Cristiano Ronaldo Adalah Idola Saya – Diogo Jota

Diogo Jota berusia 17 tahun dan menunggu peluang untuk melakukan debut untuk pasukan utama ketika dia pergi bertemu koordinator pasukan Pacos de Ferreira dan telah membuat satu permintaan yang agak pelik – belajar bahasa baru.

Walaupun pada usia muda, Jota faham bahawa perjalanannya dalam bola sepak peringkat kelab bakal menjadi tidak semudah yang dijangka.

Di Peringkat antarabangsa, Portugal telah memenangi Euro 2016, serta Liga Negara UEFA yang pertama kali dilangsungkan pada 2019, tetapi negara tersebut mempunyai satu masalah besar yang masih belum dapat diatasi iaitu pemain akademi tidak mempunyai peluang secukupnya di peringkat kelab.

Menerusi satu kajian baru-baru ini, hanya 4.6 peratus daripada jumlah minit yang dimainkan oleh kesemua pemain di liga tertinggi Portugal diberikan kepada pemain hasil produk tempatan atau di kalangan pemain yang berusia 15 dan 21 tahun dan telah mewakili sesebuah kelab sekurang-kurangnya tiga tahun.

Nilai tersebut merupakan yang paling rendah di kalangan 27 liga utama di Eropah, berbanding 12.7 peratus di England dan 15.5 peratus di Sepanyol.

Lapan tahun lalu Jota sudah sedia maklum akan isu ini dan dia telah mempunyai pelan sandarannya sendiri. Tidak lama selepas menyertai pasukan pertengahan liga Pacos pada 2013, dia telah bercakap dengan ketua pembangunan belia, Gilberto Andrade.

“Masa tu, susah untuk pemain muda untuk masuk ke pasukan utama,” Jota bercerita kepada FourFourTwo, beberapa hari lalu.

“Saya selalu mengintai peluang untuk bermain di luar negeri di tempat yang baik. Untuk lebih mudah menyesuaikan diri, kemampuan untuk berkomunikasi adalah cukup penting ke mana sahaja saya pergi.

“Saya sudah belajar bahasa Inggeris di sekolah, jadi saya pergi jumpa Gilberto dan tanya dia kot dia boleh tolong saya belajar bahasa Sepanyol juga.

“Dia ada CD audio bahasa, yang mana sangat membantu di awal-awal saya belajar bahasa tersebut. Lepas tu saya mula masuk kelas dengan seorang guru tempatan.”

Pengajian tersebut ternyata sangat berbaloi. Tidak sampai setahun dia tiba dari Gondomar, sebuah kelab kecil di sekitar Porto, Jota telah berjaya menawan hati jurulatih Paco – Paulo Fonseca, yang mana selepas itu menjadi pengurus di Shakhtar dan Roma.

22 gol dijaringkan dalam kempen liga bersama pasukan bawah-19 membuatkannya berjaya mendapatkan debut bersama skuad senior dalam pada bulan Oktober 2014, dan menjaringkan satu gol dan menyumbangkan dua assist dalam pertemuan Piala Portugis.

Kemudian, di musim yang sama, Jota elah berjaya menjaringkan dua gol dalam satu peralawanan di Primeira Liga, ketika dia berusia 18 tahun, sekaligus muncul sebagai pemain paling muda yang melakukannya selepas Cristiano Ronaldo pada tahun 2002.

Prestasi itu sudah cukup untuk meyakinkan orang ramai bahawa dia adalah bintang di masa depan. Pada hujung musim 2015-16, Jota telah menyertai Atletico Madrid.

Tidak lama selepas itu, Jota menonton kejayaan Portugal dalam kempen Euro 2016 menerusi kaca televisyen.

“Saya sudah pun mula pra-musim di Sepanyol,” ujar Jota mengenang kembali detik bersejarah tersebut.

“Saya rasa sangat bangga – kami memang berhak untuk menjadi juara Eropah.”

Walaupun sudah berpindah ke kelab besar, pemain yang berasal dari Massarelos itu tak pernah terfikir bahawa dalam Euro berikutnya dia bakal menyarung jersi Portugal.

“Memang tak pernah terfikir – saya memang tak pandai buat rancangan masa panjang,” katanya lagi.

“Tetapi saya ada impian untuk bermain untuk pasukan kebangsaan, nasib baik tercapai.”

Idola Semasa Kecil

Ketika masih di era pensabunan, ingatan awal Jota tetang bola sepak adalah ketika kempen Kejohanan Eropah 2004 di mana negaranya menjadi tuan rumah dan layak ke perlawanan akhir, menentang Greece.

Malang buat Luis Figo dan rakan seangkatan, Greece muncul juara walaupun mereka hanya melakukan satu cubaan tepat sepanjang perlawanan.

“Itu adalah memori pertama saya dalam bola sepak.

