Costa Dedah Cerita Sebenar Di Sebalik Masalah Beliau Dengan Conte

Diego Costa akhirnya membuka mulut mengenai perselisihan faham yang berlaku di antara beliau dengan Antonio Conte ketika kedua-duanya masih berada di Chelsea.

Penyerang antarabangsa Sepanyol itu menyertai Chelsea dari Atletico Madrid pada musim panas 2014 dengan Jose Mourinho masih bergelar pengurus Chelsea pada ketika itu. Beliau berjaya membantu Mourinho dan Chelsea memenangi Liga Perdana Inggeris pada musim pertamanya di Stamford Bridge.

Conte menggunakan SMS untuk memberitahu Costa khidmatnya tidak diperlukan lagi selepas pemain tersebut membantu Chelsea memenangi Liga Perdana Inggeris. Memang kejam

Sepanjang 3 tahun bermain dengan Chelsea, Costa berjaya menjaringkan 59 gol dari 120 penampilan dalam semua pertandingan. Sepanjang beraksi di Liga Perdana Inggeris, Costa mencipta reputasi sebagai seorang penyerang yang fizikal dan akan melakukan provokasi terhadap pemain lawan sehingga koyak.

Walaupun hanya tiga musim di England, beliau berjaya memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris di bawah Mourinho dan Conte. Namun begitu, dalam musim terakhirnya bersama Chelsea, beliau menghadapi masalah dengan Conte dan pernah menerima mesej dari pengurus tersebut supaya mencari kelab baru kerana khidmatnya tidak diperlukan lagi.

Kemuncaknya, Costa enggan kembali ke Chelsea untuk melaporkan diri bagi pra-musim 2017/2018. Beliau nekad tinggal di Brazil sehingga Chelsea dan Atletico Madrid mencapai persetujuan berkenaan perpindahan beliau.

Costa kembali ke pangkuan Atletico selepas 3 tahun berkelana

“Ia merupakan detik yang sukar, tetapi bukan salah saya. Banyak pihak bercakap, tetapi masa yang akan menentukan segala-galanya. Anda boleh lihat dimana Conte sekarang.” Ujar Costa dalam satu temu ramah bersama akhbar Marca.

“Saya bersalah kerana menyertai Chelsea kerana cara mereka menangani sesuatu perkara. Cholo [Diego Simeone] merupakan jurulatih yang direct. Jika beliau tidak suka seseorang, beliau akan menunjukkan perasaan itu dengan jelas.”

“Di Chelsea pula, perkara sebaliknya yang berlaku. Saya mempunyai pilihan untuk kembali menyertai Atletico Madrid dan apabila Chelsea memberitahu saya supaya pulang dan menjalani latihan bersama pasukan simpanan, saya nekad untuk menyertai Atletico walaupun ada menerima beberapa tawaran lain.”

“Jika ia tidak berlaku, saya akan kekal di Brazil bersama keluarga saya. Saya mahu meneruskan hidup dengan keluarga saya. Ada beberapa perkara yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.”

Sejak kembali menyertai Atletico Madrid, penyerang berusia 29 tahun ini telah menjaringkan 9 gol dari 24 penampilan. Disebabkan perjanjian antara Chelsea dan Atletico Madrid dilakukan pada September 2017, Costa perlu menunggu sehingga Januari 2018 untuk melakukan debut keduanya bersama kelab tersebut.

Pendekatan direct Simeone menawan hati Costa

“Cholo merupakan individu yang sentiasa penting buat saya. Saya menyukai beliau secara peribadi.”

“Beliau sentiasa direct dalam setiap perkara. Apabila beliau beritahu saya untuk kembali ke Atletico, perasaannya seperti saya tidak pernah meninggalkan kelab tersebut.”

“Saya mempunyai segala-galanya di sini. Atletico merupakan kelab besar dalam bandar yang besar dan orang di sini hampir sama seperti Brazil. Saya sangat gembira kerana dapat kembali.”

BACA:  Mourinho Puji Persembahan Pemain United Walaupun Kecundang Di Pentas Final