David De Gea Dinamakan Sebagai Pemenang Sarung Tangan Emas Liga Perdana Inggeris

Penjaga gol Manchester United, David De Gea berjaya memenangi anugerah Sarung Tangan Emas Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sepanjang kariernya selepas United seri tanpa jaringan menentang West Ham awal pagi tadi.

De Gea telah lama dianggap sebagai penjaga gol terbaik dalam Liga Perdana Inggeris tetapi kini beliau boleh memakai gelaran tersebut dengan penuh yakin selepas memenangi anugerah Sarung Tangan Emas. Anugerah Sarung Tangan Emas merupakan anugerah khas yang diberikan kepada penjaga gol yang mencatatkan jumlah perlawanan tanpa bolos terbanyak.

Penjaga gol terbaik dunia ?

Menariknya, De Gea belum pernah memenangi anugerah tersebut walaupun sering menyelamatkan Manchester United dari mengalami kekalahan. Keputusan seri tanpa jaringan yang dicatatkan United awal pagi tadi merupakan perlawanan ke-18 De Gea tidak bolos musim ini.

Ini bermakna rekod De Gea tidak dapat dikejar lagi mana-mana penjaga gol walaupun Liga Perdana Inggeris masih berbaki 1 perlawanan. Penjaga gol Manchester City, Ederson berada di tangga ke-2 dengan 16 perlawanan tanpa bolos. Ederson tidak beraksi ketika City mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Brighton tempoh hari dengan Pep Guardiola memberi peluang kepada Claudio Bravo untuk bermain.

Anugerah ini diperkenalkan buat pertama kali pada musim 2004/2005. Sejak pengenalannya, ia telah dimenangi oleh 6 penjaga gol yang berbeza. Antara mereka yang pernah memenanginya adalah Joe Hart (4 kali bersama Manchester City), Petr Cech (4 kali bersama Chelsea dan Arsenal), dan juga Pepe Reina yang memenanginya sebanyak 3 kali bersama Liverpool.

Real Madrid mengintai dari tirai kamar?

Selain itu, Thibaut Courtois, Wojciech Szczesny dan Edwin Van Der Sar turut dinamakan sebagai pemenang anugerah tersebut sebanyak satu kali.

Dengan 18 perlawanan tanpa bolos yang dicatatkan De Gea musim ini, ia merupakan jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan mana-mana penjaga gol sejak Joe Hart mencatat jumlah yang sama pada musim 2012/2013.

De Gea muncul penjaga gol United pertama memenangi anugerah tersebut sejak Edwin Van Der Sar pada musim 2008/2009,  dan penjaga gol dari Sepanyol pertama sejak Pepe Reina pada musim 2007/2008.

Jika De Gea berjaya mencatatkan satu lagi perlawanan tanpa bolos dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris menentang Watford hujung minggu ini, beliau bakal mencatatkan jumlah ketiga tertinggi sejak pengenalan anugerah tersebut. Van Der Sar memegang rekod kedua tertinggi dengan 21 perlawanan tanpa bolos yang dilakukannya pada musim 2008/2009.

19 angka yang dikejar

Rekod tertinggi perlawanan tanpa bolos dipegang oleh Petr Cech (24) yang melakukannya pada musim pertama beliau di England, bersama skuad Chelsea di bawah Jose Mourinho pada musim 2004/2005.

Kemenangan De Gea ini juga merupakan kali ke-3 penjaga gol di bawah kendalian Jose Mourinho memenangi anugerah tersebut.

Selain anugerah Sarung Tangan Emas, De Gea juga menerima penghormatan daripada pemain profesional yang lain apabila beliau dinamakan sebagai penjaga gol dalam pasukan terbaik PFA Liga Perdana Inggeris musim ini.

BACA:  Man Utd Dikatakan Sudah Melengkapkan Pembelian Pertama Selepas Howard Webb Sah Kembali Ke EPL