Dele Alli : Misi Kami Ke Russia Untuk Memenangi Piala Dunia

Pemain tengah Tottenham Hotspurs, Dele Alli percaya England mempunyai pemain yang berkemampuan untuk memenangi Piala Dunia dan beliau tidak akan berpuas hati sekiranya England sekadar muncul naib juara.

England mempunyai satu lagi perlawanan pemanas badan menentang Costa Rica pada Khamis ini sebelum bertandang ke Russia. Skuad England yang lebih dikenali sebagai ‘Three Lions’ mempunyai 12 hari lagi untuk melakukan persiapan sebelum perlawanan pembukaan menentang Tunisia pada 18 Jun.

Alli mahu England pergi ke Russia dengan misi muncul juara, bukan sekadar pelengkap jadual

Sepanjang sejarah Piala Dunia, England hanya pernah memenangi kejohanan tersebut sebanyak sekali iaitu pada tahun 1966 ketika mereka menjadi tuan rumah. Sejak dari itu, England sering kecundang awal dalam Piala Dunia dan pencapaian terbaik mereka hanya sekadar melangkah ke separuh akhir pada edisi Piala Dunia 1990.

Dua tahun lalu penyerang England, Harry Kane juga senada dan optimis seperti Alli apabila melaungkan keyakinan England mampu mucul sebagai juara Euro 2016. Namun mereka sangkut seperti biasa.

Pemain harapan England, Dele Alli percaya England mempunyai pemain yang berupaya memenangi Piala Dunia dan tidak akan gembira jika England sekadar menduduki tangga ke-2.

“Kami akan ke Russia untuk memenangi Piala Dunia. Kami tidak mengharapkan perkara lain selain itu dan kami akan berasa kecewa jika kami menamatkan kempen Piala Dunia di tempat ke-2.”

“Saya rasa kami harus mempunyai mentaliti seperti itu. Kami tidak mahu pergi ke Russia untuk menjadi sebahagian daripada temasya bolasepak tersebut. Kami tahu betapa bagusnya kami sebagai sebuah pasukan. Pasukan ini mempunyai bakat.”

Alli dianggap pemain yang akan mengisi kesebelasan utama England

“Sekiranya pasukan ini menunjukkan potensinya yang sebenar, segalanya mungkin boleh berlaku.”

Dalam perlawanan pemanas badan terakhir England menentang Nigeria, Gareth Southgate menurunkan kesebelasan utama yang agak ‘menyerang’ dengan Raheem Sterling, Jesse Lingard, dan Dele Alli bermain di belakang penyerang utama, Harry Kane.

Keputusan Southgate untuk menurunkan ramai pemain serangan nyata membuahkan hasil dengan England berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 hasil jaringan Gary Cahill, dan Kane manakala gol Nigeria dijaringkan oleh Alex Iwobi.

Alli berkata England akan mempamerkan bolasepak yang lebih menyerang apabila mereka beraksi di Russia nanti.

“Terdapat ramai pemain hebat dalam skuad kali ini. Apabila anda bermain dengan pemain yang hebat, tidak sukar untuk bekerjasama dengan mereka.”

Kapten Kane

“Kami bermain dengan cukup baik ketika menentang Nigeria, ia merupakan perlawanan yang baik. Walaupun jika kami menang dengan jaringan 25-0 sekalipun, masih lagi ada perkara yang harus kami perbaiki sebelum Piala Dunia bermula.”

“Jika anda lihat pemain yang tidak beraksi ketika menentang Nigeria, mereka merupakan pemain yang berbakat. Saya percaya Gareth Southgate telah melakukan keputusan yang baik dengan memilih pemain yang mampu bermain dengan cara yang sama.”

“Beliau mahu pasukan ini bermain dalam satu filosofi dan dalam cara yang beliau mahu. Beliau mahu kami bermain bolasepak yang cantik dan kami juga sebenarnya memang mahu bermain seperti itu.”

BACA:  Maguire Terharu Dapat Panggilan Telefon Daripada David Beckham Yang Nasihatkannya Untuk Terus Kuat