Rasmus Hojlund jelas berang apabila Diogo Dalot memilih untuk memulangkan semula bola ke belakang berbanding menghantarnya ke hadapan ke arahnya. Kemarahan yang sama mungkin turut dirasai oleh Ruben Amorim kerana insiden itu membawa makna besar dalam sistem taktikalnya.
Gerakan itu sebenarnya mencerminkan dengan tepat apa yang cuba diterapkan dalam formasi Amorim, yang lebih kelihatan seperti 3-4-2-1 berbanding 5-4-1. Dalot bertindak sebagai pemain sayap menyerang, menyusun lariannya dengan sempurna di belakang pertahanan Real Sociedad untuk menerima hantaran jauh dari Noussair Mazraoui. Mazraoui, yang berperanan sebagai pertahanan tengah kiri, mencipta sudut yang sesuai dengan memotong masuk ke tengah menggunakan kaki kanannya.
Hojlund juga membaca situasi dengan baik, melihat potensi Mazraoui membawa bola ke hadapan dan terus meluru ke dalam kotak penalti, meninggalkan Igor Zubeldia untuk bersedia menerima hantaran silang.
Namun, Dalot yang pada mulanya mungkin melihat Hojlund masih di belakang Zubeldia, tidak menyedari bahawa Hojlund sudah bergerak mendahului lawannya ketika dia melihat kali kedua. Hantaran silang ketika itu kelihatan pilihan terbaik..
Sebaliknya, Dalot memperlahankan serangan dengan menghantar bola semula kepada Alejandro Garnacho. Akhirnya, bola sampai kepada Patrick Dorgu yang melepaskan percubaan dari jarak 18 ela menggunakan kaki kanannya. Percubaanya tersasar.
Hojlund kini sudah melalui 19 perlawanan tanpa jaringan tetapi masih merupakan ancaman lebih berbahaya berbanding Dorgu, yang berada lebih jauh, menggunakan kaki lemahnya serta dihalang pemain pertahanan. Keputusan Dalot seolah-olah mencerminkan kurangnya keyakinan terhadap Hojlund.
Amorim pula tidak mahu menyalahkan Dalot sepenuhnya apabila ditanya mengapa dia tidak menghantar bola kepada penyerang United dalam perlawanan yang berakhir 1-1 dalam pusingan pertama Liga Europa.
“Sukar untuk dikatakan, tetapi saya bayangkan Dalot tidak pasti sama ada Hojlund benar-benar mempunyai kelebihan dan dia rasa mempunyai lebih masa untuk berfikir,” kata Amorim.
“Satu perkara yang saya pasti, mereka sangat terdesak untuk menjaringkan gol dan memenangi perlawanan dan kadang-kadang itu membuatkan mereka tidak membuat keputusan terbaik dalam kedudukan mereka.”
Keengganan Dalot untuk Melakukan Hantaran Silang
“Ia adalah situasi yang jelas, Hojlund melakukan gerakan yang baik, Dalot juga bermain dengan baik cuma keputusannya bukan yang terbaik. Apa yang penting adalah terus bergerak ke hadapan tanpa menimbulkan ketegangan antara mereka,” tambah Amorim.
Sama ada ketegangan itu dapat diatasi bergantung kepada keupayaan Dalot untuk segera mencipta peluang untuk Hojlund. Dalam hal ini, melakukan hantaran silang awal perlu menjadi pilihan utama. Amorim turut mengakui bahawa pemain-pemainnya terlalu banyak berfikir dalam situasi tertentu.
Sepatutnya, fokus utama Dalot adalah mencari penyerang utama pasukan tanpa mengira rekod jaringan Hojlund musim ini. Namun dia memilih untuk bermain selamat dengan menghantar bola ke belakang.
“Kami mencipta peluang tetapi kadangkala anda tidak dapat melihatnya dalam statistik xG kerana kami tidak melakukan percubaan, walaupun peluang besar itu ada,” jelas Amorim. “Kami mempunyai situasi serangan balas yang baik, tetapi kadangkala ada sesuatu yang hilang.”
