Cristiano Ronaldo Mahu Meninggalkan Real Madrid

Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, kini dikatakan sudah bersedia berhijrah dari Sepanyol selepas dia didakwa melakukan penipuan cukai, dan keputusannya untuk berhijrah tersebut dianggap muktamad, lapor media Portugal.

Ronaldo didakwa tidak menjelaskan cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Sepanyol sebanyak €14.7 juta (RM70 juta) – satu tuduhan yang telah dinafikannya.

A Bola – akhbar yang melaporkan berita ini pada hari Jumaat lalu turut mengatakan Real Madrid sudah bersedia untuk menjual pemain ini pada harga lebih daripada £150 juta!

Ronaldo kini bersama pasukan kebangsaan Portugal menjelang penyertaan pertama negara tersebut dalam Piala Konfederasi FIFA pada hari Ahad nanti, menentang Mexico, dan Ronaldo hanya akan mula menjawab mengenai pertuduhan ini selepas kempen piala ini tamat.

Dia dikatakan bakal mengumumkan perpindahannya dari Real Madrid dalam sidang media tersebut.

Khabar angin ini semakin kuat diperkatakan selepas Ronaldo tidak muncul dalam video pelancaran jersi baru Real Madrid.

A Bola juga turut melaporkan bahawa Ronaldo sangat kecewa dengan tuduhan ini sehinggakan dia tidak mampu untuk menyanyikan lagu Despacito ketika mandi di bilik air.

Ronaldo juga mendakwa dia adalah mangsa pertuduhan, dan melalui satu gambar yang dimuat naik di instagramnya, Ronaldo mengatakan perkara yang terbaiknya sekarang ialah berdiam diri.

Kelab Ronaldo sekarang, Real Madrid turut mempertahankan penyerang kesayangan mereka ini daripada pertuduhan ini menerusi satu kenyataan rasmi kelab.

“Real Madrid C.F dengan penuh yakin dan percaya kepada pemain kami, Cristiano Ronaldo, dan kami difahamkan beliau telah bertindak sewajarnya melalui undang-undang, berkenaan pertuduhan fiskalnya.

“Sejak tiba di Real Madrid C.F pada Julai 2009, Cristiano Ronaldo telah mematuhi segala tanggungjawab untuk memenuhi tuntuan cukai.

“Real Madrid C.F juga yakin bahawa Cristiano ROnaldo akan membuktikan bahawasanya dia tidak bersalah dalam hal ini.

“Real Madrid C.F juga berharap keadilan akan terserlah secepat mungkin.”

Sebelum ini beberapa pemain Barcelona seperti Leo Messi, Javier Mascherano dan Neymar turut berdepan masalah cukai seperti Ronaldo.

Timbul persoalan, apakah dasar percukaian Sepanyol sangat rumit tehadap pemain dari luar, atau sememangnya pemain-pemain import ini memang sengaja tidak mahu membayar cukai?

Sumber berita : Mirror Football

Baca Juga

Baca Juga