De Gea: Saya Perlu Menangi Lebih Banyak Trofi Di Manchester United

Penjaga gol Manchester United, David De Gea berazam untuk membantu pasukannya memenangi lebih banyak trofi pada masa hadapan.

Trofi adalah perkara yang paling De Gea idamkan ketika ini dan beliau berazam untuk membawa Manchester United kembali ke persada Eropah dan juga domestik.

De Gea kekal menjadi penjaga gol terbaik Liga Perdana Inggeris untuk 4 musim berturut-turut

Sejak pemergian Sir Alex Ferguson pada musim 2012/2013, De Gea tidak dapat lagi menjuarai Liga Perdana Inggeris. Trofi yang mampu dimenangi beliau hanya Europa League, Piala Liga, dan Piala FA.

Pemain berusia 27 tahun ini terus menarik perhatian juara bertahan Liga Juara-Juara, Real Madrid saban tahun. De Gea hampir menyertai Los Blancos pada masa lepas jika tidak kerana mesin faks yang gagal menghantar dokumen lengkap sebelum jendela perpindahan ditutup.

Fokus De Gea tidak terjejas dengan kegagalan tersebut dan beliau telah menandatangani kontrak baru yang lumayan untuk terus kekal bersama Manchester United.

Pada masa yang sama, De Gea berjaya mempamerkan tahap permainan yang cemerlang bersama United dimana beliau mendapat pengiktirafan untuk berada dalam pasukan terbaik tahunan PFA untuk 4 musim berturut-turut.

De Gea rindukan perasaan menjulang trofi Liga Perdan Inggeris

Walau bagaimanapun, De Gea tidak mahu berhenti di situ sahaja kerana beliau mahu memenangi lebih banyak trofi ketika berada di puncak prestasinya. Beliau berpeluang untuk menambah koleksi trofinya bulan hadapan apabila Manchester United bertemu Chelsea dalam perlawanan akhir Piala FA.

“Saya bermain dengan baik sekarang dan juga berasa yakin. Tetapi saya perlu mengekalkan tahap ini untuk memenangi lebih banyak trofi. Itulah perkara yang dilakukan pemain berkelas dunia.”

Manchester United bergelut untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris semenjak pemergian Sir Alex Fergsuon. Sebelum musim ini, pencapaian terbaik liga mereka adalah menduduki tangga ke-4 ketika diterajui oleh Louis Van Gaal.

United telah menunjukkan tanda pemulihan di bawah Jose Mourinho yang mana mereka hampir pasti akan mengakhiri musim ini di tangga ke-2.

Dengan pengalaman yang dimiliki Mourinho dalam membimbing pasukan untuk memenangi Liga Perdana Inggeris, De Gea percaya Manchester United akan kembali mendominasi saingan domestik tidak lama lagi.

Mourinho berupaya membawa United kembali ke zaman kegemilangan

“Agak janggal bermain di bawah Louis Van Gaal kerana tangga ke-4 belum cukup bagus untuk kelab seperti Manchester United. Saya mahu memenangi sesuatu. Jika anda berada di United, anda memerlukan pengurus yang memiliki mentaliti juara.”

“Sir Alex Ferguson  memilikinya. Dan sekarang Mourinho juga memilikinya. Beliau mahu memenangi setiap perlawanan. Kami mengharungi waktu yang sukar semenjak persaraan Ferguson. Ia sesuatu yang sukar untuk diterima kerana kami perlu memenangi lebih banyak piala.”

“Piala adalah apa yang saya dambakan. Kami perlu membawa United kembali ke kedudukan yang terbaik, kembali ke Liga Juara-Juara, dan kembali sebagai juara England.”

BACA:  Man Utd Hanya Mampu Jana Keuntungan Dari Penjualan Lima Pemain Sahaja Dalam Tempoh Sedekad Ini