David Ornstein: Neymar Kembali ke Barcelona, Kontrak Trio Liverpool dan Protes di Chelsea

Neymar dalam Radar Pasaran Perpindahan Musim Panas?

Soalan dari Nick B: “Adakah terdapat penyerang yang patut kita perhatikan untuk perpindahan musim panas nanti?”

David Ornstein: Sudah tentu, Nick. Kebanyakan nama sudah diketahui umum tetapi jika saya perlu mengangkat satu pemain, ia adalah Neymar.

Kepulangannya ke Santos dari Al Hilal hanya berdasarkan kontrak jangka pendek. Jadi, jika tiada lanjutan kontrak berlaku, dia akan menjadi ejen bebas pada 30 Jun. Walau bagaimanapun, saya mendengar ada mekanisme dia boleh meninggalkan Santos lebih awal terutama untuk menyertai pasukan yang bersaing dalam Piala Kelab Dunia. Segalanya bergantung kepada keadaan fizikal dan prestasinya.

Tanda awal menunjukkan perkembangan positif tetapi kita perlu melihat bagaimana dia beraksi dalam beberapa minggu dan bulan akan datang. Keadaan paling menarik yang sedang dibincangkan ialah kemungkinan untuk dia kembali ke Barcelona. Tiada keputusan rasmi dibuat tetapi saya diberitahu bahawa perbincangan antara Barcelona dan kem Neymar sedang berlangsung.

Presiden Barcelona, Joan Laporta mempunyai hubungan rapat dengan ejen Neymar, Pini Zahavi. Zahari juga dipercayai menguruskan jurulatih baru Barcelona, Hansi Flick. Neymar cukup bermotivasi untuk bermain dalam Piala Dunia 2026 dan mahu kembali ke Barcelona untuk bermain di Camp Nou. Banyak perkara perlu berlaku untuk menjadikannya realiti tetapi ia adalah sesuatu yang boleh berlaku dan amat menarik untuk diperhatikan!

Apa Perkembangan Kontrak Mohamed Salah, Van Dijk dan Trent Alexander-Arnold?

Soalan dari Alexander L.: “Adakah anda fikir Mohamed Salah dan Virgil van Dijk akan menandatangani kontrak baru dengan Liverpool? Bagaimana pula dengan Trent Alexander-Arnold?”

David Ornstein: Perbincangan masih berlangsung dan sudah lama ada rasa optimis di Anfield mengenai Salah dan Van Dijk. Setakat yang saya tahu, tiada perjanjian rasmi telah dicapai tetapi kedua-dua pemain nampaknya mahu kekal dan mereka sedang menunjukkan prestasi terbaik. Liverpool juga dikatakan berhasrat mengekalkan kedua-duanya.

Bagi Alexander-Arnold, situasinya sedikit berbeza kerana dia lebih muda dan mendapat perhatian daripada Real Madrid. Konsensus dalam industri bola sepak adalah mungkin Salah dan Van Dijk akan memperbaharui kontrak mereka tetapi Alexander-Arnold berkemungkinan besar akan meninggalkan kelab. Namun tiada apa yang ditetapkan lagi.

Apa yang pasti, ketiga-tiga pemain ini tetap profesional dalam situasi yang tidak menentu ini dan saya rasa Alexander-Arnold bermain dengan cemerlang. Tiada tanda-tanda mereka mahu meninggalkan pasukan dengan cara yang tidak baik.

Pihak pengurusan baru Liverpool berdepan tugas sukar untuk menyelesaikan isu ini. Sama ada mereka suka atau tidak, keputusan mengenai kontrak pemain-pemain ini akan menjadi asas penilaian terhadap mereka. Namun, Liverpool masih beraksi cemerlang di atas padang, berada di landasan untuk memenangi pelbagai trofi dan isu kontrak ini tidak memberi kesan kepada prestasi mereka setakat ini.

Bagaimana Chelsea Menghadapi Protes Penyokong?

Soalan dari Sean M.: “Apakah pandangan lembaga pengarah Chelsea tentang protes yang dilakukan oleh penyokong? Adakah akan ada perubahan dalam strategi perpindahan musim panas atau adakah kelab akan terus menyasarkan pemain muda?”

David Ornstein: Hai Sean, terima kasih atas soalan. Saya tidak fikir mana-mana lembaga pengarah akan suka protes seperti yang berlaku baru-baru ini. Sudah tentu, pihak atasan Chelsea pasti mengambil maklum akan kebimbangan penyokong. Tetapi pada masa yang sama, banyak kelab lain juga mengalami ketidakpuasan hati daripada peminat mereka, jadi sukar untuk menilai sejauh mana kesan protes ini.

Jika dibandingkan dengan kebanyakan pesaing mereka, projek Chelsea masih dalam fasa awal dan mereka kini menunjukkan peningkatan berbanding sebelum ini di bawah pemilikan baru.

Ya, terdapat kejatuhan prestasi yang mengecewakan dan mungkin beberapa keputusan perpindahan pada bulan Januari yang tidak menjadi tetapi Chelsea kini kembali ke 4 teratas liga. Perlawanan mereka yang akan datang juga dijangka membawa kemajuan dalam saingan Eropah dan Liga Perdana.

Sudah tentu, akan ada beberapa penyesuaian dalam strategi kelab seperti mana setiap kelab lain tetapi saya tidak mendengar sebarang perubahan besar dari segi hala tuju atau individu penting dalam pengurusan. Saya faham kekecewaan penyokong terhadap kurangnya pemain berpengalaman tetapi kejayaan tidak semestinya bergantung kepada pemain yang lebih tua. Pengalaman hanya boleh dibina dengan bermain secara konsisten.

Mungkin ini bukan jawapan yang diinginkan oleh penyokong dalam jangka pendek tetapi dalam jangka panjang, ia mungkin akan dilihat sebagai keputusan yang tepat. Saya boleh katakan bahawa banyak kelab pesaing semakin mengagumi strategi Chelsea termasuk dari sudut pemilihan pemain, panjang kontrak, struktur gaji, pelantikan Enzo Maresca serta model multi-kelab bersama Strasbourg.

Satu perkara yang hampir pasti: Chelsea dijangka menandatangani seorang penyerang pada musim panas ini!

Enzo Maresca Akan Kekal Di Chelsea Jika Gagal Menamatkan Musim di Kedudukan Empat Teratas?

Soalan daripada Jamie F.: “Adakah terdapat objektif tertentu untuk Enzo Maresca musim ini? Jika dia membawa Chelsea ke empat teratas dan memenangi Liga Konferens, adakah itu cukup untuk mengekalkannya?”

Ornstein: Chelsea sentiasa mengharapkan kelayakan ke Liga Juara-Juara sama ada ia objektif rasmi atau tidak. Saya tidak mendengar sebarang berita mengenai masa depannya terancam. Sebaliknya, saya rasa dia sangat disukai oleh kelab dan walaupun ada perkara yang perlu dipelajari dan diperbaiki, saya menjangkakan Chelsea akan meneruskan projek ini bersama Maresca.

Baca Juga

Baca Juga