Cristiano Ronaldo Sahkan Bayi Lelakinya Telah Meninggal Dunia

Cristiano Ronaldo hari ini telah tampil mengumumkan yang salah seorang dari anak kembar beliau bersama pasangannya, Georgina Rodriguez telah meninggal dunia.

Pemain terbaik Manchester United itu bersama pasangannya baru sahaja dikurniakan sepasang kembar lelaki dan perempuan.

Walau bagaimanapun, hari ini Cristiano Ronaldo telah tampil mendedahkan yang salah seorang dari bayinya itu (lelaki) telah meninggal dunia.

Ronaldo menyampaikan berita sedih itu menerusi satu muat naik di laman instagram miliknya untuk mengesahkan tentang pemergian bayi lelakinya itu.

Cristiano Ronaldo turut mendedahkan kepada pengikutnya yang bayi perempuannya telah selamat dilahirkan.

“Dengan rasa sedih yang sangat mendalam kami mahu mengumumkan yang bayi lelaki kami sudah meninggal dunia.”

“Ia merupakan kesakitan yang teramat sangat yang boleh dirasai oleh ibu bapa. Hanya dengan kelahiran bayi perempuan kami sahaja yang mampu beri kami kekuatan untuk mengharungi detik ini dengan harapan dan sedikit kegembiraan.”

“Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada doktor dan jururawat atas jagaan rapi dan sokongan mereka.”

“Kami semua sedih atas kehilangan ini dan kami mohon beri waktu kepada kami di waktu yang benar-benar sukar ini. Bayi lelaki kami, kamu bidadara kami. Kami akan selalu menyayangi kamu.”

Tulis Cristiano Ronaldo di laman instagram miliknya.

Manchester United turut mengeluarkan kenyataan bagi memberi sokongan kepada Cristiano Ronaldo dengan menyatakan:

“Kesakitan kamu adalah kesakitan kami, @Cristiano. Kami kirimkan rasa sayang dan kekuatan untuk kamu dan keluarga kamu pada ketika ini.”

Anak pertama Cristiano Ronaldo, Cristiano Jr dilahirkan pada tahun 2010 melalui ibu tumpangan dengan beliau pada ketika ini sedang beraksi bersama skuad akademi setan merah.

Ronaldo kemudiannya dikurniakan anak kembar, Eva (perempuan) dan Mateo (lelaki) juga melalui ibu tumpang pada tahun 2017 yang lalu.

Pasangan beliau, Rodriguez kemudiannya selamat melahirkan anak perempuan mereka, Alana Martina pada tahun 2018 yang lalu.

Ronaldo kembali menyertai Manchester United dari Juventus pada musim panas lalu dengan Rodriguez bersama keluarganya turut sama ikut berpindah ke bandar Manchester.

Kedua-dua mereka bertemu ketika Cristiano Ronaldo masih lagi bersama Real Madrid dengan Rodriguez pada ketika itu bekerja di store Gucci.

Ronaldo pernah menceritakan kisah tersebut dalam satu siri dokumentari di Netflix dengan menyatakan:

“Dari detik itu (ketika mereka berselisih di hadapan store di mana Rodriguez bekerja) ia terus bermain di fikiran saya dan saya rasa ia waktu yang paling tepat.”

Pada tahun 2019 yang lalu, dalam satu temu bual bersama Piers Morgan, Ronaldo turut mengesahkan yang beliau akan kahwini Rodriguez satu hari nanti.

Pemain berusia 37 tahun itu menyatakan:

“Kami akan berkahwin satu hari nanti, itu sudah pasti. Geo merupakan sebahagian dari saya.”

“Dia banyak membantu saya. Saya jatuh cinta padanya dan saya betul-betul bersemangat kerana dia.”

Mungkin selepas bersara dari dunia bola sepak, beliau bakal berkahwin dengan isterinya itu dan akan mempunyai lebih banyak masa untuk bersama keluarganya.

Di usia beliau sekarang, Ronaldo sepertinya bakal meninggalkan pentas bola sepak profesional tidak lama lagi dan mungkin akan melibatkan diri dengan dunia kejurulatihan.

Semoga saja berita duka ini tidak mengganggu tumpuan beliau apa lagi United bakal beraksi bertemu Liverpool pada minggu ini.

Manchester United sangat terdesak untuk mengumpul tiga mata penuh dalam usaha mereka mahu mengakhiri saingan musim ini di kedudukan empat teratas.

Liverpool sementara itu turut sangat terdesak mahukan kemenangan kerana mereka kini hanya satu mata sahaja dipisahkan dari Man City untuk merebut gelaran Premier League.

BACA:  Erik Ten Hag Akhirnya Buka Mulut Mengenai Kontroversi Ronaldo Dengan Jawapan Ringkas