Conor McGregor Betul-betul Berminat Nak Beli Chelsea Tapi Perlukan Sedikit Pengurangan Harga

Conor McGregor sekali lagi membuat tawaran secara terbuka untuk membeli Chelsea FC, namun kali ini beliau dengan tanpa segan silu meminta potongan harga.

McGregor menyatakan yang beliau akan terus membeli Chelsea seandainya pihak Roman Abramovich sudi menerima tawaran separuh harga darinya.

Billionaire dari Rusia, Roman Abramovich mengesahkan yang beliau akan menjual Chelsea, dengan nilai pasaran semasa kelab pada ketika ini dilaporkan bernilai £3 billion.

Jelas sekali harga pasaran Chelsea selepas 20 tahun dimiliki oleh Roman Abramovich akan naik dan nilai £3 billion itu sebenarnya sudah dianggap murah.

Bekas Juara Dunia UFC, Conor McGregor sebelum ini mendakwa beliau sememangnya berminat untuk membeli Chelsea, walaupun nilai kekayaan beliau dianggarkan sekitar £135 juta sahaja.

McGregor kini sekali lagi tampil untuk mengukuhkan pendirian beliau yang beliau betul-betul berminat untuk membeli Chelsea.

Namun kali ini beliau tampil untuk meminta pengurangan harga dengan McGregor menyatakan bahawa:

“Saya di sini meletakkan tawaran saya bernilai £1.5 billion.”

Beliau menulis kenyataan tersebut ketika membalas ciapan yang menyatakan Roman Abramovich meminta £3 billion untuk melepaskan Chelsea kepada pemilik baru.

Awal minggu baru-baru ini, penyokong tegar Manchester United itu memuat naik ciapan di laman twitter miliknya yang mana ia merupakan perbualan antara beliau bersama seseorang individu lain.

“Chelsea untuk dijual, £3bn. Jom beli.”

Beliau berkongsi tangkap layar perbualan tersebut dengan menulis:

“Saya harap saya akan terokai ini @ChelseaFC.”

McGregor kemudiannya memuat naik video dirinya sendiri dalam satu permainan dengan beliau memainkan peranan sebagai pengurus Chelsea.

The Mirror melaporkan yang Abramovich sudah menerima beberapa tawaran sekitar £3bn dengan mereka kini masih menunggu tawaran terbaik untuk melepaskan Chelsea sepenuhnya.

Billionaire dari Switzerland, Hansjorg mendakwa beliau telah ditawarkan untuk membeli Chelsea oleh Roman Abramovich sendiri.

“Sama seperti semua oligarch yang lain, dia juga dalam keadaan panik.”

Jelas Wyss kepada media Switzerland, Blick.

“Abramovich berusaha untuk menjual semua villa dia di England. Dia juga mahu lepaskan Chelsea dengan segera. Saya dan tiga lagi orang lain telah ditawarkan untuk membeli Chelsea dari Roman Abramovich.”

Wyss dilaporkan memiliki kekayaan bernilai £4.36 billion dengan beliau turut menegaskan yang beliau tidak akan membeli Chelsea seorang diri.

“Saya perlu tunggu empat ke lima hari lagi. Abramovich sekarang meminta terlalu banyak. Kamu tahu, Chelsea ada hutang dia £2 billion.”

Jelas billionaire itu.

“Sehingga sekarang, kami masih belum tahu berapa sebenarnya harga yang diorang minta untuk membeli Chelsea.”

“Saya boleh bayangkan saya ada rakan kongsi di Chelsea. Tapi saya perlu kaji dulu semua syarat utama yang lain.”

“Tapi apa yang boleh saya katakan, saya tak akan lakukan semua hal seperti ini seorang diri. Jika saya beli Chelsea, maka ia akan bersama syarikat konsortium yang ada enam ke tujuh pelabur.”

Wyss telah mendedahkan yang beliau memerlukan pelabur tambahan untuk membeli Chelsea, jadi adakah McGregor boleh jadi salah seorang dari mereka?

Pelbagai kejayaan yang berjaya dikecapi oleh kelab dari London itu sepanjang era pemilikan Roman Abramovich sehingga ke hari ini.

Lima gelaran Premier League, dua gelaran Champions League, dua gelaran Europa League, lima gelaran FA Cup, tiga gelaran League Cup, Super Cup dan terbaru, FIFA Club World Cup.

Beliau juga turut berjaya membantu menaikkan skuad wanita Chelsea dan sejak kehadiran Roman Abramovich, mereka sudah berjaya memenangi empat gelaran Women’s Super League dan tiga gelaran Women’s FA Cup.

Kerana sokongan luar biasa yang ditunjukkan oleh Roman Abramovich, para peminat jelas sekali sangat menghormati dan menyayangi beliau.

Tidak hairanlah mengapa ramai peminat yang sedih dengan berita bahawa beliau akan menjual kelab selepas hampir dua dekad memiliki gergasi London itu.

Para penyokong selain sedih dengan berita tersebut, mereka turut terharu dengan kemuliaan hati Roman Abramovich yang tidak mahu menuntut hutang kelab kepadanya bernilai £1.5 billion.

Ya, beliau menghalalkan saja dana yang beliau pinjamkan kepada kelab itu dan hal tersebut benar-benar menyentuh hati pelbagai pihak.

Lebih mengagumkan lagi, keuntungan hasil dari penjualan Chelsea juga akan sepenuhnya didermakan kepada mangsa perang di Ukraine.

Mana nak jumpa pengurus semulia ini?

Kenyataan media Roman Abramovich

“Saya ingin menangani spekulasi di media sejak beberapa hari lalu berhubung pemilikan saya terhadap Chelsea FC. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, hati saya sentiasa mengambil keputusan yang terbaik untuk kepentingan Kelab. Dalam keadaan semasa, saya telah mengambil keputusan untuk menjual Kelab, kerana saya percaya ini adalah demi kepentingan terbaik Kelab, peminat, pekerja, serta penaja dan rakan kongsi Kelab.”

“Penjualan Kelab tidak akan terjadi dengan pantas tetapi akan mengikut proses yang sepatutnya. Saya tidak akan meminta sebarang pinjaman dibayar balik. Ini tidak pernah mengenai perniagaan atau wang untuk saya, tetapi tentang semangat murni serta keghairahan untuk bola sepak dan Kelab.”

“Selain itu, saya telah mengarahkan pasukan saya untuk menubuhkan yayasan amal di mana semua hasil bersih daripada jualan akan didermakan. Yayasan itu akan menjadi untuk manfaat semua mangsa perang di Ukraine. Ini termasuk menyediakan dana kritikal untuk keperluan mendesak dan segera mangsa, serta menyokong kerja pemulihan jangka panjang.”

“Harap maklum bahawa ini adalah keputusan yang sangat sukar untuk dibuat, dan saya berasa sakit untuk berpisah dengan Kelab dengan cara ini. Walau bagaimanapun, saya percaya ini adalah demi kepentingan terbaik Kelab.”

“Saya berharap saya akan dapat melawat Stamford Bridge buat kali terakhir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada anda semua secara peribadi. Menjadi sebahagian daripada Chelsea FC merupakan satu keistimewaan seumur hidup dan saya berbangga dengan semua pencapaian bersama kami. Kelab Bola Sepak Chelsea dan penyokongnya akan sentiasa berada di hati saya.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Mourinho: Hazard Dialu-alukan Untuk Menyertai Manchester United