Cristiano Ronaldo vs Ali Daei: Berapa Banyak Mereka Menjaringkan Gol Dalam Perlawanan Penting?

Cristiano Ronaldo telah menjaringkan gol antarabangsa yang ke-109 ketika membantu Portugal mengikat Perancis dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan EURO 2020.

Jumlah itu menyamai rekod yang dilakarkan oleh Ali Daei dari Iran. Rekod Ali Daei tidak dicabar oleh mana-mana pemain selama hampir 15 tahun.

Ali Daei

Ali Daei, kini merupakan ketua jurulatih kelab tempatan Saipa FC mula menjaringkan gol pertama bersama Iran dalam kempen kelayakan Piala Dunia 1994. Dalam sesi tersebut Ali Daie mengumpul 7 gol.

Kempen kelayakan Piala Dunia menjadi lubuk jaringan Ali Daei yang merintis jalan menuju kepada penjaring terbanyak di dunia bersama pasukan kebangsaan.

Ali Daie terlibat dalam 4 sesi kelayakan Piala Dunia bersama negaranya -kelayakan Piala Dunia 1994, 1998, 2002 dan 2006. Penyerang ini mengumpul 36 gol.

Sebagai pemain Asia yang bermain di Asia, Piala Asia merupakan pertandingan tertinggi di benua Asia. Sudah pasti Ali Daei banyak terlibat dengan proses kelayakan Piala Asia.

Sama seperti kelayakan Piala Dunia, Ali Daie juga terlibat dalam 4 sesi kelayakan Piala Asia iaitu pada kelayakan Piala Asia 1996, 2000, 2004 dan 2007. Dari 4 sesi tersebut Ali Daie mengumpul 23 gol.

Ali Daie tidak mempunyai sebarang koleksi gol di Piala Dunia. Iran berjaya mara ke pusingan akhir pada tahun 1998 dan 2006 dimana Ali Daie berada dalam skuad Iran. Dia terlalu tua ketika Iran berangkat ke Jerman 2006, berusia 37 tahun.

Di peringkat tertinggi Asia Ali Daie mempunyai 14 gol. Ali Daei menjaring 8 gol-Piala Asia 1996, 3 gol Piala Asia 2000 dan 3 gol Piala Asia 2004.

Ali Daie juga mempunyai 9 gol dalam pertandingan Sukan Asia, ia tetap dikira walaupun sukan ini tidak berada dalam kalendar Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Secara rumusnya, Ali Daei merekod 73 gol dalam perlawanan tertinggi iaitu kelayakan Piala Asia, kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.

36 gol lagi dijaringkan dalam perlawanan minor seperti Sukan Asia, Piala LG, Piala Ancient Civilization Kejohanan WAFF dan perlawanan persabatan.

Bagaimana pula dengan Ronaldo?

Cristiano Ronaldo

Piala Eropah 2020 merupakan kejohanan terbaik untuk Ronaldo. 2 jaringan ketika mengikat Perancis menyaksikan Ronaldo sudah mengumpul 5 gol.

Ia merupakan koleksi gol paling banyak dilakukan oleh Ronaldo berbanding Piala Eropah 2004 (2 gol), 2008 (1 gol), 2012 (3 gol) dan 2016 (3 gol).

Malah Ronaldo tidak pernah menjaringkan gol sebanyak itu dalam 4 kejohanan Piala Dunia yang disertainya.

Pada sesi kelayakan Piala Eropah Ronaldo mengumpul 31 gol (Ali Daei: 23 gol/kelayakan Piala Asia). Sementara itu Ronaldo mempunyai 30 jaringan (Ali Daie: 36 gol) dalam 4 sesi kelayakan Piala Dunia.

Jaringan antarabangsa pertamanya hadir dalam kejohanan besar iaitu di Piala Eropah 2004. Mengikut corak jaringan Ronaldo, sentuhan semakin tajam ketika usianya semakin meningkat.

Pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 (15 gol) dan kelayakan Piala Eropah 2020 (11 gol) -merupakan fasa terbaiknya dari sudut jumlah jaringan.

Malahan Ronaldo menjaringkan lebih banyak gol di Piala Dunia 2018 (4 gol) dan Piala Eropah (5 gol) berbanding edisi-edisi sebelumnya.

Secara keseluruhan Ronaldo mempunyai 14 gol di pusingan akhir Piala Eropah dan 7 gol Piala Dunia. Apabila dicampur dengan pusingan kelayakan, Ronaldo mempunyai koleksi 82 gol (Ali Daei: 73 gol).

Baki 27 gol dihasilkan dalam perlawanan persabahatan, Piala Konderasi FIFA dan UEFA Nations League.

Rumusan

Cristiano Ronaldo

82 gol: Kelayakan dan pusingan akhir Piala Dunia/Piala Eropah

27 gol: Persahabatan dan lain-lain

Sementara itu bagi Ali Daie

Ali Daei

73 gol: Kelayakan dan pusingan akhir Piala Dunia/Asia

36 gol: Persahabatan dan lain-lain

Ali Daie bersara dari kancah bola sepak pada usia 38 tahun, statistik jaringannya semakin menurun selari dengan peningkat usia.

Sementara itu Ronaldo kini berusia 36 tahun dan masih bertenaga. Malah statistik jaringannya bersama Portugal semakin meningkat walaupun sudah semakin tua.

Tiada siapa boleh meramalkan bilakah sentuhan Ronaldo akan berhenti. Cuma semua orang boleh meramalkan Ronaldo akan terus menjaringkan banyak gol terutamanya dalam sesi kelayakan Piala Dunia 2022.

Dan rekod jaringannya bersama Portugal bakal bertahan selama berdekad-dekad.

BACA:  Para Pemain Cambridge Kena Marah Sebab Guna Keraian 'Siuuu'