Cristiano Ronaldo Tak Jadi ke Manchester City, United Menjadi Destinasi Pilihan

Manchester United kini menjadi pasukan pilihan untuk mendapatkan penyerang sensasi, Cristiano Ronaldo selepas seteru utama yang juga jiran mereka, City, menarik diri daripada persaingan untuk mendapatkan pemain Juventus ini.

Ejen Ronaldo, Jorge Mendes, telah mengesahkan bahawa persetujuan telah dicapai antara anak buahnya dengan United, dan kepulangan pemain tersebut ke Old Trafford dilihat sebegitu hampir sekali.

Gambar edit sebegini sudah mula tersebar luas.

Pada hari Jumaat, pengurus Juventus, Max Allegri telah mengesahkan dalam satu sidang media bahawa Ronaldo sudah tidak berminat untuk kekal bersama kelab tersebut dan bakal mengangkat kaki.

“Semalam, ada sembang dengan Ronaldo, dia bagitahu yang dia dah tak ada hati nak kekal di Juventus dan oleh sebab itu, dia tidak akan diturunkan esok (perlawanan menentang Empoli) dan pagi ni pun dia tak sertai latihan,” ujar Allegri.

“Aku tak ada rasa kecewa kerana Cristiano buat keputusan dia sendiri. Dia dah ada kat sini selama tiga tahun, dia bagi sumbangan, dia letak Juventus sebagai keutamaan dan sekarang ni dia nak keluar dah dan hidup perlu diteruskan.

“Cristiano dah bagi banyak benda untuk kelab ni, dia memang seorang yang juara. Aku ucapkan selamat maju jaya di ceruk mana pun dia main nanti.

“Dia patut diterima kasihkan selepas apa yang dia buat untuk Juventus.”

Kapten Portugal ini telah menghabiskan selama sejam setengah di pusat latihan Juventus, Continassa, pada pagi Jumaat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukan dan juga mengosongkan almarinya di bilik persalinan.

DIa kemudiannya menaiki jet peribadinya dari lapangan terbang Caselle di Turin, menuju ke Lisbon, dengan masa depannya akan ditentukan dalam masa beberapa jam lagi.

Ronaldo, dalam musim terakhirnya telah menerima bayaran gaji sebanyak £500,000 seminggu dan kelab gergasi Itali itu telah menetapkan bahawa barangsiapa yang ingin mendapatkan khidmatnya perlu membayar sebanyak £21.3 juta sahaja.

Dalam pada itu, pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer telah memberitahu bahawa Ronaldo tahu yang ‘mereka ada di situ’ sekiranya dia meninggalkan Juventus.

Ketika beraksi bersama United di waktu mudanya, Ronaldo telah memenangi tiga gelaran kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara UEFA, Piala FA dan juga Piala Liga sebanyak dua kali, ketika kelab tersebut masih dibimbing oleh Sir Alex Ferguson, dari 2003 sehingga 2009.

“Aku tak rasa Cristiano akan tinggalkan Juventus. Ada banyak spekulasi pagi ni dan beberapa hari lepas,” Ole bercakap kepada wartawan pada hari Jumaat.

“Kami memang ada komunikasi yang baik. Aku tahu Bruno (Fernandes) ada sembang dengan dia juga. Dia tahu apa yang kami rasa pasal dia dan jika dan hanya jika dia tinggalkan Juventus, dia tahu kami ada di sini.”

Pada hujung kariernya, Ole sempat bermain dengan Ronaldo dan mengatakan bahawa bekas rakan sepasukannya itu adalah seorang lagenda kelab dan pemain terbaik sepanjang zaman.

“Aku memang bernasib baik dalam main dengan dia, aku pun pernah melatih dia bila aku mula-mula dapat kerja (pengurus pasukan simpanan United),” tambah pengurus berbangsa Norway itu.

“Dia memang seorang insan yang hebat jadi kita tengok apa yang akan terjadi dengan Cristiano. Semua orang yang pernah main dengan dia aku rasa ada soft spot di hati mereka kepada dia.”

Dalam perkembangan terbaru, ejen bola sepak yang juga bapak segala spekulasi perpindahan, Fabrizio Romano, telah mengatakan bahawa City secara rasminya tidak lagi berminat untuk membawa bintang Portugal ini ke Ettihad.

Romano yang mengatakan dia melakukan 50 panggilan setiap hari untuk mengorek cerita dalam kain mana-mana pasukan, telah menciap bahawa Mendes telah menerima cadangan kontrak yang rasmi daripada United untuk Ronaldo. Dia juga mengatakan bahawa Ronaldo memang nak sertai semula pasukan Syaithon Merah itu dan sedia untuk menerima lamaran secepat mungkin.

Tidak lama kemudian, Romano telah sekali lagi menciap situasi semasa tentang pemenang Ballon d’Or lima kali ini di mana satu tawaran rasmi telah dihantar kepada Juventus oleh United, kontrak selama dua tahun sehingga 2023 juga telah dihantar kepada Mendes dan juga kertas kerja perpindahan sedang disediakan secepat mungkin.

Dia juga telah mengatakan bahawa Manchester City telah secara rasminya terkeluar daripada persaingan untuk mendapatkan khidmat pemain ini.

Pada masa yang sama, Romano mendakwa bahawa Paul Pogba tidak dimasukkan dalam sebarang perbincangan untuk United mendapatkan khidmat bekas pemain mereka ini.

Seandainya Ronaldo sah menyertai semula United, para penyokong pasukan tersebut pasti akan bergembira kerana sudah lama menantikan kepulangan lagenda mereka ini.

Tambahan pula, ada seorang peminat telah membakar jersi United yang mempunyai nama dan nombor pemain ini, selepas tersebar khabar angin yang tidak ditentusahkan yang mengatakan bahawa Ronaldo akan sertai City. Entah apa lah yang dia rasa sekarang, kan?

Jika Ronaldo kembali ke United, jersi nombor berapakah yang akan dipakai pemain ini dengan nombor tradisionalnya, 7, sedang digunakan oleh Edinson Cavani.

Adakah Cavani akan menyerahkan nombor ini kepada Ronaldo dan mengambil nombor 9 daripada Martial, atau nombor 10 daripada Rashford? Atau mungkinkah Cavani akan mengambil nombor 21 daripada Daniel James?

Kepulangan Ronaldo ke United pasti akan membantu pasukan tersebut menjadi pasukan yang kembali digeruni di hadapan gol, memandangkan Ronaldo, walaupun sudah berusia, dia masih tajam di hadapan gawang lawan.

Tambahan pula, dia memiliki aerial threat yang cukup tinggi dan mungkin akan membebaskan United daripada belenggu kesukaran ketika bertemu pasukan yang bermain secara bola sepak negatif, atau pasukan yang bermain dengan barisan pertahanan yang terlalu rendah.

Jadi tak jadi, kita tengok je nanti. Yang penting, kita speku je dulu.

Sumber : Twitter Romano dan SkySports

BACA:  Bekas Jurulatih Dedah Punca Cristiano Ronaldo Hilang Sokongan Di Bilik Persalinan Man United