Chelsea berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Leicester City dalam satu perlawanan yang sengit di Stamford Bridge. Gol tunggal perlawanan yang dihasilkan oleh Marc Cucurella untuk memastikan 3 mata berharga buat pasukan kendalian Enzo Maresca.
Sebelum ini, Chelsea mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Southampton, namun kali ini mereka terpaksa bekerja keras untuk memastikan kemenangan kedua berturut-turut menentang Leicester. Leicester adalah pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran.
Gol kemenangan Cucurella hadir pada minit ke-60 menerusi satu rembatan dari luar kotak penalti yang mengejutkan penjaga gol Leicester, Mads Hermansen. Sebelum itu, Hermansen turut cemerlang apabila berjaya menepis sepakan penalti Cole Palmer, satu kejadian yang jarang berlaku sepanjang musim ini.
Cucurella Terus Menjadi Pemain Kesayangan Penyokong Chelsea
Marc Cucurella semakin menyerlah sebagai pemain yang digemari penyokong Chelsea. Di Liga Perdana Inggeris, malah di seluruh Eropah, sukar untuk mencari pemain seperti Cucurella. Sebagai seorang bek kiri, dia sentiasa bermain dengan penuh semangat, walaupun kadangkala melakukan kesilapan. Satu perkara yang pasti, dia sentiasa memberikan 100% usaha di atas padang.
Bagi penyokong lawan, Cucurella mungkin hanya dianggap sebagai pemain yang gemar mencetus provokasi. Namun, bagi peminat Chelsea, dia telah menjadi figura penting yang digelar sebagai “hero kultus” di Stamford Bridge, bukan sekadar kerana gaya rambutnya yang unik tetapi juga kerana semangat juangnya yang luar biasa.
Di bawah kendalian Enzo Maresca, Cucurella memainkan peranan penting dalam sistem permainan Chelsea. Dalam perlawanan ini, dia diberikan peranan lebih tradisional sebagai bek kiri yang kerap melakukan larian ke hadapan untuk menyokong Christopher Nkunku, pemain yang beroperasi di bahagian sayap kiri.
Sejak awal permainan, Cucurella sudah menunjukkan bahawa dia adalah antara ancaman utama Chelsea. Beberapa kali dia melakukan larian ke belakang pertahanan Leicester yang mencetus kekeliruan dalam barisan lawan. Walaupun pasukan gagal memanfaatkan peluang yang diciptanya, kehadiran Cucurella di bahagian serangan jelas memberi kesan.
Detik penentuan akhirnya tiba pada separuh masa kedua. Cucurella mencipta sesuatu di luar jangkaan apabila melepaskan rembatan kencang ke sudut bawah gawang untuk memastikan Chelsea meraih kemenangan berharga. Jaringan itu merupakan gol keempatnya di Liga Perdana musim ini. Hanya Cole Palmer, Nicolas Jackson dan Noni Madueke yang mencatat lebih banyak jaringan berbandingnya.
Dengan persembahan seperti ini, tidak hairanlah Cucurella semakin menjadi kesayangan penyokong Chelsea!
Palmer Gagal Penalti? Biar Betul!
Stamford Bridge tiba-tiba sunyi apabila Cole Palmer bersedia mengambil sepakan penalti pada minit ke-22. Rekodnya sebelum ini sempurna; 12 sepakan, 12 gol. Namun, kali ini sesuatu yang tidak dijangka berlaku.
Prestasi Palmer sejak kebelakangan ini tidak begitu menyerlah. Dalam 6 perlawanan terakhir liga, dia gagal menjaringkan gol atau mencipta bantuan jaringan. Ketika pengadil menghadiahkan penalti selepas Victor Kristiansen mengasari Jadon Sancho, Palmer kelihatan tenang seperti biasa tanpa tanda-tanda keresahan.
Namun, insiden kecil sebelum sepakan mungkin telah mengganggu fokusnya. Pengadil Tim Robinson meminta Palmer meletakkan semula bola di titik penalti, menyebabkan berlaku sedikit kelewatan. Palmer memilih sudut kegemarannya; rembatan kencang dan rendah ke sebelah kiri gawang.
Malangnya penjaga gol Leicester, Mads Hermansen sudah bersedia. Dia membaca arah sepakan dengan tepat, melompat ke kiri dan menepis bola keluar menggunakan kedua-dua tangan dengan kemas.
