David De Gea Ucapkan Selamat Tinggal Kepada Manchester United?

Dua musim lalu, mesin faks yang rosak menyebabkan perpindahan David De Gea ke Real Madrid terbengkalai dan De Gea selepas itu telah menyambung kontrak selama lima tahun dengan bekas juara England tersebut.

Namun, Real Madrid dikatakan masih sukar untuk melupakan penjaga gol terbaik dunia itu dan masih berharap mahu membawa De Gea ke Santiago Bernabeu. Sebab itulah setiap kali musim perpindahan, gosip-gosip liar akan bertiup mengaitkan kelab Castille itu dengan penjaga gol nombor satu Sepanyol.

Untuk menambahkan lagi rencah perisa cerita perpindahannya, De Gea telah memuat naik satu status di Twitter berbentuk ucapan terima kasih kepada para penyokong.

Dalam bahasa yang mudah untuk difahami, status De Gea tersebut boleh diterjemahkan kepada “Uncle Zidane, tolong la beli aku.”

De Gea tidak bermain untuk United sejak tewas 1-2 di tangan Spurs, dengan Sergio Romero dan Joel Pereira mengambil tempatnya masing-masing dalam perlawanan menentang Southampton dan Crystal Palace.

Jose Mourinho juga difahamkan bakal menggunakan khidmat Romero untuk perlawanan akhir Liga Europa menentang Ajax Amsterdam nanti.

Jika Real Madrid jadi untuk membelinya untuk menggantikan Keylor Navas, Mourinho dikatakan sudah membuat persediaan untuk membeli pengganti De Gea.

Antara pemain yang dikatakan masuk dalam senarai pendek Papa Mou ialah Ederson – penjaga gol dari Brazil yang bermain untuk kelab Benfica, dan juga penjaga gol yang semakin meningkat naik dari AC Milan, Gianluigi Donnarumma, selain penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal.

Kisah perpindahan De Gea ke Real Madrid ini boleh dikatakan drama yang kedua terpanjang di England selepas episod demi episod Wenger In Wenger Out.

Sumber berita : DreamTeam

Baca Juga

Baca Juga