Cristiano Ronaldo Pilih 6 Pemain Yang Berpotensi Menjadi Penggantinya

Sejak berdekad lalu, Cristiano Ronaldo telah menobatkan dirinya selaku pemain handalan dan terbaik dunia apabila cemerlang walaupun di mana saja beliau beraksi dan Lionel Messi pula pesaing terhebat.

Penguasaan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi bermula sedekad yang lalu namun untuk mencapai tahap itu sebenarnya lebih banyak masa telah diambil.

Kebelakangan ini ada penyokong satu pasukan yang selalu melabel pasukan dan pemain merekalah yang terhebat cuba mengangkat pemain mereka sebagai pemain terbaik dunia dengan berdasarkan prestasi 3-4 bulan ini.

Namun bukan itu yang mahu kita ceritakan.

Pemain bola sepak superstar yang paling hebat, bergaya, kacak, power dan diva di dunia, Cristiano Ronaldo telah memilih 6 orang pemain yang beliau sendiri percaya mampu menjadi pengganti dengan menggapai kejayaanya seperti dirinya.

Tidak diragui lagi kehebatan Ronaldo dan tidak terlalu gelojoh jika mahu menobatkan Ronaldo antara pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman dengan kejayaan dan penghormatan yang diraih secara berpasukan dan individu.

Bagi mencari pemain yang berkaliber seperti Ronaldo sangatlah sukar. Mungkin seorang dalam satu generasi bola sepak. Bagaimana prestasi mereka kini?

Ronaldo sendiri telah memilih 6 pemain yang beliau rasa mampu untuk menjadi penggantinya ketika di tanya oleh Daily Mail empat tahun lalu.

“Soalan yang bagus. Aku lihat ada 6 orang yang berpotensi dan beberapa orang lagi. Untuk generasi akan datang sekurang-kurangnya ada 10 pemain yang sangat, sangat, sangatlah berpotensi” Ujar Ronaldo.

Mari kita lihat adakah Neymar Malaysia, Neymar Kedah, Messi Malaysia, Terengganu dan Kodiang berada dalam pilihan Ronaldo.

6. Marcus Rashford

Marcos Rashford yang merupakan anak jati Manchester United diramal bakal menjadi pemain bintang pasukan Setan Merah dengan prestasi semasa yang ditunjukkan, malah Rasford juga digelar ‘King Of Debut’ apabila menjaringkan gol dalam debutnya di mana-mana kejohanan.

Ketika baru berusia 19 tahun, Rashford sudah menjadi pemain skuad Senior England selepas mampu bermain di aras tertinggi dan menjaringkan gol penting dalam perlawanan berprofil tinggi.

Rashford memiliki kelajuan yang baik, kemampuan teknikal dan kemahiran menggelecek yang padu seperti kebanyakkan pemain muda yang lain tetapi yang membezakan mereka adalah ketenangan dan keyakinan yang ada pada Rashford pada usia yang begitu muda.

Di usia masih muda, Rashford belum menjadi seorang pemain yang sempurna kerana banyak lagi aspek boleh dimajukan tetapi sudah boleh dianggap pemain berkelas dunia membuatkan Ronaldo yakin Rasford mampu meningkatkan permainannya ke tahap dewa dalam beberapa tahun lagi.

Marcus Rashford bukan sahaja bagus di padang menabur bakti kepada Setan Merah malahan di luar padang, Rashford amat terkenal dengan kerja-kerja kebajikannya sehingga mendapat anugerah Datok di England.

5. Ousmane Dembele

Kini berusia 24 tahun tetapi nilai perpindahan Ousmane Dembele ke Barcelona dari Borussia Dortmund sangatlah tidak masuk akal dan merepek dengan nilai €105 juta atau RM 526.59 juta. Mungkin kerana inflasi.

Pada Januari 2016, Dembele bermain bersama kelab Perancis, Rennes yang bergelut untuk hidup di Ligue 1 dan ketika itulah ramai mula mengenali beliau. Kini Dembele menjadi pemain muda yang berprofil tinggi dan juga pemain kedua termahal dunia.