Palmer kelihatan kecewa. Adakah dia terlalu bergantung pada zon selesanya ketika mengambil sepakan itu? Mungkin kita tidak akan mendapat jawapan pasti tetapi semakin lama dia gagal mencipta impak dalam serangan Chelsea, semakin kuat teori ini akan diperkatakan.
Separuh masa kedua menyaksikan Palmer terus bergelut. Beberapa hantaran buruk dan keputusan yang kurang meyakinkan akhirnya dia dikeluarkan pada minit ke-73 untuk digantikan dengan Tyrique George.
Sebaik sahaja keluar dari padang, Palmer terus menuju ke terowong pemain. Penyokong Chelsea pastinya berharap dia akan menemui semula sentuhan berbisa yang telah menjadikannya salah seorang pemain utama pasukan.
Fofana Kembali Menunjukkan Kehebatannya
Ketika Wesley Fofana masuk ke padang, dia disambut dengan sorakan ejekan daripada penyokong Leicester yang masih tidak melupakan pemergiannya ke Chelsea. Namun bagi Fofana, perkara lebih penting adalah bagaimana dia meninggalkan padang. Dia mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong Chelsea selepas aksi mantap selama 73 minit.
Ia merupakan penampilan pertamanya sejak mengalami kecederaan hamstring pada Disember. Pada awalnya dia dijangka akan berehat sehingga tamat musim. Namun, selepas tempoh pemulihan yang panjang, dia kembali beraksi tanpa menunjukkan sebarang kesan buruk kerana kecederaan tersebut.
Fofana terkenal dengan gaya permainan yang agresif, sering bertindak lebih awal untuk mematikan serangan lawan sebelum ia menjadi lebih berbahaya. Dalam perlawanan ini, dia beberapa kali menyelamatkan Chelsea daripada serangan Leicester termasuk satu detik penting di mana dia berjaya memintas hantaran silang berbahaya sebelum Jamie Vardy sempat menyambut bola dengan kepalanya.
Jelas sekali Chelsea lebih stabil dari segi pertahanan apabila Fofana berada di atas padang. Walaupun kecederaannya sebelum ini menimbulkan persoalan tentang daya tahan fizikalnya dalam jangka masa panjang, kehadirannya dalam pasukan ketika ini adalah satu kelebihan besar dalam usaha Chelsea merebut tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.
Apa Kata Enzo Maresca?
Selepas perlawanan, Maresca meluahkan kegembiraannya untuk kemenangan ini:
“Saya sangat gembira. Kami menonton banyak perlawanan Leicester di bawah kendalian Ruud (van Nistelrooy), hampir semua perlawanan sejak dia mengambil alih. Mereka selalu bermain dengan barisan 4 pertahanan tetapi tiba-tiba hari ini mereka datang dengan barisan 5 pertahanan dan menukar sepenuhnya pelan permainan mereka.
“Jadi, segala latihan yang telah kami lakukan sebelum ini menjadi tidak berguna. Kami terpaksa merancang strategi baru sebelum pemain keluar untuk sesi pemanas badan. Tetapi saya cukup bangga dengan cara pemain menyesuaikan diri. Itu sesuatu yang orang luar mungkin sukar untuk fahami. Kamu perlu mengubah sepenuhnya cara menyerang dan bertahan.”
“Saya berasa bersalah terhadap Leicester kerana saya akan sentiasa berterima kasih kepada mereka, tetapi saya sangat gembira kerana pasukan saya berjaya menyesuaikan diri dan menang.”
Kesimpulan
Chelsea mungkin tidak mempamerkan persembahan terbaiknya tetapi kemenangan itu tetap berharga. Cucurella sekali lagi membuktikan nilainya, Palmer mengalami detik sukar dan Fofana menunjukkan bahawa dia masih menjadi pemain yang penting buat Chelsea.
Dengan cabaran yang semakin sengit untuk merebut tiket ke Liga Juara-Juara, kemenangan seperti ini pasti memberi dorongan besar untuk Maresca dan pasukannya. Apa yang penting sekarang ialah mengekalkan momentum ini.
Bolehkah Chelsea meneruskan rentak kemenangan mereka? Kita nantikan perlawanan seterusnya.