Declan Rice Mengakui Suka Bermain di Old Trafford, Penyokong Man United di Atas Talian Menjadi Teruja Yang Amat

Pemain tengah West Ham United yang menjadi sasaran kelab utama, Declan Rice, telah membuatkan para penyokong Manchester United menjadi begitu teruja dan mendapat sinar tentang perpindahan pemain ini ke kelab Syaithon Merah tersebut apabila dia mengakui bahawa dia cukup suka untuk beraksi di Old Trafford dalam temu ramah selepas perlawanan.

Pemain antarabangsa England tersebut beraksi dengan begitu cemerlang dalam pertemuan kedua-dua pasukan di stadium yang pernah menjadi keramat suatu ketika dahulu sebelum Marcus Rashford menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke 90+3. Gol tersebut membantu United melompat dan menyingkirkan West Ham di tangga keempat liga.

Ketiga-tiga pemain gantian yang dimasukkan oleh pengurus, Ralf Rangnick, telah menjadi watak utama dalam gerakan yang membawa kepada penghasilan gol tersebut pada hujung-hujung perlawanan.

Dengan perlawanan berbaki 35 saat, Alex Telles menghantar bola ke depan dari kawasan United, sebelum bola ditanduk sipi-sipi oleh Ryan Federicks, dan menyebabkan bola singgah ke kaki Cristiano Ronaldo.

Dengan tenang Ronaldo mengawal bola ke depan dan sebaik sahaja dua pemain West Ham cuba menerjah bola, Ronaldo sempat membuat hantaran kepada Anthony Martial, adik kepada pemain Pahang Johan Martial, di sebelah kirinya.

Martial kemudiannya bertindak menolak bola kepada Cavani, sebelum pemain Uruguay itu menyepak leret ke hadapan gol lawan lalu bola ditolak masuk ke dalam gol oleh Rashford.

Sebaik pengadil meniup wisel pengesahan gol, semakan menerusi VAR telah dilakukan dan mereka mengambil keputusan untuk mengekalkan gol tersebut sekaligus membawa United ke tangga empat teratas dalam carta liga.

Rice, yang membawa maksud nasi dalam Bahasa Malaysia, sebelum ini telah dikaitkan dengan perpindahan ke United dan kalau dilihat kepada prestasi semasa, permainannya semakin meningkat dari hari ke hari di bawah tunjuk ajar bekas pengurus Syaithon Merah, David Moyes.

Dalam temu ramah selepas perlawanan bersama Sky Sports, Rice memuji Teater Impian dan mengakui dia suka bermain di padang tersebut.

“Aku suka sangat,” ujar Rice sambil cuba menahan senyuman lebar.

“Setiap kali aku datang ke Old Trafford, aku selalu cakap kat diri sendiri yang ini adalah tempat kegemaran untuk bermain. Stadium dia memang padu.”

Jawapan Rice ini secara automatisnya membuatkan para penyokong United di atas talian menjadi begitu teruja memandangkan Rice bermain di posisi yang menjadi kelemahan utama pasukan tersebut pada musim ini.

Bercakap tentang perlawanan tersebut, penolong kapten West Ham tersebut memuji persembahan rakan sepasukannya sebelum Rashford merampas satu mata daripada mereka.

“Kami kecewa. Rasa macam kena sepak kat muka.

“Kami bertarung dengan begitu baik. Tak berapa ada ancaman pun dalam perlawanan, jadi aku rasa keputusan seri adalah satu keputusan yang adil.

“Kami sangat bagus terutamanya dalam melancarkan serangan balas, malah tatkala menuju ke penghujung perlawanan, kami masih ada tenaga untuk pergi ke depan.

“Apabila perlawanan tamat dengan kami sendiri kena serangan balas dalam tempoh 30 saat terakhir dan melepaskan gol, memang rasa macam kena sepak kat muka je,” tambah Rice lagi.

Rice dilihat sangat cemerlang dalam menghentikan serangan United dan menjadi watak utama dalam melancarkan serangan balas ke kubu lawan.

Bekas pemain bek kanan United, Paul Parker, mendesak bekas majikannya untuk berbelanja besar bagi membeli Rice kerana dia percaya bahawa pemain berusia 22 tahun itu adalah pemain tengah terbaik di negara baginda ratu.

“Kalau kau nak belanja besar dan beli seorang pemain tengah, pergi dapatkan Declan Rice,” Parker bercakap kepada Bettor.

“Declan adalah pemain tengah central yang terbaik di dalam negara ini.

“Kalau City sanggup bayar £100 juta untuk Jack Grealish, lepas tu kalau ada orang nak kau bayar £160 juta untuk Declan Rice, maknanya kau memang kena bayar banyak tu sebab Jack Grealish tak bernilai £100 juta pun. Diorang dah letak satu aras dah sekarang ni.”

Selain United, Rice turut menjadi sasaran gergasi London yang juga juara bertahan Liga Juara-Juara UEFA, Chelsea. Meskipun mempunyai ramai pemain yang berkualiti seperti N’Golo Kante, Mateo Kovacic, Alistair Edwards, Jorginho dan Saul Niguez, kemasukan Rice ke pasukan biru tersebut dijangka menambahkan lagi keteguhan di barisan tengah dan memberikan perlindungan ekstra kepada barisan pertahanan.

Sumber :

90min
Sportbible

BACA:  West Ham 'Reject' Tawaran Dan Syarat Bonus Mengarut Arsenal Untuk Declan Rice