Dari Frankenstein ke Padang Bola, Pemikiran Unik Andoni Iraola

Pada petang Khamis di Stadium Vitality, Andoni Iraola tersenyum sambil bercakap tentang kepentingan kreativiti, semangat dan kebahagiaan dalam bola sepak serta kehidupan.

“Saya tiada rungutan,” katanya. “Kami mempunyai bilik persalinan yang sihat dan harmoni, yang akan membantu kami mengutip lebih banyak mata menjelang akhir musim. Apabila timbul masalah, anda tahu siapa yang anda mahu di sisi anda. Kebahagiaan membawa kemenangan.”

Namun, di tengah perbualan, Iraola tiba-tiba menunjuk ke arah sebuah buku di mejanya dan berkata, “Buku ini sangat tidak bahagia – jalan yang berbahaya.” Buku yang dimaksudkannya ialah Frankenstein karya Mary Shelley.

Bukan sahaja dia pernah membaca novel itu, malah sejak menjadi pengurus Bournemouth, dia juga telah melawat makam Mary Shelley.

“Saya membacanya ketika berusia sekitar 19 atau 20 tahun,” katanya. “Saya masih ingat kerana saya mulakan dengan Dracula karya Bram Stoker, yang sangat saya gemari. Saya sangka Frankenstein akan serupa tetapi ia sangat berbeza. Namun saya tetap menikmatinya.”

Iraola tidak mengetahui kaitan Mary Shelley dengan Bournemouth sehinggalah dia berjalan bersama isterinya dan diberitahu makam penulis itu berada di tengah bandar itu.

“Ia mungkin tidak kelihatan luar biasa tetapi tetap menjadi sebahagian daripada sejarah di sini,” katanya.

Sebagai seorang yang berintelektual, Iraola sememangnya unik dalam dunia bola sepak. Pada usia 42 tahun, dia pernah menuntut dalam bidang undang-undang sebelum menjadi pemain profesional untuk Athletic Club. Minatnya terhadap pembacaan telah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

“Saya sering membawa buku ketika dalam perjalanan dengan bas atau kapal terbang. Ia membantu saya melupakan bola sepak buat seketika,” katanya.

“Saya gemar membaca novel detektif yang ringan sebelum beralih kepada bahan bacaan yang lebih mencabar secara intelektual.”

Mary Shelley menulis Frankenstein pada usia 20 tahun, sesuatu yang mengagumkan Iraola.

“Generasi terdahulu lebih matang pada usia muda. Sekarang, kita seakan-akan mahu kekal sebagai kanak-kanak lebih lama,” katanya.

Namun, Iraola tidak mahu dilabel sebagai “intelektual bola sepak”. Dia segera kembali berbicara tentang sukan itu tetapi mengakui ada persamaan antara mencipta sesuatu dalam novel dan dalam bola sepak.

“Kadang-kadang, anda mencipta sesuatu tanpa mengetahui kesannya. Anda belajar dari kesilapan dan menjadi lebih baik.”

Baginya, mengambil risiko adalah sebahagian daripada bola sepak.

“Dalam bola sepak, akibatnya tidaklah seteruk dalam buku. Anda boleh kalah atau dipecat tetapi ia hanyalah permainan. Jika gagal, biarlah gagal dengan idea sendiri.”

Falsafah itu tidak berubah sejak hari pertama dia bergelar jurulatih di AEK Larnaca 7 tahun lalu. Dari Mirandes ke Rayo Vallecano dan kini Bournemouth, corak permainan menyerang dan tersusun yang diterapkannya tetap sama.

“Anda perlu menyesuaikan diri tetapi prinsip asas saya kekal. Saya suka bola sepak dimainkan dengan cara tertentu dan saya mahu kekal dengannya. Saya boleh menukar gaya tetapi saya tidak akan menjadi jurulatih yang baik jika saya melatih sesuatu yang saya sendiri tidak percaya.”

Pendekatan Iraola adalah menggabungkan struktur kolektif dengan kebebasan individu. Selepas Bournemouth membelasah Newcastle 4-1, Tyler Adams menyifatkan gaya permainan pasukan sebagai “huru hara yang terkawal”. Namun, Iraola lebih suka istilah “spontaniti yang teratur”.

“Saya faham maksudnya tetapi ada lebih banyak organisasi di sebalik apa yang kelihatan seperti kekacauan. Kreativiti bukan bermaksud semuanya berserabut. Pemain perlu diberikan kebebasan tetapi dengan struktur yang jelas.”

Di padang latihan Bournemouth, Iraola menerapkan latihan yang menuntut keputusan pantas dan realistik. Baginya, latihan berdepan lawan lebih berkesan berbanding latihan tanpa tentangan kerana pemain perlu mencari jalan untuk menang termasuk menggunakan kreativiti dan strategi tersendiri.

Di bawah bimbingannya, Bournemouth berkembang pesat, bukan hanya dari segi taktikal tetapi juga dalam membina hubungan sesama pemain.

Chemistry dalam pasukan adalah wajib. Saya jarang melihat pasukan berjaya tanpa keserasian,” katanya.

Dia juga menegaskan kepentingan kebahagiaan dalam bola sepak.

“Itulah sebabnya pengurus menghargai pemain yang sentiasa berlatih bersungguh-sungguh walaupun jarang bermain. Mereka sukar dicari dan amat berharga.”

Pada Jumaat lepas, dalam sidang media sebelum perlawanan menentang Wolves, Iraola ditanya tentang khabar angin yang mengaitkannya dengan Real Madrid. Dia hanya tersenyum dan menjawab,

“Saya tidak ambil peduli perkara sebegini. Fokus saya adalah perlawanan seterusnya.”

Pada Sabtu, peminat Bournemouth dan Wolves berkumpul di pub Mary Shelley yang terletak berdekatan gereja tempat penulis itu disemadikan. Di dalamnya 2 penyokong Bournemouth, Andrew dan Brian berbual mengenai perkembangan pasukan. Andrew mengimbau kekalahan memalukan 9-0 kepada Liverpool pada tahun 2022 tetapi kini teruja melihat pasukan yang lebih kompetitif.

“Iraola luar biasa. Dia membangunkan pemain seperti Justin Kluivert dan Ryan Christie ke tahap yang tinggi. Mereka memberikan segalanya, membuatkan kami bangga,” katanya.

Di atas padang, Bournemouth bermula agresif tetapi Wolves berjaya memberi tentangan sengit. Selepas setengah jam, Illia Zabarnyi mengasari Rayan Ait-Nouri. Pengadil pada mulanya memberikan kad kuning namun selepas semakan VAR, kad itu ditukar kepada merah.

Bermain dengan 10 orang, Bournemouth berdepan kesukaran. Wolves mengambil kesempatan dan Matheus Cunha menjaringkan gol kemenangan. Iraola kecewa tetapi tetap berpuas hati dengan semangat pasukannya yang terus berjuang hingga wisel penamat.

Sambil bertepuk tangan ke arah penyokong yang setia memberi sokongan, Iraola kekal optimis. Mereka mungkin tidak berada di kelompok 4 teratas minggu ini tetapi perjalanan masih panjang dan dia masih mampu tersenyum.

BACA:  Liverpool Kembali Bersama Adidas: Kerjasama Baharu yang Dinanti