Chuck Norris Itali, Andrea Pirlo difahamkan akan melengkapkan perpindahannya ke New York City FC hujung minggu ini.
Pemain tengah Itali sedang dalam perbincangan bersama kelab MLS itu dan dilihat berada di SoHo minggu ini. Pirlo berkemungkinan besar akan melakukan penampilan pertama bersama NYCFC bersama Frank Lampard apabila kelab itu bertemu Toronto FC pada 12 Julai nanti.
Sebelum ini, Liverpool dikatakan berminat untuk mengikat Pirlo, akan tetapi difahamkan Pirlo telah bertekad untuk menamatkan karier emasnya di Amerika Syarikat.
Berita ini agak mengejutkan tatkala pemenang Piala Dunia 2006 itu telah menyatakan beliau tidak akan meninggalkan Juventus dan mahu menghabiskan baki kontraknya bersama Juventus yang hanya akan tamat pada musim panas 2016.
“Terlalu banyak khabar angin mengatakan saya akan meninggalkan Juventus. Saya hanya mahu terus bermain dan akan tampil pada Euro 2016,” ujar Pirlo awal bulan ini.
Pemain berusia 36 tahun mempunyai rekod yang menakjubkan sepanjang kariernya, di mana beliau telah memenangi enam Serie A bersama Juventus dan AC Milan, dua Champioins League dan satu Piala Dunia sejak mula bermain secara professional pada 1995.
Sekiranya Pirlo jadi meninggalkan Juventus, penggantinya bakal mengahadapi tugas berat untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan seorang lagenda yang tiada galang ganti.