Terdapat beberapa insiden lain di mana Dalot dan rakan sepasukannya memilih untuk menahan bola daripada terus menghantarnya ke dalam kotak penalti, seolah-olah takut kehilangan penguasaan bola. Hanya apabila pendekatan ini berubah, sistem Amorim dapat mencapai potensi penuhnya sebagai sistem menyerang terutamanya melalui peranan pemain sayap.
Melakukan hantaran silang awal memberi kesukaran kepada pertahanan lawan untuk menyusun semula kedudukan mereka. Sebagai contoh pada minggu ini, Morgan Rogers dari Aston Villa melakukan hantaran silang awal yang akhirnya membawa kepada jaringan sendiri pemain Club Brugge, Brandon Mechele.
Ini juga merupakan tradisi Manchester United, daripada David Beckham hingga Gary Neville — hantaran cepat dan tepat boleh memberi tenaga kepada penyokong terutamanya di Old Trafford, di mana keputusan perlawanan sejak kebelakangan ini disana kurang memberangsangkan.
Dorgu telah menunjukkan tanda-tanda memahami keperluan ini dalam permainannya. Dalam babak pertama menentang Everton di Goodison Park, dia menghantar bola awal dari sebelah kiri tetapi Hojlund tidak sempat menyambutnya. Pada separuh masa kedua, Hojlund membiarkan hantaran silang Dorgu berlalu begitu sahaja.
Dorgu sekali lagi menunjukkan kecenderungannya untuk menghantar bola awal ketika di San Sebastian. Pada minit ke-30, Mazraoui menghantarnya ke bahagian sayap dan Dorgu segera menghantar bola ke dalam kotak penalti. Meskipun hantaran itu tidak sempurna, ia menyebabkan pertahanan lawan mundur dan akhirnya United memperoleh sepakan sudut.
Lima minit kemudian, Joshua Zirkzee menghantar bola kepada Dorgu, yang sekali lagi segera menghantarnya ke dalam kotak. Bola itu dikawal dengan baik sebelum dia memecut ke tengah. Casemiro meneruskan serangan dan apabila bola jatuh kepada Dalot, dia akhirnya melakukan hantaran silang awal kepada Bruno Fernandes, yang rembatannya disekat oleh Aritz Elustondo. Malangnya, Zirkzee gagal memanfaatkan bola muntah.
Pada separuh masa kedua, Dalot mula menyesuaikan permainannya dengan lebih pantas. Hantaran silangnya pada minit ke-55 membawa kepada percubaan Garnacho, walaupun tidak begitu berbahaya. Selain itu, hantaran tepatnya kepada Zirkzee ketika Real Sociedad mengambil sepakan sudut berjaya mencetuskan serangan balas.
Peranan Dalot dalam jaringan United juga tidak kurang pentingnya. Dia menghantar bola kepada Garnacho, yang menunggu saat yang tepat sebelum melorongkan kepada Zirkzee untuk menjaringkan gol. Dalam situasi sebegini, kesabaran boleh menjadi senjata berbisa tetapi apabila serangan dilancarkan dengan pantas, mengekalkan momentumnya adalah lebih baik.
Hojlund dan Ketidakseimbangan Peluang
Jelas sekali, United masih menghadapi masalah untuk menjaringkan gol. Dalam perlawanan ini, Hojlund 2 kali memberikan bola kepada Garnacho untuk percubaan yang kurang meyakinkan. Namun, sebaliknya, Garnacho tidak pernah membalas budi dengan memberikannya peluang untuk melakukan percubaan.
Hasilnya, Hojlund menamatkan perlawanan tanpa satu pun percubaan ke arah gol, manakala Garnacho melakukan 5. Ketidakseimbangan ini perlu diperbetulkan segera.
Ketika wisel penamat dibunyikan, wajah Hojlund kelihatan sugul ketika dia berjalan keluar padang. Namun, bayangkan bagaimana keyakinannya boleh meningkat jika 2 pemain sayap dan 2 pemain tengah serangan United mempunyai naluri untuk menghantar bola ke dalam kotak penalti seawal mungkin.