“Saya ingat lagi menonton perlawanan separuh akhir menentang England – saya tengah duduk di ruang tamu dengan ayah dan abang saya, kami gembira sangat bila menang.

“Rasa macam tak percaya macam mana Ricardo boleh selamatkan bola penalti tanpa pakai sarung tangan. Itu adalah detik yang sangat luar biasa bagi saya.”

17 tahun kemudian, akhirnya Jota diberi peluang untuk menyarung jersi kebangsaan dan bermain bersama idolanya, Cristiano Ronaldo.

“Cristiano adalah idola saya – saya tengok dia bermain di peringkat tertinggi dengan Manchester United, menang Ballon d’Or dan anugerah lain.

“Sebagai orang Portugis, saya memang letak dia sebagai contoh untuk diikuti.

“Ketika saya melakukan debut antarabangsa menentang Lithuania pada November 2019, saya masuk sebagai pemain gantian menggantikan Ronaldo, dan ia adalah saat yang paling istimewa buat saya.

“Saya hanya boleh bersyukur untuk berkongsi bilik persalinan dengan dia.”

Nama Sebenar Diogo Jota

Sebenarnya, perkataan Jota langsung tidak ada dalam kad pengenalan penyerang Liverpool ini. Nama sebenar mengikut sijil kelahiran di Portugalnya adalah Diogo José Teixeira da Silva.

Dalam bahasa Portugis, Jota bermaksud huruf ‘J’, dan gelaran ini diberikan kepadanya untuk membezakan dia dengan pemain lain yang bernama Diogo ketika di bermain di Gondomar.

Jota di zaman budak. Nampak berbisa dari dulu lagi. Gambar : Maisfutbol

Bersama kelab tersebut, Jota pernah mencipta sejarah peribadi apabila menjaringkan lima gol menewaskan penjaga gol yang sama, tetapi untuk pasukan berbeza.

“Bukan selalu benda macam ni berlaku.

“Saya bermain elok untuk pasukan bawah-17. Pasukan bawah-19 pula sedang berjuang daripada diturunkan liga, jadi diorang panggil saya, dan ini bermaksud saya akan bermain perlawanan 90-minit yang pertama dalam hidup saya.

“Bagi peringkat bawah-17, perlawanan hanyalah 80 minit.

“Pada hujung minggu tu, saya bermain sebagai kesebelasan utama untuk pasukan bawah-19 pada hari Sabtu dan jaringkan hatrik.

“Kemudian pada pagi Ahad, pengurus bawah-17 ingat saya penat, jadi dia letakkan saya di bangku simpanan.

“Dia masukkan saya pada separuh masa kedua dan saya jaringkan dua gol!

“Dari segi nombor, itu adalah musim terbaik saya pernah lalui. Saya jaringkan hampir 40 gol dan tidak bermain sebagai penyerang pun, tetapi sebagai pemain tengah.

“Itu adalah musim yang paling diingati dalam proses saya berkembang sebagai seorang pemain.”

Masalah Jantung

39 jaringan gol dalam 37 perlawanan buat Gondomar membawa Jota ke Paco de Ferreira, dia mana untuk seketika, dia berdepan detik yang cemas yang kariernya mungkin akan berakhir.

Sewaktu menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum bermulanya musim 2014-15, dia telah didiagnos dengan masalah jantung. Dia tidak dibenarkan berlatih sehinggalah semuanya disahkan selamat.

“Itu adalah detik yang sangat sukar, buatkan saya tertanya-tanya, ‘aku ni boleh main lagi ke?’

“Tetapi saya positifkan diri dalam  situasi tu dan percaya bahawa semuanya akan jadi baik-baik sahaja.

“Saya tahu yang saya mungkin terpaksa berhenti daripada main bola tapi saya tak percaya yang benda tu akan berlaku.

“Segalanya berlaku ketika hari pertama saya di kelab tu, apabila saya menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Rasa takut la juga sebab ada benda yang tak kena dengan elektrokardiogram. Saya terpaksa dirujuk kepada pemeriksaan elektrofisiologi.

“Hanya selepas semuanya disahkan okay barulah saya sambung bermain. Saya sampai terlepas sebahagian pra-musim dan debut peringkat senior saya terpaksa ditangguhkan.”

Selepas detik itu, Jota terus mempamerkan aksi berkualiti dan menjemput minat kelab-kelab besar, sehinggalah dia menyertai Atletico Madrid di La Liga. Dia kemudiannya mengambil langkah yang dilihat terkebalakang dengan menyertai Wolverhampton Wanderers yang ketika itu bermain di divisyen dua England, namun bak kata mat saleh, the rest is history.

Andai dia tidak sertai Wolves, mungkin dia tidak akan menyarung jersi Liverpool dan juga beraksi buat Portugal di pentas Euro kali ini.

Sumber artikel : 442

BACA:  Klopp Akui Persiapan Menentang Nottingham Adalah Paling Sukar Sepanjang Bergelar Pengurus