DAZN & Sky: Hak Penyiaran Sukan Terancam Kerana Cetak Rompak

DAZN, Sky beri amaran, cetak rompak boleh cetus krisis kewangan dalam industri penyiaran

Ketua dua syarikat media sukan terkemuka dunia memberi amaran bahawa industri ini bakal menghadapi krisis kewangan jika masalah cetak rompak online tidak dikawal.

Bercakap di Sidang Kemuncak Business of Football anjuran Financial Times pada hari Rabu, ketua hak siaran global DAZN, Tom Burrows menyatakan bahawa cetak rompak adalah masalah besar bagi platform penstriman sukan berpangkalan di London itu, sekali gus memberi kesan kepada semua pihak dalam dunia sukan profesional.

“Kita hampir sampai ke tahap krisis dalam industri hak siaran sukan,” kata Burrows.

“Perjanjian hak penyiaran dibuat berdasarkan konsep eksklusiviti tetapi kini boleh dikatakan hak eksklusif hampir tidak wujud lagi kerana masalah cetak rompak yang begitu teruk.

“Sebelum ini, penyiar sanggup menampung jurang kewangan akibat cetak rompak tetapi saya rasa keadaan itu tidak akan berterusan. Jika kita tidak dapat mencari jalan penyelesaian, sukan itu sendiri yang akan menerima akibatnya.”

DAZN kini merupakan platform penstriman terbesar untuk bola sepak Eropah dan memiliki hak penyiaran domestik 4 daripada 5 liga utama Eropah: Bundesliga di Jerman, La Liga di Sepanyol, Ligue 1 di Perancis dan Serie A di Itali.

Ketika ini, DAZN sedang berselisih dengan Ligue 1 mengenai nilai perjanjian 5 tahun yang ditandatangani tahun lalu. Pendekatan liga Perancis terhadap cetak rompak menjadi salah satu punca utama ketegangan.

Walaupun situasi di UK tidak seteruk di tempat lain, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sky, Nick Herm turut menyatakan bahawa membanteras cetak rompak adalah “perjuangan yang tiada penghujung” untuk gergasi televisyen berbayar itu.

Ketika ditanya tentang jumlah kerugian akibat cetak rompak, Herm berkata angka sebenar sukar ditentukan kerana kebanyakan orang tidak akan mengaku menggunakan kandungan haram tetapi beliau menganggarkan kerugian boleh mencecah ratusan juta dolar.

Masalah utama di UK, menurut Herm bukanlah penstriman haram semata-mata tetapi penggunaan peranti seperti jailbroken Fire Stick iaitu alat TV pintar yang telah diubah suai untuk memberi akses percuma ke saluran premium.

“Amazon Fire Stick adalah masalah besar di sini,” kata Herm. “Kami percaya ia menyumbang kira-kira separuh daripada kes cetak rompak di UK.

“Orang ramai menganggap ia jenama yang sah, jadi mereka rasa tidak ada masalah. Malah, mereka sanggup memberikan butiran kad kredit mereka kepada kumpulan penjenayah. Malangnya, pihak Amazon tidak banyak bekerjasama dengan kami seperti yang kami harapkan.”

Claire Enders, pengasas bersama firma penyelidikan terkemuka Britain, Enders Analysis mempunyai pandangan yang lebih pesimis mengenai krisis cetak rompak ini.

“Kita sudah mengalami COVID dan krisis kos sara hidup di hampir semua pasaran dan ia telah menyebabkan lonjakan besar dalam cetak rompak,” katanya.

“Ini adalah masalah nombor satu dalam dunia sukan. Dalam kebanyakan pasaran, cetak rompak bernilai sekitar 50% daripada jumlah keseluruhan, manakala di India ia hampir kepada 90%.”

Enders percaya salah satu sebab hak penyiaran Liga Perdana Inggeris (EPL) terus meningkat nilainya adalah kerana liga itu bersama rakan penyiarannya, pihak polis dan penyedia internet utama di UK lebih tegas dalam memerangi cetak rompak berbanding liga lain.

Beliau turut mengkritik keputusan bola sepak Perancis untuk menamatkan kerjasama dengan penyiar jangka panjang mereka (Canal+) pada tahun 2020 serta menyifatkan usaha Itali dalam membanteras cetak rompak sebagai “lembab“.

“Semuanya akan menjadi lebih baik jika pemegang hak siaran lebih berwaspada dalam menghentikan apa yang sebenarnya sudah menjadi cetak rompak berskala industri,” katanya.

Baca Juga

Baca Juga