David Silva Ikut Jejak Langkah Pique & Iniesta Dengan Umumkan Persaraan Di Peringkat Antarabangsa

Bintang tengah Manchester City, David Silva mengumumkan pengunduran beliau dari pentas bola sepak antarabangsa dan tidak akan mewakili Sepanyol lagi pada masa akan datang berikutan persembahan hambar di Piala Dunia 2018.

Dengan berita ini, Silva mengikut jejak langkah Andres Iniesta dan Gerard Pique dalam berbuat demikian bagi memberi ruang kepada generasi baru Sepanyol.

Pada usia 32 tahun, Silva mengumumkan pengunduran beliau dari arena antarabangsa bagi memberi lebih fokus pada karier kelab.

Sepanyol dianggap sebagai salah satu pasukan pilihan di Piala Dunia yang lalu tetapi gagal menepati ramalan tersebut selepas tumpas di tangan pasukan tuan rumah, Russia di pusingan 16 pasukan terakhir.

Antara pencapaian terbesar Silva di peringkat antarabangsa adalah memenangi Piala Dunia 2010 dan dua Kejohanan Eropah berturut-turut iaitu 2008 dan 2012.

Pada usia 32, beliau telah mengumpul 125 penampilan dan menjaringkan 35 gol sepanjang bersama La Roja selama 12 tahun. Selepas mengharungi kempen Piala Dunia 2018 yang mengecewakan, Silva merasakan masanya telah tiba untuk beliau mengundur diri bagi memberi lebih fokus kepada karier kelabnya bersama Manchester City.

“Ini bukan perkara yang senang, selepas apa yang pernah saya lalui sebelum ini bersama pasukan ini, untuk duduk dan menulis surat ini.” Ujar Silva dalam satu surat yang dimuat naik di akaun Twitter beliau.

“Saya mengambil masa berminggu-minggu untuk membuat analisis mengenai keputusan saya untuk mengakhiri karier bersama skuad kebangsaan Sepanyol. Tanpa ragu-ragu, ini merupakan salah satu keputusan paling sukar pernah saya ambil sepanjang karier.”

“Pasukan ini telah memberikan saya segala-galanya dan membenarkan saya membesar sebagai seorang pemain dan insan, sejak hari pertama dalam skuad remaja.”

2 Kejohanan Eropah dan satu Piala Dunia. Power

“Saya meninggalkan pasukan ini dengan perasaan penuh bangga selepas mewakili Sepanyol sebanyak 125 perlawanan dan menjaringkan 35 gol dalam karier yang berlangsung selama 12 tahun dimana kami berjaya menjulang dua trofi Euro dan satu Piala Dunia.”

“Saya pergi dengan perasaan gembira selepas apa yang saya pernah capai dan lalui dengan pasukan ini, yang mana akan diingati selama-lamanya. Saya melalui satu era yang penuh dengan emosi, seperti ketika era Luis Aragones, seorang cikgu yang saya tidak akan lupa.”

“Saya tidak boleh meninggalkan Sepanyol tanpa mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan, jurulatih yang menaruh kepercayaan mereka terhadap saya, dan staff-staff di Persekutuan Bola Sepak Sepanyol yang menjadikan kehidupan kami lebih senang.”

Generasi emas Sepanyol. Makin lama makin kurang

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga atas sokongan mereka selama ini, dan tanpa mereka, saya tidak akan menjadi sebahagian daripada pasukan ini.”

“Dan sudah tentu, para peminat yang telah memberikan sokongan setiap kali saya menyarung jersi Sepanyol.”

“Terima kasih, selamat maju jaya dan selamat tinggal !”

BACA:  Kerana Mahu Menonton Tennis Bersama Shakira, Pique Minta FA Tunda Perlawanan Sepanyol