Bekas pengadil Liga Perdana Inggeris, Mark Clattenburg mendedahkan punca utama beliau berhenti dari mengadili perlawanan di England adalah disebabkan tuduhan tidak berasas Jose Mourinho terhadap persembahannya.
Clattenburg menjadi subjek utama kemarahan Mourinho selepas beliau mengadili perlawanan di antara Manchester United dan Stoke pada awal Januari lalu. Tidak lama kemudian, pada bulan Februari, beliau mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan Liga Perdana Inggeris bagi menjadi ketua badan pengadil di Persatuan Bolasepak Arab Saudi.
Pengadil berusia 42 tahun ini melakukan debut pertama beliau sebagai pengadil pada tahun 2004 dan memberitahu perlawanan Stoke menentang Manchester United pada musim lepas menjadi punca utama yang meyakinkannya untuk berhijrah keluar.
Pada perlawanan tersebut, Wayne Rooney memecahkan rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Manchester United yang dipegang Sir Bobby Charlton tetapi perlawanan tersebut hanya berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.
Mourinho dalam sidang media selepas perlawanan berkata pasukannya patut mendapat lebih dari keputusan seri sahaja. Clattenburg dalam satu wawancara radio ‘Men In Blazers’ memberitahu Mourinho masuk dalam bilik persalinannya dan menunjukkan ketidakpuasan hatinya selepas saya tidak menghadiahkan penalti kepada Manchester United.
“Saya mengadili perlawanan ketika Wayne Rooney memecahkan rekod yang dipegang Sir Bobby Charlton. Selepas selesai perlawanan, Mourinho masuk dalam bilik persalinan pengadil dan memberitahu yang beliau tidak gembira kerana saya tidak memberikan penalti dalam satu insiden handball.”
“Saya berjalan keluar dari padang stadium Stoke, yang sering berkeadaan basah dan diantara yang tersejuk. Ditambah pula saya ditugaskan mengadili perlawanan Manchester United yang mana bukan satu tugas yang mudah. Saya keluar dari padang tersebut dengan perasaan yang saya telah berjaya mengadili perlawanan tersebut dengan baik.”
“Tiba-tiba beliau datang dalam bilik persalinan pengadil dan mengkritik pengadilan saya kerana gagal melihat insiden handball yang saya sendiri tidak ketahui berlaku. Saya tahu saya berada di pihak yang benar pada masa tersebut tetapi Mourinho telah menggerakkan hati saya untuk mencuba sesuatu yang baru.”
“Saya memandu pulang sejauh 250 batu memikirkan yang saya telah melakukan satu kesilapan yang besar. Isteri saya perasan dengan perubahan sikap saya dan saya berkara kepada diri sendiri, ‘adakah aku mahu terlibat lagi dalam perkara sebegini? adakah aku masih lagi mahu menjadi pengadil?’.”
“Selepas insiden tersebut, saya bermuhasabah diri. Saya tidak lagi gembira dengan apa yang saya lakukan dan mahu segera keluar dari situasi tersebut. Apabila tawaran dari Arab Saudi tiba, ia satu keputusan yang senang bagi saya.”