Penantian Chelsea selama 2 setengah bulan untuk kemenangan di tempat lawan di Liga Perdana berterusan. Kesilapan lewat Filip Jorgensen membawa kepada kekalahan di tangan Aston Villa. Kekalahan ini juga bermakna mereka terlepas peluang untuk kembali ke kelompok 4 teratas.
Pertembungan antara 2 pasukan yang memburu slot ke Eropah ini berlangsung sengit. Enzo Fernandez memberikan Chelsea kelebihan awal menerusi jaringan jarak dekat pada separuh masa pertama.
Chelsea memasuki perlawanan ini tanpa sebarang kemenangan dalam 5 aksi terakhirnya di tempat lawan. Kali terakhir mereka mencatat kejayaan di gelanggang lawan adalah ketika menewaskan Tottenham Hotspur pada 8 Disember. Prestasi buruk ini telah menyebabkan mereka jatuh ke tangga ke-6. Enzo Maresca semakin terdesak mencari keputusan positif bagi menghidupkan semula momentum pasukannya.
Mereka tampak berada di landasan yang betul, namun Marco Asensio menyamakan kedudukan melakui gol yang pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid tetapi diberikan semula selepas semakan VAR. Pemain Sepanyol itu mudah menolak masuk hantaran Marcus Rashford.
Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, Jorgensen melakukan kesilapan besar apabila gagal menepis voli Asensio, membiarkan bola bergolek masuk ke gawangnya pada minit ke-89. Kekalahan ini menyebabkan Chelsea kekal di tangga ke-6, manakala Villa hanya 1 mata di belakang mereka.
Palmer Semakin Kecewa dengan Aksi Sendiri
Perbincangan mengenai kejatuhan prestasi Cole Palmer semakin hangat selepas dia meneruskan rentetan perlawanan tanpa gol atau bantuan jaringan.
Palmer kini sudah menempuhi 6 perlawanan tanpa sebarang sumbangan gol dan lebih merisaukan, dia mula melepaskan peluang yang dahulunya mudah baginya.
Chelsea sepatutnya mendahului 2-1, tetapi sebaliknya mereka pula tewas dengan keputusan tersebut. Dua detik di separuh masa kedua telah mengejutkan penyokong di Villa Park. Dalam satu insiden, Palmer menerima bola di hadapan kotak penalti dengan ruang besar tetapi percubaan tersasar jauh dari sasaran.
Lebih membimbangkan, apabila dia berada dalam situasi satu lawan satu dengan Emiliano Martinez, Palmer teragak-agak, tergelincir dan gagal melepaskan percubaan yang berkualiti. Sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam kariernya di Chelsea.
Semua pemain hebat melalui fasa kemerosotan dan ini bukti bahawa Palmer juga manusia. Apa yang lebih merisaukan adalah cara dia bertindak balas terhadap penurunan prestasi ini. Beberapa kali dia menunjukkan rasa tidak puas hati kepada Christopher Nkunku termasuk menegur rakannya itu walaupun kesalahan berpunca daripada hantaran berlebihan yang dilakukannya sendiri.
Palmer terlalu bagus untuk terus merudum dalam tempoh yang lama. Tetapi jika dia mahu mencari punca masalah mungkin dia perlu melihat ke dalam dirinya sendiri terlebih dahulu.
James dalam Peranan Berbeza, dalam Sistem Baharu
Sebelum perlawanan, ramai tertanya-tanya di mana Reece James akan diletakkan dalam kesebelasan utama Chelsea. Ada yang menjangka dia akan bermain sebagai bek kanan dalam formasi tiga pertahanan, manakala paparan rasmi perlawanan menunjukkan dia berada di posisi sayap kanan.
James sebenarnya memulakan perlawanan di bahagian tengah bersama Moises Caicedo. Chelsea mengadaptasi barisan serangan yang lebih fleksibel. Nkunku beroperasi di sebelah kiri, Pedro Neto bermain sebagai penyerang bebas yang lebih cenderung ke tengah, sementara Palmer berperanan sebagai pemain nombor 10 di sebelah kanan.
Sistem ini berfungsi dengan baik pada separuh masa pertama, sebahagian besarnya kerana James bermain dengan kemas. Walaupun had pergerakan hantarannya agak terhad, dia masih mampu mengekalkan penguasaan bola dengan baik terutamanya ketika Villa menekan tinggi.
Namun, kekurangannya dalam peranan ini mula terserlah. Dia kadangkala terlalu lama mengawal bola atau melakukan hantaran yang kurang kemas. Pada minit ke-29, dia kehilangan bola dan membenarkan Ollie Watkins melakukan percubaan yang hampir menghasilkan gol. Beberapa minit kemudian, hantaran lemahnya memberi peluang kepada Watkins sekali lagi. Watkins melepaskan rembatan tinggi ke jaring sisi.
Ketika Villa semakin mendominasi permainan, James dan Chelsea secara keseluruhannya semakin kurang memegang bola. Dia hanya melakukan 5 sentuhan dan 4 hantaran sepanjang setengah jam pertama separuh masa kedua – berbeza dengan 27 hantaran berjaya daripada 28 cubaan pada separuh masa pertama.
Secara keseluruhan, eksperimen ini menunjukkan kebaikan dan kelemahan tetapi hakikatnya Chelsea masih berada dalam keadaan sama seperti sebelumnya – kehilangan kelebihan yang mereka miliki dan tercicir mata lagi.
Neto Tunjukkan Potensi Sebenar
Sejak menyertai Chelsea dari Wolverhampton Wanderers dengan harga £51.4 juta musim panas lalu, Neto belum menunjukkan aksi yang konsisten. Namun, perlawanan ini memberikan gambaran tentang apa yang dia boleh sumbangkan.
Sebelum perlawanan ini, Neto hanya merekodkan 2 gol dan 2 bantuan jaringan di Liga Perdana – satu angka yang jauh daripada jangkaan. Dia juga bukan pemain utama dalam perancangan Maresca dan jarang diberikan peluang bermain di posisi kegemarannya iaitu sayap kanan.
Namun di Villa Park, Maresca menggunakan kelebihan kelajuannya sebagai penyerang tengah yang diberi kebebasan bergerak.
Pertahanan Villa bergelut dengan pergerakan dan kelajuannya sejak awal perlawanan. Malah sebelum membantu gol Fernandez pada minit ke-9, dia hampir menjaringkan gol tetapi percubaannya disekat oleh Tyrone Mings.
Chelsea memerlukan lebih banyak sumbangan daripada Neto dan dia membuktikan kemampuannya apabila berjaya melepas Ian Maatsen sebelum melakukan hantaran kepada Fernandez untuk gol pertama perlawanan.
Neto juga menjadi pilihan utama Chelsea untuk melakukan serangan balas setiap kali Villa menekan tinggi, memaksa beberapa pemain tuan rumah untuk kekal bertahan. Dia jelas bersemangat, malah sempat meminta penyokong Chelsea bersorak lebih kuat selepas satu aksi memenangi penguasaan bola.
Bintang Portugal itu juga hampir mencetak nama sebagai penjaring dengan satu percubaannya yang sedikit ersasar dan satu lagi tepat ke arah Martinez.
Sejak Nicolas Jackson mengalami kecederaan hamstring, Chelsea kekurangan pemain yang mampu memberikan ancaman di belakang pertahanan lawan. Neto kini kelihatan sebagai calon utama untuk mengisi kekosongan itu sementara menunggu Jackson kembali pada April.