Ousmane Dembele merupakan seorang pemain yang laju, berkemahiran tinggi dan mampu mencipta sesuatu dalam apa jua situasi. Lelaki Perancis berkaki dua ini sudah tentu akan mengalami banyak tekanan di Camp Nou bagi memenuhi harapan dengan tanda harga yang tinggi.

Inilah detik di mana pemain berkelas dunia perlu lalui dan Ronaldo percaya Dembele mampu untuk menjadi pemain terbaik bagi generasi akan datang.

Sejak berada di Barcelona, Dembele dilihat masih gagal lagi mencapai potensi sepenuhnya ekoran beberapa siri kecederaan yang melanda.

4. Marco Asensio

Marco Asensio yang mendapat jolokan Safawi Rasid Sepanyol yang mengalami kecederaan ketika bercukur merupakan rakan sepasukan Ronaldo di Real Madrid. Asensio sangat menyerlah ketika ketiadaan Ronaldo yang mengalami penggantungan suatu ketika dulu.

Ketika berusia 21 tahun, Asensio dilihat sudah menjadi antara pemain terbaik bagi pasukan kebangsaan Sepanyol. Sudah menjadi lumrah bagi Asensio untuk menjaringkan gol yang padu samada untuk kelab atau negara.

Andres Iniesta juga menyifatkan Marco Asensio merupakan satu hadiah buat bola sepak Sepanyol dan berharap Asensio akan kembang mekar untuk kebaikan pasukan Sepanyol bagi tahun yang mendatang.

Dengan kehebatan dan keistimewaan yang ada pada Asensio membuatkan Ronaldo yakin bahawa rakan sepasukannya itu bakal menjadi calon Ballon d’Or pada masa akan datang.

Kini di tahun 2021, Asensio sudah pun berusia 25 tahun namun kariernya tenggelam timbul samada bersama Real Madrid atau Sepanyol, tidak pelik Asensio akan hilang dari radar jika gagal mendapatkan prestasi terbaiknya semula.

Mungkin kemerosotan Asensio ini disebabkan oleh kecederaan ketika mencukur bulu kaki?

3. Kylian Mbappe

Kylian Mbappe menjadi sebutan selepas aksinya cemerlangnya bersama Monaco di Champions League dan seakan sudah takdir bahawa beliau bakal menggegar dunia yang fana ini. Pada Januari 2016 beliau menandatangan kontrak profesional pertama.

Kemudian beraksi bersama PSG secara pinjaman selama setahun sebelum PSG membelinya dengan harga €180 juta pada musim panas 2018 secara tetap.

Kehebatan terbukti di Ligue 1 dan Champions League sejak beberapa musim yang lalu apabila menunjukkan taring bersama PSG dan juga pasukan kebangsaan Perancis.

Pada usia 18 tahun, Mbappe telah menjadi pemain senior skuad Kebangsaan Perancis malahan telah berjaya membawa Perancis menjulang Piala Dunia 2018 di Russia.

Kini Mbappe sudah berusia 18 tahun dan menjadi prospek hangat di setiap jendela perpindahan namun wang hantarannya terlalu tinggi untuk dilunaskan. Real Madrid dijangka menjadi destinasi Mbappe seterusnya.

Jika Mbappe mampu mengekalkan dan mengembangkan lagi prestasinya seperti sekarang untuk beberapa tahun mendatang, beliau bakal menjulang pelbagai kejuaraan dan trofi termasuklah Ballon d’Or.

Dalam senarai pemain pilihan Ronaldo ini, Mbappe dilihat paling berpotensi besar untuk menjadi pengganti Ronaldo dan sentiasa konsisten.

2. Eden Hazard

Bintang kesayangan Chelsea dan Belgium ini tidak perlu diperkatakan lagi tentang kehebatannya dengan bermain cemerlang bersama Chelsea untuk beberapa musim yang lalu dan berjaya membantu Chelsea menjulang kembali kejuaraan Liga Perdana.

