Barcelona: Bersatu Dalam Kesedihan, Bangkit Dengan Semangat Baru
Hanya 11 minit diperlukan oleh Raphinha untuk membuka jaringan menentang Benfica, tetapi hanya beberapa saat untuk dia menunjuk ke langit Barcelona – satu penghormatan istimewa buat seseorang di atas sana.
Barcelona menewaskan Benfica 3-1 (agregat 4-1) untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara buat musim kedua berturut-turut. Namun, kemenangan ini lebih bermakna kerana ia didedikasikan kepada Carles Minarro, doktor pasukan yang meninggal dunia pada hujung minggu lalu pada usia 53 tahun.
Sebelum perlawanan, seluruh skuad Barcelona menghadiri upacara peringatan Minarro di Barcelona. Pada hari perlawanan pula, pemimpin kelab dan kapten pasukan, Marc-André ter Stegen menghadiri majlis pengebumiannya.
Biarpun persiapan mereka terganggu dengan berita sedih ini, Barcelona tetap beraksi dengan cemerlang. Separuh masa pertama menjadi bukti kehebatan mereka musim ini. Raphinha meledak 2 gol, Lamine Yamal menyumbang 1 dan Barca sudah selesa mendahului permainan. Separuh masa kedua, mereka lebih berhati-hati untuk menjimatkan tenaga.
Jurulatih Hansi Flick berkata, “Ini adalah kemenangan untuk kami tetapi juga untuk Carles Minarro. Dia akan sentiasa bersama kami.”
Gavi pula menambah, “Segala kejayaan kami selepas ini akan didedikasikan untuknya. Dia seorang yang hebat dan kami sangat merinduinya.”
Malam yang penuh emosi ini juga menyaksikan bintang-bintang Barcelona terus bersinar. Raphinha kini pemain Brazil dengan gol terbanyak dalam satu musim Liga Juara-Juara (11 gol). Yamal, 17 tahun menampilkan aksi luar biasa dengan 1 bantuan gol dan 1 gol yang mengingatkan peminat kepada seorang legenda Barcelona.
“Putera ini tak lama lagi akan menjadi raja,” kata seorang penyokong di media sosial selepas menyaksikan gol cantik Yamal.
Selain itu, Pedri terus membuktikan kehebatannya, Frenkie de Jong semakin menyerlah dan Alejandro Balde terus mencuri tumpuan dengan assist hebatnya. Di bahagian pertahanan, Íñigo Martínez membuktikan dia antara bek tengah berkaki kiri terbaik di Eropah.
Namun, lebih daripada aksi individu, Barcelona menampilkan semangat berpasukan yang luar biasa. Sebelum perlawanan, semua pegawai pasukan berkumpul di tepi padang, berganding bahu memberi penghormatan terakhir kepada Minarro. Semua bendera di Stadium Montjuïc dikibarkan separuh tiang sebagai tanda berkabung.
Dalam bilik persalinan, Flick mengakui suasana pasukan sangat istimewa. “Hubungan antara pemain dan staf luar biasa. Semua rasa mereka penting dalam projek ini.”
Semangat kekeluargaan ini jelas terpancar di atas padang. Gavi, meskipun sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama kerana persaingan sengit tetap menunjukkan sikap positif. “Saya tidak akan merungut. Saya tandatangan kontrak 5 tahun kerana ini kelab hidup saya,” katanya.
Yamal pula tidak lupa menghargai Raphinha, sambil berseloroh, “Gol pertama saya sebenarnya percubaan yang tersasar tapi dia ubah jadi assist dan menjaringkan gol.”
Di sebalik tragedi, Barcelona bangkit dengan semangat baru. Tiada rasa takut untuk hadapi cabaran seterusnya.
“Kami bersaing untuk menang dalam semua kejohanan,” kata Raphinha.
Kini, ujian sebenar menanti mereka di La Liga – pertembungan dengan Atletico Madrid yang boleh menentukan hala tuju kejuaraan musim ini. Barcelona sudah bersedia.