Conor McGregor Menyokong Penuh Dakyah #OleIn

Conor McGregor memberi sokongan penuh kepada pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer untuk terus mengendalikan kelab, walau ramai yang meminta pengurus dari Norway itu untuk dipecat.

Beliau tampil di media sosial untuk menyatakan sokongannya kepada Solskjaer dan turut mempertahankan pengurus United itu sebagai individu paling layak untuk terus mengendalikan kelab.

Bintang UFC yang juga merupakan penyokong tegar pasukan bola sepak Manchester United itu memuat naik status di laman twitter untuk mempertahankan Ole Gunnar Solskjaer.

Beliau turut memberikan pandangan peribadinya berkait masalah dan situasi yang sedang berlaku di Old Trafford pada ketika ini.

McGregor menulis di laman twitter dengan menyatakan:

“Isu yang berlaku di United sekarang hanyalah tentang sekumpulan anak muda yang bercakap sesama mereka (membawang).”

“Kamu perlu seseorang dari kumpulan itu untuk mengetuai mereka. Ole berada di tempat duduk pemain simpanan ketika Ronaldo bermain. Pemain muda, tak cukup. Sangat sayang dan menghormati Ole di tahap tertinggi, tapi peranan dia perlu diubah, itu pandangan saya.”

Petarung dari Ireland itu kemudiannya memuat naik satu lagi status di laman twitter dengan beliau meluahkan rasa kecewanya melihat ada penyokong yang menggesa untuk Ole dipecat.

Beliau memaki hamun penyokong yang meminta Ole Gunnar Solskjaer untuk dipecat dengan menggunakan kata-kata yang tak boleh di tulis di sini.

Walaupun beliau menyokong penuh dakyah #OleIn, McGregor sebenarnya turut memberi pandangan dan cadangan yang menunjukkan beliau juga mahu melihat United dikendalikan oleh pengurus baru.

Beliau mahu melihat pengurus yang lebih berpengalaman untuk mengurus United, dan pada masa sama beliau meminta agar Solskjaer hanya diubah peranan sahaja.

Beliau tidak menyokong Ole dipecat, sebaliknya beliau mahu pengurus United itu dilantik menjadi salah seorang jurulatih seandainya setan merah mendapat pengurus baharu.

Solskjaer berada di bawah tekanan yang teramat sangat selepas skuadnya dibasah teruk oleh Liverpool di Old Trafford hujung minggu lalu.

Manchester United dibelasah 5-0 oleh anak-anak buah Jurgen Klopp dengan para penyokong sepertinya terlalu kecewa dengan keputusan itu.

Sebaik tamat aksi babak pertama dalam perlawanan tersebut, para peminat sudah mula menyebarkan dakyah #OleOut dan menggesa pihak kelab untuk memecat pengurus dari Norway itu.

Pihak pengurusan kelab juga turut mempertimbangkan untuk memecat Ole Gunnar Solskjaer dengan mereka melakukan perjumpaan untuk membincangkan hal tersebut.

United akhirnya bersetuju untuk memberi peluang kepada Solskjaer dengan Sir Alex Ferguson menyokong untuk Ole diberi kesempatan.

Ole Gunnar Solskjaer diberi kesempatan untuk membuktikan sesuatu dari tiga perlawanan selepas ini, dengan pihak pimpinan kelab akan memantau perkembangan beliau.

Manchester United selepas ini akan turun beraksi bertemu Tottenham Hotspur di halaman lawan pada hujung minggu ini, dengan mereka sangat berharap untuk mengutip tiga mata penuh.

Setan merah kemudiannya akan kembali beraksi dalam saingan Champions League dengan mereka bakal berkunjung ke Itali untuk bertemu Atalanta.

Mereka akan kembali ke Old Trafford pada minggu berikutnya, untuk melayan kunjungan Manchester City dalam aksi saingan Premier League.

Tiga perlawanan ini bakal menjadi antara perlawanan terpenting untuk Ole Gunnar Solskjaer, dalam usaha beliau untuk terus memenangi hati pihak pimpinan kelab.

Kebiasaannya Ole Gunnar Solskjaer akan sentiasa berjaya untuk buktikan sesuatu ketika karier beliau menjadi taruhan, jadi jangan terkejut andai United berjaya mencatatkan kemenangan dalam kesemua tiga perlawanan termasuk ketika aksi bertemu City.

Rekod Ole Gunnar Solskjaer bertemu Manchester City juga sebenarnya agak baik dan beliau tentunya akan kembali mendapatkan kepercayaan seandainya berjaya mencatatkan kemenangan dalam kesemua tiga perlawanan selepas ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Aksi Kelakar Pertahanan Manchester United dan Harry Maguire Hadiahkan Liverpool Empat Gol