikan lagu yang sama tetapi dengan maksud berbeza selepas Chelsea menang 5-1 ke atas Southampton.

Jelas, bukan Maresca seorang yang menjadi sasaran kemarahan penyokong. Pemilik kelab, Todd Boehly dan Clearlake Capital serta 2 pengarah sukan iaitu Paul Winstanley dan Laurence Stewart juga semakin tidak popular.

Namun, Maresca sebagai pengurus tetap ke-3 di bawah kepimpinan baharu ini perlu segera mencari penyelesaian. Jika tidak, dia mungkin akan menerima nasib yang sama seperti Potter.

BACA:  Hazard Tidak Mahu Lukaku Bawa Prestasi Baik Bersama Belgium Ke Manchester United