‘Dasar Suka Sama Suka’ – Harry Maguire Antara Pemain Paling Dikehendaki Oleh Barcelona

Pemain pertahanan England, Harry Maguire menjadi antara pemain yang paling dikehendaki oleh Barcelona sekiranya Manchester United mahu mendapatkan Frenkie de Jong – pertukaran pemain atas dasar suka sama suka.

Maguire dilaporkan menjadi salah seorang daripada tiga pemain yang dimahukan oleh Barcelona sekiranya Manchester United mahukan De Jong sebagai pertukaran.

Bukanlah rahsia bakal pengurus baharu Man Utd, Erik ten Hag adalah seorang peminat De Jong. Pemain tengah bertahan itu memulakan karier beliau bersama Ajax sebelum menjadi antara tunjang utama skuad Ten Hag yang mara ke separuh akhir Champions League pada 2019.

Barcelona sendiri percaya

Wartawan Gerard Romero mendedahkan Ten Hag begitu mahukan De Jong menyertai beliau di Old Trafford. Bercakap di Twitter Space, wartawan itu berkata Barcelona juga percaya Man Utd akan menawarkan pemain untuk merealisasikan perpindahan tesebut.

Maguire jelas telah melalui musim yang serba tidak menjadi sejak tiba di Old Trafford. Malah pemain itu sering menjadi kambing hitam setiap kali gawang pasukan dibocori.

Prestasi Maguire bersama skuad kebangsaan England bagaimana pun berbeza dan Barcelona yakin pemain pertahanan berkepala besar itu masih mempunyai kualiti untuk ditawarkan di dalam persekitaran yang baharu dan lebih sihat.

Selain Maguire, Marcus Rashford adalah seorang lagi pemain Barca boleh tawarkan. Penyerang England itu bergelut dengan prestasi sepanjang tempoh musim ini, terutama selepas mengalami kecederaan pada penghujung musim lalu.

Pemain pertahanan, Alex Telles, dan penyernag muda dari Sweden, Anthony Elanga juga dicadangkan tetapi Barcelona berkata mereka juga berminat dengan pemain seperti Scott McTominay yang dilihat sebagai pengganti terus kepada De Jong sekiranya pemain itu memutuskan untuk ke Old Trafford.

Rombakan besar-besaran di Old Trafford

Ten Hag dilaporkan telah merancang melakukan rombakan besar-besaran di Old Trafford dan tidak mustahil untuk pemain seperti Maguire juga akan pergi meninggalkan United.

Maguire menyertai United tiga musim lalu daripada Leicester City sebagai pemain pertahanan termahal dunia pada harga £80 juta.

Walaupun cemerlang bersama England di Euro 2020, Maguire tetap bergelut setiap kali beraksi bersama Manchester United.

Ten Hag dijangka akan terus menilai pemain sedia ada sebaik musim ini berakhir dan rombakan skuad utama dijangka akan terus bermula.

BACA:  [VIDEO] Skill Sepakan 'Outside Of The Boot' Dungu Maguire Jadi Punca MU Dibolosi Athletic Bilbao