Coutinho Sudah Hubungi Klopp Untuk Kembali Ke Anfield

Philippe Coutinho telah mengemukakan rayuan secara peribadi kepada Jurgen Klopp untuk memastikan dirinya dapat kembali ke Anfield pada musim panas nanti.

Bintang Brazil itu juga dilaporkan sanggup dikurangkan gajinya asal beliau dapat menandatangani perjanjian bersama Liverpool.

Coutinho yang kini sudah berusia 28 tahun itu sangat terdesak untuk kembali ke Anfield setelah melalui karier yang suram bersama Barcelona.

Beliau telah memujuk serta merayu kepada Klopp agar mempertimbangkan untuk menandatangani dirinya semula ke Anfield sewaktu semua kelab sedang hangat mempersiapkan pasukan bagi menghadapi jendela perpindahan musim panas ini.

Laporan lanjut turut mendakwa bahawa bintang Brazil itu sanggup untuk dipotong gajinya asalkan saja urusan perpindahan ini berlaku.

Coutinho dipercayai menerima pendapatan £250,000 seminggu di Barcelona. Gergasi La Liga itu juga dilaporkan sudah menyediakan baki bayaran beliau untuk meminjamnya sekali lagi bersama pasukan lain.

Tetapi Barcelona lebih memilih untuk menjual pemain tersebut terlebih dahulu dan seandainya tiada pasukan berminat maka mereka akan meminjam Coutinho kepada mana-mana pasukan yang berminat.

Pemain midfield Barcelona itu kini sedang dipinjamkan ke Bayern Munich dan dilaporkan beberapa pasukan seperti Manchester United, Leicester City dan Newcastle United berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Klopp mungkin boleh memikirkan semula untuk menandatangani Coutinho selepas usahanya untuk mendapatkan Timo Werner dari RB Leipzig gagal kerana pemain tersebut bersetuju untuk ke Chelsea.

Bekas pertahanan Liverpool, Steve Nicol percaya bahawasanya sungguh tidak masuk akal sekiranya the reds menolak untuk menandatangani Coutinho semula dalam situasi sekarang.

“Sudah pasti. Liverpool sangat rugi kalau lepaskan dia. Saya tidak boleh memikirkan walau satu pon alasan yang memungkinkan Liverpool menolaknya.”

“Satu-satunya tempat yang beliau gemari adalah Liverpool. Tempat yang beliau cintai, dia sangat sayangkan pasukan. Anda boleh bayangkan menambahkan beliau kedalam skuad sedia ada sekarang, mereka sudah bergelar Juara eropah musim lalu dan musim ini sudah tersingkir dan kini mereka semakin hampir untuk menjuarai Liga.”

“Mereka akan menambahkan pemain sehebat dan mempunyai kemampuan luar biasa seperti Coutinho, kemasukan beliau boleh diibaratkan seperti Timo Werner, dia pasti akan berusaha untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.”

“Dia sanggup memotong gajinya, luar biasa, kamu semua dengar sini, dia pemain yang boleh menjana pendapatan bersih lebih £13 juta setahun. Dia pasti akan memberikan sesuatu yang hebat.”

“Sekiranya diurus dengan betul ini bakal menjadikan Liverpool sebuah pasukan yang paling digeruni.”

BACA:  Perjanjian Luar Biasa Di Antara Liverpool & Barcelona Bagi Membolehkan Coutinho Berpindah