Hazard berkemampuan untuk menewaskan pertahanan lawan dengan mudah dan mencipta peluang untuk rakan sepasukan bagi menghasilkan gol. Kemampuan Hazard ini mampu mengucar-kacirkan pertahanan lawan dan membuka ruang untuk rakan sepasukan.

Lagenda Arsenal menyifatkan Hazard sebagai pemain yang istimewa dan tiada siapa mampu menyekat beliau dengan kualiti hebat yang ada pada beliau ketika memegang bola serta mampu mampu menghasilkan sesuatu.

Hazard sudah lama menjadi sebutan ramai yang mengatakan beliau merupakan pengganti Ronaldo tetapi tiada pula yang melabel beliau sebagai Ronaldo Chelsea atau Belgium. Malah Ronaldo sendiri memilih Hazard.

Namun Hazard yang dulu bukan yang sekarang dulu disayang kini dihina. Sejak menyertai Real Madrid, Eden Hazard kini bukanlah Eden Hazard yang dunia bola sepak kenali seperti dulu.

Masalah kecederaan berpanjangan, masalah berat badan menjadikan Hazard beban kepada Real Madrid sejak hadir pada tahun 2019, di usia 30 tahun mustahil untuk Hazard kembali ke kemuncak.

Mungkin ini adalah satu pilihan yang teramat salah dari Ronaldo. Hazard dulu menjadi rebutan kelab gergasi, kini kelab divisyen dua dan West Ham United saja kelab yang berminat dengan Hazard.

1. Neymar Jr.

Rasanya tiada apa yang perlu diperkatakan mengenai pemain paling mahal di muka bumi ini. Semua sedia maklum dengan kehebatan Neymar yang mampu menggelecek, menjaringkan gol, mencipta peluang, berebut sepakan penalti dan hebat melakukan terjunan.

Ketika berusia 25 tahun, Neymar dilihat sudah sampai masa puncak dalam kariernya dan hanya perlu mengekalkan prestasinya sahaja. Berpindah ke PSG untuk lari dari bayangan Messi walaupun di Barcelona beliau tidak perlu berebut untuk membuat sepakan penalti.

Neymar dikatakan hanya menunggu masa untuk menjadi pemenang Ballon d’Or dan pemain terbaik FIFA selepas meninggalakn Barcelona namun itu tidak terjadi.

Neymar masih lagi dianggap antara pemain terbaik dunia membantu PSG dan Brazil meraih kejuaraan namun tidak lagi layak menang Ballon d’Or.

Mungkin kerana beraksi di Liga Petani menyebabkan Neymar tidak dapat meningkatkan lagi permainnya di tambah dengan masalah kecederaa.

Kesimpulan

Senarai enam pemain ini merupakan pilihan Ronaldo sendiri dan dibuat pada tahun 2017. Maka tak usah pelik kenapa pemain dari Malaysia dan kesukaan korang tidak tersenarai.

Jika dilihat kepada senarai 6 pemain ini, Kylian Mbappe paling berpotensi menjadi pengganti Ronaldo, Rashford dan Dembele masih lagi berpeluang jika dikira dari faktor umur.

Neymar, 29 tahun masih lagi mengekalkan tarafnya sebagai antara terbaik dunia ketika ini namun dari sejarah pemain Brazil akan terjadi penurunan ketara selepas memasuki umur 30 tahun, mungkin faktor gaya hidup.

Marco Asensio masih ada peluang untuk bertaubat dan inilah masanya keranan Real Madrid kini lebih bergantung kepada Karim Benzema, Toni Kroos dan Luka Modric pula semakin dimamah usia.

Eden Hazard mungkin boleh ditendang keluar dari senarai ini.

BACA:  Ronaldo Dedahkan 3 Pemain Yang Membuatkan Beliau Sedar Akan Kehebatan Diri