Pengurus Chelsea, Antonio Conte mengakui cabaran pasukannya untuk mempertahankan gelaran liga yang dimenangi mereka musim lepas sudah berakhir selepas Chelsea tewas 1-0 ditangan West Ham yang dipimpin pengurus baru, David Moyes.
Conte bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan dan memberitahu pasukannya sudah tidak berpeluang untuk mempertahankan gelaran juara liga selepas West Ham mengakibatkan kekalahan Chelsea yang ke-4 musim ini dalam 16 perlawanan.
Pemain antarabangsa Austria, Marko Arnautovic berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan seawal minit ke-6 dan Chelsea cuba bangkit dari ketinggalan tetapi anak buah Moyes kental bertahan sehingga tamat perlawanan bagi memberikan kemenangan kepada The Hammers dalam derbi London yang berlangsung di Stadium London.
Chelsea menguasai hampir keseluruhan perlawanan tetapi ketumpulan barisan hadapan mereka menjadi duri dalam daging ditambah pula taktikal Moyes yang meletakkan pemain tambahan di bahagian pertahanan untuk mengekalkan kelebihan mereka.
Keputusan ini menjadikan Chelsea ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City yang masih mempunyai kelebihan 1 perlawanan dan jurang tersebut mungkin bertambah besar andainya anak buah Pep Guardiola berjaya menewaskan Manchester United hujung minggu ini.
“Untuk bercakap mengenai perebutan takhta liga selepas mengalami kekalahan adalah sesuatu yang janggal. Ditambah pula ini adalah kekalahan kami yang ke-4 dari 16 perlawanan liga musim ini. Dalam keadaan ini, saya rasa mustahil kami berada dalam perebutan juara liga.”
“Ianya satu perkara yang mustahil. Mengikut pengalaman saya, jika kami mahu berada dalam senarai pasukan yang berpeluang memenangi liga, kami hanya boleh kalah 1 atau 2 perlawanan sahaja untuk separuh masa pertama musim.”
Conte juga tanpa ragu-ragu mengatakan punca utama Chelsea tewas dalam perlawanan tersebut adalah kerana permulaan buruk pasukan dan bahagian serangan yang gagal memanfaatkan peluang mereka.
“Punca utama kami tewas kepada West Ham adalah kerana pasukan saya bermula dengan buruk dan dibolosi gol pada awal perlawanan. Amat sukar untuk bangkit kembali. Saya ada menonton perlawanan Manchester City dimana mereka untuk keseluruhan perlawanan melakukan serangan bertali-arus ke arah pasukan yang hanya mahu bertahan.”
“Tetapi City berjaya meraih gol. Kami pula berjaya mencipta peluang tetapi gagal menterjemahkannya menjadi gol. Bercakap mengenai kekalahan ini, banyak pemain saya agak keletihan tetapi itu normal kerana kami bermain selepas beberapa hari.
Kami memulakan pra-musim dengan pemain yang sama, dan hampir semua pemain saya bermain perlawanan yang banyak, dan pada satu tahap kami harus menerima kesan daripada perkara ini.”