Conor McGregor Mungkin Tidak Akan Bertarung Lagi Dalam Octagon

Presiden UFC, Dana White berkata pihak UFC masih lagi sedang mengadakan perbincangan dengan Conor McGregor mengenai kontrak baru, tetapi memberi bayangan peminat mungkin tidak akan dapat lagi melihat kelibat ‘The Notorious’ dalam gelanggang pada masa hadapan.

McGregor sudah lama tidak beraksi dalam mana-mana pertarungan UFC, kali terakhir adalah ketika beliau menewaskan Eddie Alvarez pada UFC 205, November tahun lalu.

Dalam pertarungan tersebut, beliau muncul individu pertama dalam sejarah UFC menjuarai dua divisyen pada masa yang sama iaitu divisyen ‘Lightweight’ dan ‘Featherweight’.

McGregor pada hari ini adalah antara ahli sukan paling kaya di atas dunia selepas pertarungan tinju berprofil tinggi beliau dengan Floyd Mayweather Jr. awal tahun ini.

White menyedari UFC berdepan tugas getir untuk menemui kata putus dalam perbincangan terma baru bersama McGregor dan menegaskan kelibat McGregor di UFC mungkin sudah berakhir.

Ketika bercakap kepada wartawan di Ibu Pejabat UFC Las Vegas, beliau berkata ahli sukan dari Republic Ireland itu mungkin tidak akan bertarung lagi kerana sudah memiliki kekayaan bernilai $100juta.

“Conor mungkin tidak akan bertarung lagi. Beliau sudah mempunyai $100juta. Saya mempunyai kawan peguam yang mempunyai duit kurang daripada itu, tetapi sudah tidak mahu bekerja lagi.”

White dan organisasi UFC dilaporkan masih lagi mahukan McGregor menandatangani kontrak baru untuk bertarung secepat yang mungkin. McGregor adalah tarikan terbesar peminat dan mesin pembuat duit bagi UFC.

Dalam pertarungan terakhirnya di UFC, McGregor berjaya menewaskan Eddie Alvarez untuk memenangi gelaran juara dunia UFC kategori ‘Lightweight’.

Walaubagaimanapun, beliau masih lagi belum mempertahankan tali pinggangnya kerana menumpukan perhatian terhadap perlawanan tinju dan kelahiran anak sulungnya pada pertengahan tahun ini.

White tidak dapat memastikan samada McGregor masih lagi mahu terlibat dengan mana-mana pertarungan selepas ini kerana sudah memiliki segala-galanya.

“Mengapa harus anda membiarkan diri ditumbuk di bahagian muka berkali-kali walaupun sudah mempunyai seratus juta dalam akaun bank. Duit boleh mengubah segalanya untuk sestengah orang.”

McGregor adalah individu yang tidak pernah lari dari kontroversi. Sepanjang tempoh rehatnya dari UFC, beliau telah beberapa kali terlibat dalam beberapa insiden kontroversi yang boleh menjejaskan reputasinya.

Awal bulan ini, beliau telah bertindak masuk ke dalam gelanggang pertandingan Bellator untuk meraikan kejayaan kawannya, tetapi pertarungan sebenarnya masih belum berakhir. McGregor telah menolak pengadil pertarungan dan menampar seorang pegawai Bellator.

Terdapat laporan mengatakan McGregor telah menerima hukuman dari tindakan bodoh beliau itu apabila diketepikan untuk UFC 219 yang bakal berlangsung di Las Vegas 30 Disember nanti. Pengurus McGregor bagaimanapun menafikan laporan tersebut tetapi Dana White sendiri telah mengesahkan laporan tersebut adalah benar.

“McGregor kini sedang menerima hukuman dari Association of Boxing Commisions (ABC) berhubung kejadian di Bellator tempoh hari. Walaubagaimanapun, pihak UFC masih lagi bersama dengan McGregor. Kami berusaha keras untuk mempersiapkan beliau bagi satu pertarungan sebelum tahun ini berakhir. Tetapi McGregor masih belum bersedia.”

Sepanjang ketiadaan McGregor, divisyen ‘Lightweight’ kini dikuasai Tony Ferguson yang berasal dari Amerika Syarikat. Ferguson adalah pemegang tali pinggang juara sementara ‘Lightweight’ dan bakal berdepan MCgregor tidak lama lagi untuk menentukan juara terulung divisyen tersebut.

Connor McGregor ke WWE?

Sejak menewaskan Jose Aldo dalam masa 13 saat di UFC 194 pada tahun 2015, Connor McGregor terus mendapat perhatian dunia dan menjadi bintang global. Kemenangan dalam perlawanan tersebut juga telah memberikan McGregor kejuaraan UFC Feathermweight.

Dua bulan lalu, McGregor telah bertarung menentang Floyd Mayweather. Meskipun tewas, banyak pihak masih terhibur dan berminat dengan McGregor, termasuklah WWE – sebuah organisasi gusti professional di Amerika Syarikat dan terkenal seantero dunia.

WWE sebenarnya telah cuba untuk mendapatkan McGregor dan Mayweather dalam siri Monday Night RAW sebelum pertarungan antara kedua-dua jaguh ini. Meskipun gagal berbuat demikian, WWE masih tidak berputus asa untuk membawa McGregor sebagai bintang baru mereka.

Komisioner RAW, Stephanie McMahon telah bercakap di konvensyen Leaders in Sports di Stamford Bridge dan dia telah ditanya sama ada lelaki yang digelar Notorious tersebut sesuai untuk WWE.

“Aku rasa Conor sangat sesuai di WWE. Dia ada gaya, kebolehan dan muka market. Dia selalu meluahkan apa yang berada di fikirannya dan dia juga mempunyai keaslian, selain mampu mempamerkan keangkuhan seperti Vince McMahon,” ujar Stehanie kepada Mirror.

Stephanie McMahon adalah perempuan yang sado | Gambar : YouTube

Jika WWE benar-benar serius mahu mendapatkan McGregor, mereka tentunya perlu menawarkan bayaran yang cukup lumayan, terutamanya selepas jutaan dolar telah diterima McGregor selepas menentang Mayweather pada bulan Ogos lalu.

Kalau nak ikutkan, susah juga nak baca McGregor berminat atau tidak untuk bersama WWE. Pada satu masa, dia memuji Vince McMahon yang telah berjaya menubuhkan satu syarikat dan mendapat pulangan yang sungguh lumayan dan cukup berjaya – dan ini cukup memberikan inspirasi buat McGregor.

John Cena – selain berwajah kacak, dia juga mempunyai fizikal seperti admin The Sukan | Gambar : WWE.com

Pada waktu yang berasingan, dia turut mengkritik bintang-bintang WWE, termasuklah John Cena dan menggelarkannya sebagai Mr. Failed Olympia.

Okay juga sebenarnya jika McGregor sertai WWE, tambahan pula dia sudah mencipta musuh – Cena. Kau bayangkanlah bila kedua-dua mereka bertarung. Cena bagi STF, McGregor balas pula dengan Bolo Punch.

Lepas tu apa lagi, rumble lah!

Sumber berita : Givemesport

Baca Juga

Baca Juga