Pemain pertahanan Chelsea, Andreas Christensen memberi amaran kepada Maurizio Sarri yang beliau mungkin akan meninggalkan Stamford Bridge sekiranya terus dipinggirkan dari kesebelasan utama.
Pemain antarabangsa Denmanr ini melakukan 40 penampilan bersama The Blues musim lepas di bawah Antonio Conte, dan dianggap sebagai pemain utama dalam sistem tiga pemain pertahanan yang diterapkan Conte sebelum ini.
Musim sebelum itu, Christensen dipinjamkan kepada Borussia Monchengladbach selama semusim. Sepanjang beraksi di Bundesliga, beliau berjaya mendapatkan waktu permainan yang konsisten setiap minggu dan potensi sebenar beliau dapat diserlahkan ketika itu.
Namun begitu, situasi semasa Christensen di bawah Maurizio Sarri nyata berbeza jika dibandingkan dengan musim lepas. Beliau masih lagi belum beraksi dalam Liga Perdana Inggeris musim ini walaupun liga telah memasuki 8 perlawanan. Beliau hanya beraksi dalam 3 perlawanan sahaja setakat ini, itupon dalam saingan Piala Carabao dan Europa League.
Sekiranya keadaan ini berterusan, Christensen mengakui beliau tidak akan teragak-agak untuk menekan Chelsea supaya melepaskan khidmatnya apabila jendela perpindahan pemain dibuka Januari nanti.
“Musim ini merupakan musim yang amat sukar buat saya. Secara jujurnya, keadaan sangat sukar buat saya. Saya mengharungi kempen musim lalu dengan baik dan turut beraksi dalam Piala Dunia 2018.”
“Saya tidak boleh lagi terus bersabar di bangku simpanan. Sekarang, saya sudah berusia 22 tahun dan saya benar-benar mahu bermain.”
“Sepanjang 3 musim terakhir, saya bermain dengan kerap. Jadi sebab itulah, saya tidak boleh terus kekal di kelab ini jika keadaan semasa saya masih lagi tidak berubah.”
“Masih lagi terlalu awal untuk bercakap bila saya mahu berpindah, jika saya benar-benar ingin berpindah. Tetapi apa yang pasti adalah situasi semasa saya bersama Chelsea amat tidak memuaskan.”
“Saya mengalami kesukaran untuk menembusi kesebelasan utama. Keadaan akan terus menjadi sukar sekiranya Chelsea terus mencatat keputusan yang baik di atas padang.”
“Prestasi semasa Chelsea merupakan hadiah untuk peminat, tetapi bagi saya, ia merupakan permulaan musim yang agak sukar.”
Antara punca utama Christensen tidak dapat bermain dalam kesebasan utama Chelsea musim ini adalah prestasi cemerlang yang dipamerkan anak buah Sarri setakat ini.
Chelsea masih lagi belum tewas dalam semua pertandingan musim ini dan kini menduduki tangga ke-2 Liga Perdana Inggeris, berkongsi mata yang sama dengan pendahulu liga, Manchester City dan juga Liverpool.
Selain itu, perubahan taktikal yang dilakukan Sarri terhadap Chelsea juga menjadi punca Christensen gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama. Musim lalu di bawah Conte, Chelsea bermain dengan sistem tiga pemain pertahanan namun musim ini, Chelsea kembali kepada sistem 4 pertahanan, dengan menggunakan dua pemain pertahanan tengah.
Sarri juga lebih berminat untuk menggunakan gandingan Antonio Rudiger dan David Luiz untuk mengawal bahagian pertahanan, lantas mengenepikan Christensen yang hanya memanaskan bangku simpanan.